Anda di sini

Pesawat tentera udara terhempas di Ukraine

Advertisement
 Gambar serahan Perkhidmatan Kecemasan Negara Ukraine kelmarin menunjukkan anggota bomba cuba memadam kebakaran selepas sebuah pesawat tentera udara terhempas, 30 kilometer tenggara Kharkiv, Ukraine. — Gambar AFP
TERBAKAR: Gambar serahan Perkhidmatan Kecemasan Negara Ukraine kelmarin menunjukkan anggota bomba cuba memadam kebakaran selepas sebuah pesawat tentera udara terhempas, 30 kilometer tenggara Kharkiv, Ukraine. — Gambar AFP

CHUGUIV: Sekurang-kurangnya 22 orang termasuk kadet tentera maut dan dua lagi cedera parah kelmarin apabila sebuah pesawat tentera udara Ukraine terhempas berhampiran Kharkiv di timur negara, kata kementerian dalam negeri.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Anton Gerashchenko mengesahkan jumlah kematian kepada AFP, sambil menyifatkan insiden itu sebagai satu “kejutan”, dan berkata punca nahas sedang disiasat.

Rakaman nahas itu yang dikeluarkan oleh pegawai dalam media sosial me-nunjukkan bangkai pesawat pengangkutan Antonov-26 yang masih membara.

“Kebanyakan mangsa yang terkorban adalah pelajar” Universiti Tentera Udara Kebangsaan Kkarkiv, tentera udara menyebut dalam satu kenyataan.

Seramai 27 orang menaiki pesawat tersebut, 20 kadet dan tujuh kru, tambahnya.

Seramai 22 orang sudah disahkan terkorban, dua cedera dan “usaha mencari tiga lagi masih dijalankan”, kata jabatan kecemasan.

Mangsa yang cedera berada dalam keadaan “kritikal”, kata gabenor wilayah Oleksiy Kucher di Facebook.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky menyifatkan nahas itu sebagai satu “tragedi dahsyat” dan berkata beliau akan melawat wilayah Kharkiv semalam.

“Kita akan segera mewujudkan sebuah suruhanjaya untuk menyiasat semua ke-adaan dan punca tragedi itu,” tulisnya di Facebook.

Pesawat itu terhempas sekitar jam 8.50 malam waktu tempatan (17:50 GMT), dua kilometer dari pangkalan udara tentera Chuhuiv, kata jabatan kecemasan.

Dalam gambar yang dikeluarkan oleh jabatan kecemasan, anggota bomba yang memakai topi keselamatan dan pakaian reflektif menyembur bangkai pesawat dengan air.

Badan pesawat terbakar ketika ia melakukan pendaratan dan anggota bomba dapat memadamkan kebakaran selepas sejam.

Bandar Chuhuiv terletak kira-kira 30 kilometer ke tenggara Kharkib dan 100 kilometer ke barat barisan depan di mana tentera kerajaan berperang dengan puak pemisah pro-Rusia.

Pejabat presiden berkata, menurut maklumat awal, pesawat pengangkutan itu terhempas sewaktu menjalani penerbangan latihan.

Diplomat tertinggi Kesatuan Eropah (EU) Josep Borrell menyampaikan ucapan takziah bagi pihak blok tersebut.

“Fikiran saya bersama ke-luarga dan rakan mangsa yang kehilangan nyawa,” beliau menciap.

Beberapa pesawat tentera sudah terhempas di Ukraine ketika menjalani penerba-ngan latihan sejak beberapa tahun lalu.

Seorang juruterbang maut pada Disember 2018 selepas jet pejuang Su-27 yang dia pandu terhempas ketika melakukan pendaratan di wilayah Zhytomyr.

Dua bulan sebelum itu, model jet pejuang yang sama terhempas di wilayah jiran sewaktu eksesais tentera bersama ‘Clear Sky 2018’ antara Ukriane dengan negara-negara NATO, yang mengorbankan seorang warga Amerika dan juruterbang Ukraine yang berada dalam pesawat.

Pada 2002, sebuah pesawat Su-27 terhempas ke atas orang ramai di sebuah pertunjukan udara di Lviv, barat Ukraine, membunuh 77 orang dan mencederakan 1,165 lagi.

Pesawat Antonov-26 me-rupakan sebuah pesawat pengangkutan ringan yang direka di Ukraine pada waktu era Soviet.

Ia adalah 24 meter panjang dan mempunyai jangkauan sayap sepanjang 29 meter dan dapat terbang pada kelajuan 440 kilometer sejam. — AFP

Advertisement