Anda di sini

Batik Tulis Lasem, unik dan tersendiri

Advertisement
"Kunjungan ke Lasem, Rembang, Jawa Tengah, sebenarnya sudah agak lama. Tetapi ramai juga yang bertanya mengenai apa istimewanya Batik Lasem"
"Kunjungan ke Lasem, Rembang, Jawa Tengah, sebenarnya sudah agak lama. Tetapi ramai juga yang bertanya mengenai apa istimewanya Batik Lasem"

SEHELAI batik tulis satu warna memerlukan masa satu hari untuk menyiapkannya. Tetapi untuk menghasilkan batik tulis klasik, mungkin memerlukan masa yang panjang, kadang kadang berminggu-minggu.

Proses membuat batik tidaklah semudah yang disangkakan. Ia memerlukan kesabaran, ketelitian dan masa yang panjang untuk menyiapkan sehelai batik lasem.

 Batik Tulis Lasem tembusi pasaran antarabangsa.
TEMBUSI PASARAN ANTARABANGSA: Batik Tulis Lasem tembusi pasaran antarabangsa.
 Salah satu motif Batik Tulis Lasem.
KHAS: Salah satu motif Batik Tulis Lasem.

Itulah antara maklumat yang saya terima ketika berkunjung Kampoeng BNI Batik Tulis Lasem di Desa Babagan, Lasem.

Kunjungan ke Lasem, Rembang, Jawa Tengah, sebenarnya sudah agak lama. Tetapi ramai juga yang bertanya mengenai apa istimewanya Batik Lasem.

Sehelai batik tulis satu warna berharga kira-kira Rp120,000 (RM33.50) hingga Rp3,500,000 (RM977.20) untuk batik tulis klasik. Bagi penggemar batik, harga batik ini masih tergolong murah di sebalik proses menyiapkannya yang sukar.

 Batik Lasem sentiasa mendapat peminat.
DIMINATI: Batik Lasem sentiasa mendapat peminat.
 Selepas proses perebusan, batik dikeringkan.
MENGERING: Selepas proses perebusan, batik dikeringkan.

Membuat batik tidaklah semudah yang kita fikirkan. Seorang pembuat batik bukan saja memerlukan daya kreativiti tetapi perlu memiliki kerja keras, rasa cinta terhadap kerjayanya juga kefahaman yang mendalam mengenai sejarah dan budaya masyarakat Lasem.

Di Kampoeng BNI Batik Tulis Lasem di Desa Babagan itu, peminat batik boleh membeli batik di galeri yang terletak di pintu gerbang masuk ke desa itu.

Sri Winarti atau lebih dikenali sebagai Mbak Win, menjadikan galeri itu untuk menampung hasil produk batik. Semua kelompok menjual batik ke galeri itu sehingga harganya seragam.

 Salah satu proses pembuatan batik tulis.
MEWARNA: Salah satu proses pembuatan batik tulis.

Tetapi jika anda berada di tempat lain, jangan terlalu risau. Batik Tulis Lasem juga dijual melalui laman Instagram, Facebook, WhatsApp, dan juga melalui grup pencinta batik di Internet.

Batik Tulis Lasem memang memiliki ciri khas yang tersendiri. Jika ditelusuri Batik Lasem banyak dipengaruhi budaya Jawa dan Cina. Sebabnya, Lasem pernah menjadi tempat pendaratan pedagang Cina di Pulau Jawa, beberapa ratus tahun yang lalu.

Ia tidak dapat dipisahkan dengan kedatangan Laksamana Cheng Ho ke Lasem pada 1413 dan menetap di Bonang berdekatan Lasem. Mungkin kerana itu juga, banyak bangunan di Lasem yang bercirikan seni bina Cina, banyak kuil dan tokong cina sehingga Lasem sendiri dijuluki dengan nama Kota Cina di Jawa.

 Antara pekerja batik sedang melukis batik di Lasem.
KREATIF: Antara pekerja batik sedang melukis batik di Lasem.

Itulah sebabnya BatiK Tulis Lasem agak menarik, khas dan tidak terdapat di tempat lain. Kita boleh melihat motif naga, burung, dan motif motif lain dalam budaya Cina seperti gambar berbunga berserakan yang disebut motif segar jagad atau motif latuh atau latohan yang diambil daripada rumpai laut.

Ada motif watu pecah, yang terhasil dari inspirasi pencinta batik ketika melihat pembinaan Jalan Anyer-panarukan dimana ketika itu masyarakat terpaksa memecahkan batu hingga menjadi kerikil untuk dibuat jalan.

Mungkin motif dalam batik Lasem sukar dilukis, peminat batik sentiasa mencari Batik Lasem, yang didominasi warna merah darah ayam.

Batik Lasem adalah batik tulis yang seluruh proses pembuatannya menggunakan tangan dan memerlukan masa yang panjang, kadang-kadang berminggu-minggu hingga berbulan-bulan untuk menghasilkan batik yang bermutu tinggi. Sebab itu, harganya mahal tetapi tetap ada orang tidak berkira untuk memilikinya.

Saya diberitahu, kehidupan masyarakat Lasem tidak dapat dipisahkan dengan batik. Di setiap desa di Lasem, kita dapat melihat pembuat batik yang tekun dan rajin menyiapkan batik mereka, yang kini memiliki pasaran bukan saja di dalam negeri malah banyak yang sudah dijual untuk pasaran antarabangsa.

Tetapi harus diingat bahawa pengembangan Desa Wisata Kampoeng Batik di Desa Babagan itu, tidak lepas dari bantuan BNI-Bank Negara Indonesia yang banyak memberikan bantuan dan dorongan untuk memajukan masyarakat kampung membangunkan ekonomi mereka.

Sri Winarti juga dulu adalah seorang buruh batik. Tetapi selepas mendapat latihan Kampoeng BNI, beliau terus maju dan kini memiliki staf sendiri.

 Penulis (kiri sekali) menunjukkan pelbagai corak Batik Tulis Lasem.
PELBAGAI JENIS: Penulis (kiri sekali) menunjukkan pelbagai corak Batik Tulis Lasem.


Kebanyakan pekerjanya adalah wanita penduduk kampung yang bekerja sebagai petani atau suri rumah dari kampung-kampung berdekatan.

Sebelum itu beliau mendapat latihan membatik, e commerce dan berbagai latihan lagi dan mendapat pinjaman modal dari BNI pada tahun 2012.

Kampoeng BNI Batik Tulis Lasem di Desa Babagan  itu dibuka pada tahun 2014 oleh Menteri Pariwisata dan Ekonomi Kreatif, Dr Mari Elka Pangestu.

Beliau terus beradaptasi dengan mengembangkan perniagaan batik tulis dengan memasarkan batik melalui internet.

Sebanyak 40 peratus hasil jualannya diperolehi dari Internet manakala selebihnya dari kedai-kedai batik di lokasi.

Sesungguhnya kunjungan ke Kampoeng BNI Batik Tulis Lasem di Desa Babagan, memperkayakan pengalaman saya mengenai proses membuat batik dari awal hinggalah ia dijual ke pasaran. Batik Tulis Lasem memang punya kelebihan yang unik dan tersendiri.

Advertisement