Anda di sini

Warga emas maut, motosikal dilanggar treler

Advertisement
Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian. - Gambar ihsan polis
Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian. - Gambar ihsan polis

BINTULU: Seorang lelaki warga emas maut apabila motosikal ditunggangnya dilanggar oleh sebuah treler di Kilometer 17, Jalan Bintulu-Miri pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa dikenali sebagai Sinan Lah, 62, beralamat di Rumah Usah, Sungai Sebungan, Sebauh maut di lokasi kejadian.

"Pasukan paramedik yang menjalankan pemeriksaan ke atas mangsa mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala," ujarnya dalam satu kenyataan.

Alexson berkata pemandu lori treler terbabit yang merupakan seorang lelaki tempatan, 30, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Katanya, siasatan awal yang dijalankan mendapati semasa kejadian, lori treler terbabit sedang bergerak dari arah Miri menuju ke Bintulu sebelum melanggar mangsa yang hendak melintas jalan dari arah tengah pembahagi jalan menuju ke simpang masuk Rumah Awal.

"Siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengetahui punca sebenar yang menyebabkan berlakunya insiden meragut nyawa itu," ujarnya. 

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bintulu bagi tujuan bedah siasat. 

  • oleh
  • Advertisement