Anda di sini

Brandon Cronenberg dakwa ‘Possessor: Uncut’ sesuai dengan masa ini

Advertisement
 

MENGELUARKAN filem seram pada 2020 mengemukakan satu cabaran: bagaimanakah anda bersaing dengan pandemik berbahaya, protes ganas berhubung rasisme, dan pilihan raya yang amat memecah-belah rakyat Amerika Syarikat (AS)?

Bagi Brandon Cronenberg – anak pengarah legenda David Cronenberg –  membuat filem yang ultra-ganas tentang pembunuh upahan korporat yang mengawal badan orang lain menerusi teknologi yang menggodam minda rasa lebih sesuai berbanding selama ini.

“Jika anda melihat campur tangan Rusia dalam pilihan raya AS, saya rasa kita baharu sahaja mula menyedari apa maksudnya untuk menjadi masyarakat dalam talian sepenuhnya,” katanya kepada AFP tentang ‘Possessor: Uncut’.

“Semua kita dari satu segi boleh digodam, dan cara tidak ada untuk menutup pintu itu,” katanya.

“Itu adalah masyarakat manusia sekarang, dan ia pasti menarik dan mungkin menakutkan untuk melangkah ke depan dan melihat apa maksudnya.”

Filem itu menceritakan tentang pembunuh upahan wanita yang pintar Tasya Vos (Andrea Riseborough) apabila dia mengambil alih seorang mangsa yang tidak sedar apa yang berlaku (Christopher Abbott) dan melancarkannya untuk melakukan siri pembunuhan dahsyat yang menyasari seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bersifat Orwellian lakonan Sean Bean, yang pernah muncul dalam ‘Game of Thrones’.

Dikeluarkan di pawagam pada Jumaat oleh NEON – yang bertanggungjawab bagi filem ‘Parasite’ yang mencipta sejarah apabila ia memenangi anugerah Oscar pada tahun lepas – ia telah menerima reviu yang amat baik, tetapi tidak membataskan gambaran keganasan yang amat grafik.

Pengkritik tegar tercungap-cungap ketika ia mengadakan tayangan perdana dunia pada Januari lalu di Festival Filem Sundance.

“Keganasan dalam filem seharusnya meluap-luap dan meresahkan – ia adalah lebih meresahkan bagi saya untuk melihat filem aksi PG-13 di mana 100 orang mati dan tidak ada orang yang berdarah,” kata Cronenberg.

“Jika anda tidak memandang keganasan dengan serius sebagai pembuat filem, anda memperkecilkannya. Saya rasa itu adalah pendirian yang lebih mencurigakan berbanding menunjukkannya dengan jelas.”

 

Filem itu membayangkan versi lain yang distopian bagi masa sekarang, di mana “mengawal otak secara fizikal menerusi impuls elektrik” telah menjadi satu realiti.

Ia adalah visi yang biasa bagi peminat ‘Black Mirror’ – siri TV yang fokus kepada teknologi gelap dan “seakan-akan sudah mengepung pasaran dengan satira sains fiksyen pada masa depan yang terdekat ini, dan menjadi satu genre tersendiri,” kata Cronenberg.

Satu episod ‘Black Mirror’ menyaksikan polis menyiasat pembunuhan dengan secara harfiah memuat turun memori imej saksi yang berpotensi.

Dalam filem Cronenberg, pembunuh yang mengawal badan mangsa mereka “menjadi pengganti sebagai metafora bagi pengawasan seperti itu”, kata pengarah itu.

Dia menulis filem itu pada waktu kebocoran berprofil tinggi yang dibuat oleh Edward Snowden, seorang bekas kontraktor perisikan AS yang mendedahkan program pengawasan besar-besaran oleh Agensi Keselamatan Negara.

“Saya rasa sangat marah mengenai kematian privasi menerusi teknologi, dan hakikat bahawa kerajaan sanggup mencabul privasi hingga ke tahap itu,” kata Cronenberg.

Kengerian filem itu yang menjolok mata pasti tidak mengejutkan penonton yang biasa dengan kerja bapa Cronenberg yang memukau.

David Cronenberg merintis “seram badan” termasuk filem sains fiksyen mutan yang memenangi anugerah Oscar ‘The Fly’, dan mengarah filem kontroversi ‘Crash’ yang memenangi hadiah istimewa di Festival Cannes.

Tetapi bintang-bintangnya menegaskan gambaran yang mengerikan dalam ‘Possessor’ adalah wajar.

Riseborough memberitahu AFP, keganasan filem itu adalah “jujur”, tetapi menambah: “Moraliti sama ada ia harus atau tidak harus disampaikan secara luaran, atau atas skrin, adalah satu soalan yang berbeza.”

Cronenberg mengakui: “Saya sangka kami akan menerima kebencian lagi.” — AFP

Advertisement