Anda di sini

Chakraborty bebas dengan ikat jamin dalam kes bekas kekasih ditemui mati

Advertisement
 Gambar fail bertarikh 6 September ini menunjukkan aktres Rhea Chakraborty (tengah) tiba di pejabat Biro Kawalan Narkotik di Mumbai. Chakraborty dibenarkan bebas dengan ikat jamin pada 7 Oktober lalu, hampir sebulan selepas ditahan kerana disyaki membeli dadah untuk bekas kekasihnya Sushant Singh Rajput yang kemudian ditemui mati. — Gambar AFP
DIIKAT JAMIN: Gambar fail bertarikh 6 September ini menunjukkan aktres Rhea Chakraborty (tengah) tiba di pejabat Biro Kawalan Narkotik di Mumbai. Chakraborty dibenarkan bebas dengan ikat jamin pada 7 Oktober lalu, hampir sebulan selepas ditahan kerana disyaki membeli dadah untuk bekas kekasihnya Sushant Singh Rajput yang kemudian ditemui mati. — Gambar AFP

AKTRES Bollywood Rhea Chakraborty dibebaskan dengan ikat jamin Rabu lepas, hampir sebulan selepas beliau ditangkap kerana didakwa membeli dadah untuk bekas teman lelakinya, pelakon Sushant Singh Rajput yang mencetuskan sensasi media di India apabila beliau kemudiannya ditemui mati dipercayai membunuh diri.

Rajput, 34, dijumpai mati pada Jun lalu dalam pangsapurinya di Mumbai, yang mencetuskan keributan nasional dengan saluran berita televisyen yang membuat spekulasi bahawa Chakraborty telah mendorongnya untuk membunuh diri dengan kanabis dan ilmu hitam.

Seorang bintang yang berlakon dalam banyak filem hit, tindakan Rajput itu pada mulanya mencetuskan perdebatan mengenai kesihatan mental dalam industri perfileman bernilai berbilion dolar di India.

Tetapi keluarga Rajput mempertikaikan laporan bahawa beliau mengalami kemurungan dan menuduh Chakraborty, 28, mencuri wangnya dan mengganggunya.

Chakraborty menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu.

Pada Rabu lepas, sebuah mahkamah di Mumbai mengarahkan agar aktres itu dibebaskan dengan ikat jamin, kata peguamnya Satish Maneshinde, yang menyifatkannya sebagai satu kemenangan bagi ‘kebenaran dan keadilan.’

“Penangkapan dan penahanan Rhea sama sekali tidak wajar dan melampaui jangkauan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Saudara Chakraborty, Showik, yang turut ditangkap pada bulan lepas, masih dalam tahanan.

Chakraborty dan keluarganya telah diburu media India yang sudah berbulan-bulan taksub dengan kes itu, dan beberapa selebriti termasuk dua aktres, Vidya Balan dan Sonam Kapoor, menuduh saluran TV menjalankan ‘usaha memburu perempuan sihir.’

Agensi antijenayah utama di negara itu, Biro Siasatan Pusat, sudah menyiasat kematian Rajput sejak Ogos lalu, manakala Biro Kawalan Narkotik telah menyiasat pengambilan kanabis olehnya.

Institut Sains Perubatan Seluruh India yang berpangkalan di Delhi melengkapkan pemeriksaan forensik pada awal bulan ini dan dilaporkan mengesahkan bahawa pelakon itu mati kerana membunuh diri, bukan dibunuh, seterusnya menolak spekulasi yang didakwa oleh beberapa saluran TV.

Drama itu kini sudah berubah menjadi siasatan ke atas penggunaan dadah di Bollywood, dan polis telah memanggil superstar Deepika Padukone dan aktres lain untuk disoal siasat pada bulan lepas.

Rajput berbeza daripada bintang lain di Bollywood kerana beliau tidak berasal daripada salah satu keluarga berpengaruh yang banyak dalam industri itu, sebaliknya datang dari Bihar, negeri paling miskin di India.

Selepas meninggalkan pengajiannya dalam bidang kejuruteraan di Delhi dan pergi ke Mumbai, beliau akhirnya tampil dalam kelompok aktor utama pada 2013 dan menerima pujian bagi lakonannya sebagai wira kriket India, Mahendra Singh Dhoni, dalam sebuah biopik yang menjadi hit pada 2016.

Dalam satu wawancara dengan AFP pada tahun itu, beliau bercakap tentang emosi tidak menentu yang dialaminya ketika membuat penggambaran bagi filem tersebut, yang menunjukkan kehancuran hati yang dialami Dhoni ekoran kematian teman wanitanya.

“Selepas kami membuat persiapan, dalam kepala saya, saya adalah beliau dan segalanya yang berlaku benar-benar menjejaskan saya,” katanya. – AFP

Advertisement