Anda di sini

COVID-19: Dua lagi kes baharu di Lawas melibatkan petugas barisan hadapan

Advertisement
 

KUCHING: Sarawak hari ini merekodkan dua lagi kes positif COVID-19 baharu di daerah Lawas menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 706 kes.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, kedua-dua kes ini merupakan lelaki warganegara tempatan yang bertugas sebagai petugas barisan hadapan di Pos Sempadan Sarawak-Sabah di Merapok, Lawas. 

"Mereka disaring pada 20 September 2020 kerana disyaki mempunyai kontak kepada kes positif COVID-19 semasa bertugas di pos sempadan tersebut. 

"Sampel saringan kes-kes ini dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu, Sabah dan ujian rT-PCR pada 26 September 2020 mendapati sampel saringan mereka adalah positif COVID-19," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Berita berkaitan: Petugas kesihatan di Lawas kes terbaharu COVID-19

Jelas jawatankuasa itu, seorang daripada kes ini telah menunjukkan tanda dan gejala awal jangkitan COVID-19 pada 7 September 2020. 

Tambahnya, seorang lagi kes tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala. 

"Kedua-dua kes dirujuk ke Hospital Miri pada hari ini untuk rawatan lanjut dan siasatan awal menunjukkan kedua-dua kes tidak mempunyai sejarah perjalanan keluar negara atau melawat kawasan berstatus merah di Sabah," katanya. 

Menurut JPBNS, punca jangkitan kes-kes ini masih dalam siasatan lanjut dan hasil siasatan awal menjurus kepada berkemungkinan telah mendapat jangkitan semasa menjalankan tugas sebagai petugas barisan hadapan di pos sempadan. 

Selain bekerja di tempat sama, kata jawatankuasa itu, penemuan siasatan awal juga mendapati kedua-dua kes ini tidak mempunyai hubung kait yang sama. 

Justeru, tegas JPBNS, siasatan lanjut masih perlu dijalankan untuk menentukan wujudnya sebuah kluster COVID-19 baharu dalam kalangan mereka. 

"Pengesanan kontak rapat kepada kes ini juga sedang giat dijalankan termasuk kontak keluarga, tempat kerja dan kontak sosial," ujarnya. 

Selain itu, JPBNS memaklumkan tiada kes baru yang pulih dan dibenarkan discaj dari hospital pada hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kekal seramai 681 orang atau 96.46 peratus dari jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak.

Jelasnya, jumlah kes yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di hospital adalah seramai enam orang iaitu tiga kes di Hospital Miri dan masing-masing satu kes di wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak, Hospital Bintulu dan Hospital Sungai Buloh, Selangor. 

"Tiada kes COVID-19 yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari ini dan dimaklumkan juga terdapat satu kes yang dilaporkan di Sandakan, Sabah yang sedang menerima rawatan di Hospital Bintulu," tambahnya. 

Malah, tiada kes kematian baharu dilaporkan pada hari ini menjadikan jumlah kematian adalah kekal seramai 19 orang atau 2.69 peratus.

"Hari ini dua orang yang disyaki (PUI) baharu dilaporkan dan tiada kes PUI yang menunggu keputusan ujian makmal," kata JPBNS. 

Pada masa sama, JPBNS memaklumkan seramai 248 orang di bawah pengawasan (PUS) telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin, menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 11 hotel adalah seramai 820 orang. 

Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan empat notis kompaun iaitu di Kuching (3) dan Kota Samarahan (1) kerana tidak mematuhi prosedur pengendalian standard.

  • oleh
  • Advertisement