Anda di sini

BTS bakal nikmati habuan jutaan dolar

Advertisement
 

SENSASI K-pop BTS bakal menikmati habuan jutaan dolar pada bulan ini apabila saham dalam label rekod mereka dijual nanti, dengan tawaran awam (IPO) yang meletakkan nilai syarikat itu melebihi AS$4 bilion.

Kumpulan tujuh anggota yang merintis jalan itu mengukuhkan keunggulan mereka dalam pasaran muzik terbesar di dunia pada bulan lepas, apabila lagu mereka ‘Dynamite’ dalam bahasa Inggeris sepenuhnya membuat penampilan sulung di tempat nombor satu dalam carta Billboard Hot 100.

Label kumpulan itu Big Hit Entertainment menetapkan harga tawaran awam awalnya pada 135,000 won (AS$115), kata syarikat itu dalam pemfailan kawal selia pada Isnin lepas, bahagian teratas daripada julat harga indikasi, yang memberikan nilai pasaran AS$4.1 bilion kepada agensi tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Big Hit, Bang Si-hyuk, yang memiliki 43 peratus daripada agensi itu, bernilai AS$1.4 bilion dengan tawaran itu, menurut Indeks Bilionair Bloomberg.

Dengan IPO itu, kesemua tujuh anggota kumpulan itu, kini kumpulan remaja lelaki terbesar di dunia, juga bakal menjadi pemegang kepentingan jutawan.

Pada tahun lepas, anggota-anggota tersebut diberi 68,385 saham setiap seorang dari Bang, yang bernilai kira-kira AS$8 juta pada harga tawaran.

Sewaktu sesi ramalan mengenai permintaan pada minggu lepas, 1,420 pelabur institusi menunjukkan minat dengan lebih 1,100 kali jumlah saham yang ada, kata syarikat itu dalam pemfailan kawal selia.

Peminat BTS yang ghairah, selain pelabur runcit, telah membuat bidaan dengan harapan mendapatkan sekurang-kurangnya satu saham.

Big Hit akan mengutip 962.6 bilion won (AS$823 juta), menurut pemfailan kawal selia syarikat itu, IPO terbesar di Korea Selatan sejak Celltrion Healthcare itu mengutip 1 trilion won (AS$855 juta) pada 2017.

K-pop, dan siri K-drama, merupakan salah satu eksport kebudayaan paling berjaya dari Korea Selatan dan merupakan satu komponen penting dalam ‘Gelombang Korea’ yang telah melanda Asia dan luar Asia sejak dua dekad lalu.

Lagu single yang menduduki tempat teratas carta ‘Dynamite’ sahaja dapat menjana lebih AS$1.4 bilion bagi ekonomi Korea Selatan dan ribuan pekerjaan baharu di negara itu, satu kajian kerajaan mendakwa pada awal bulan lepas. — AFP

Advertisement