Anda di sini

Rompak dan rogol kekasih ditinggal tepi jalan

Advertisement
Fadzil diiringi anggota penjara di Mahkamah Kuching.
Fadzil diiringi anggota penjara di Mahkamah Kuching.

KUCHING: Perbuatan seorang pekerja ladang yang merogol, merompak dan meninggalkan teman wanitanya di tepi jalan membawa padah apabila dia dipenjara 19 tahun dan dikenakan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. 

Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad menetapkan demikian terhadap tertuduh, Mohammad Fadzil Firman, 27, setelah meneliti keterangan fakta kes, pernyataan kesan terhadap mangsa serta berat kesalahan yang dilakukannya.  

Mahkamah juga mengambil kira laporan perubatan yang menunjukkan mangsa mengalami kemurungan serta tekanan akibat kejadian tersebut. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, mengaku bersalah apabila didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (b) Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak telefon bimbit milik mangsa. 

Kedua-dua perbuatan tersebut didakwa dilakukannya terhadap mangsa berusia 23 tahun pada 2 September lalu, pukul 7 malam di sebuah ladang buah terletak berhampiran Jalan Rambungan, Lundu.

Berdasarkan keterangan kes, pada hari kejadian, mangsa yang baru-baru ini memohon pekerjaan sebagai kerani dibawa oleh tertuduh menaiki motosikal untuk meninjau tempat kerja tersebut. 

Semasa dalam perjalanan dari Pangkalan Feri Rambungan menuju ke Lundu, tertuduh menukar arah perjalanan menuju ke ladang kelapa sawit dan seterusnya masuk ke ladang buah. 

Tertuduh kemudian mengugut mangsa untuk menurut kehendaknya dan sekiranya tidak mahu, tertuduh tidak akan menghantarnya pulang ke rumah. 

Mangsa menangis dan merayu kepada tertuduh namun dia bertindak menolak mangsa ke tanah dan merogolnya. 

Selesai melakukan perbuatan itu, tertuduh merompak telefon mangsa serta meninggalkannya di tepi jalan. 

Mangsa dilaporkan balik ke rumah dengan menumpang pengguna jalan raya yang kebetulan melalui laluan tersebut. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ruthra Raj memohon agar hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira keadaan mangsa yang trauma akibat kejadian tersebut.

Justeru, mahkamah menetapkan tertuduh dipenjara tujuh tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan merompak manakala bagi pertuduhan merogol, dia dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan empat sebatan. 

Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua hukuman dijalankan secara berturutan. 
 

Advertisement