
KUCHING: Jabatan Alam Sekitar Negeri Sarawak (JAS Sarawak) meminta kerjasama orang ramai untuk melupuskan buangan elektrikal dan elektronik atau e-waste di premis yang dilesenkan jabatan.
Pengarahnya Hamzah Mohamad berkata e-waste merupakan satu buangan yang dikawal di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 yang mana berbahaya kepada alam sekitar dan juga manusia.
Atas sebab itu, jabatan katanya dengan kerjasama syarikat GVE Strategic Waste Sdn Bhd mengadakan kempen pengumpulan buangan elektrikal dan elektronik sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Sarawak 2020.
“Jadi tujuan kempen hari ini adalah untuk mengumpul semua e-waste untuk dilupuskan atau dikendalikan oleh presmis yang dilesenkan oleh jabatan dan tidak dibuang merata yang akhirnya akan mencemar air dan tanah kita.
“Antara contoh e-waste yang kita kumpul hari ini adalah seperti komputer, televisyen, mesin basuh, telefon bimbit dan seumpamanya atau lebih umum barangan-barangan elektrik yang telah rosak dan tidak lagi dipakai,” katanya ketika ditemui pada kempen tersebut yang berlangsung di perkarangan Metro City, Matang di sini, hari ini.

Tambah Hamzah, kempen yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 5 petang itu telah berjaya mengumpul lebih daripada 27 metrik tan e-waste daripada orang ramai di sekitar Kuching ini.
Kesemua e-waste yang dikumpul akan dikendalikan dan dilupuskan oleh syarikat GVE Strategic Sdn Bhd mengikut kaedah yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Buangan Berjadual) 2005 dengan sebahagiannya boleh dikitar semula.
Jabatan katanya akan menganjurkan program yang sama di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Abdul Razak pada 31 Oktober 2020 dan di Bahagian Bintulu pada 7 dan 8 November 2020.
Dalam pada itu program pengumpulan e-waste ini adalah di bawah inisiatif Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dengan sasaran pengumpulan 200 metrik tan e-waste bagi tahun ini.

Kempen ini diadakan di seluruh negara bermula 23 September hingga 21 Oktober dengan penetapan pengumpulan e-waste sebanyak 63,000 kilogram seluruh negara.
Objektif program ini adalah untuk memupuk dan meningkatkan keprihatinan dan tanggungjawab orang ramai dalam memelihar dan memulihara alam sekitar.
Selain itu program ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman orang awam mengenai sistem pengurusan e-waste di Malaysia serta memastikan pengurusan dan pengumpulan e-waste dapat dilaksanakan dengan lebih mesra alam.