Anda di sini

Keputusan PRN Sabah beri gambaran banyak kemungkinan boleh berlaku pada PRN Sarawak dan PRU - Penganalisis

Advertisement
 

KUCHING: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 memberikan gambaran banyak kemungkinan boleh berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Penganalisis Politik Profesor Dr Jayum Jawan Empaling (gambar) berkata gabungan longgar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) telah memenangi PRN Sabah pada Sabtu.

Bagaimanapun ujarnya, prestasi setiap parti komponen GRS rendah berbanding (Parti Warisan Sabah) Warisan Plus meskipun tidak mengambil kira kerusi dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang bertanding atas logo sendiri.

Warisan Plus turut diangotai Parti Tindakan Demokratik (DAP), PKR dan UPKO.

"PRN Sabah kali ini memberi gambaran bahawa banyak kemungkinan boleh berlaku pada PRU akan datang.

"Ini akan 'melimpah' ke Sarawak apabila PRN Sarawak diadakan dalam masa terdekat," katanya kepada Utusan Borneo hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan PRN Sabah pada Sabtu menyaksikan GRS memenangi 38 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Warisan Plus, 32 kerusi dan baki tiga lagi kerusi dimenangi Bebas.

Kemenangan GRS direkodkan selepas PN meraih 17 kerusi diikuti BN (14) manakala PBS tujuh.

Sementara Warisan Plus menang menerusi Warisan sebanyak 29 kerusi, diikuti DAP (enam), PKR (dua) dan UPKO (satu).

Mengulas lanjut, Jayum berkata Sarawak sudah mempunyai pelbagai parti politik yang sudah bersedia menghadapi PRN akan datang.

"Isu-isu penting yang akan diperjuangkan parti-parti pun sudah diketahui.

"Persoalan penting ialah, bagaimana isu itu diperjuangkan untuk menangkap imaginasi pengundi Sarawak nanti," ujarnya.

Ditanya adakah Sarawak perlu menangguhkan PRN Ke-12 ekoran penularan COVID-19 yang masih berlaku boleh menjejaskan peratusan keluar mengundi, Jayum berkata ia bukan isu besar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencatatkan peratusan keluar mengundi semasa PRN Sabah ke-16 sebanyak 66.61 peratus berbanding sasaran awal 75 peratus.

"Peratusan keluar mengundi bukan isu besar. Demokrasi Malaysia mengamalkan sistem pihak yang mendapat undi terbanyak akan diumumkan sebagai pemenang bukan mendapat majoriti mutlak.

"Siapa yang mendapat undi terbanyak akan diumumkan pemenang, bukan siapa yang mendapat majoriti mutlak seperti 50 peratus + 1 dari sejumlah keseluruhan pengundi di suatu kawasan. Itu sistem demokrasi Malaysia," jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement