Anda di sini

Dominasi penyanyi tempatan di pentas Gegar Vaganza

Advertisement
 

TANPA perlu pengenalan panjang lebar, program realiti popular ‘Gegar Vaganza’ atau GV ialah sebuah pertandingan nyanyian terbitan Astro Ria menampilkan barisan penghibur berpengalaman yang pernah masyhur dan diberi kesempatan untuk kembali menjenamakan semula nama mereka di persada seni tanah air.

Mengangkat tagline ‘Mara Suara Membara’ untuk edisi terkini, GV7 yang bakal dilaksanakan mengikut SOP dan rutin kelaziman baharu ini juga turut mencatatkan rekod bilangan penyertaan terbanyak sepanjang sejarah penganjuran edisi sebelum ini.

Seramai 14 peserta yang pernah mewarnai gelanggang industri muzik suatu masa dahulu bakal menjadi pertaruhan besar pada musim kali ini yang terdiri daripada enam penyanyi solo lelaki, enam penyanyi solo wanita dan dua buah kumpulan.

Enam peserta solo lelaki tersebut ialah vokalis kumpulan May iaitu Mus akan menyahut cabaran bersama-sama dengan bekas vokalis May dan Rusty Blade, Yantzen. Turut menyertai senarai penyanyi solo lelaki ialah Cliff Umar (Projek Pistol), Aju (Success), Oja dan Nomad.

Sementara senarai penyanyi solo wanita yang bakal mewarnai GV7 ialah penghibur yang sinonim dengan gelaran Ratu Etnik iaitu Noraniza Idris, Rozita Izlyn, Ayu Damit, Linda Nanuwil, Ashira dan Haslinda. Manakala dua kumpulan yang juga akan menyahut cabaran ialah INDIGO dan EVA.

Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata dalam satu kenyataan, “Memasuki edisi penganjuran ketujuh, pengaruh jenama GV sebagai sebuah program hiburan ‘feel good’ yang berpengaruh kini semakin kukuh dan cemerlang.

“Peranan besar GV selaku kayu penghubung yang ‘menyatukan’ peminat dunia seni hiburan tanah air juga jelas terbukti ekoran setiap kali musim baharu diterbitkan, program ini sentiasa menjadi sebutan penonton, bahan perdebatan netizen selain mengundang pelbagai ulasan daripada pengamal media, blogger serta pencinta seni tanah air. Ini sekaligus meletakkan GV di antara program hiburan terbitan Astro yang paling ditunggu-tunggu saban tahun.

“Untuk musim yang terbaharu, senarai 14 penyanyi yang akan beraksi di pentas GV pada kali ini merupakan gabungan bintang-bintang daripada pelbagai latar belakang. Pemilihan tidak bersandarkan kepada lagu-lagu popular mereka semata-mata, bahkan pengalaman dan reputasi juga turut menjadi antara kriteria utama yang ditimbang tara. Bukan itu sahaja, senarai tersebut juga harus memenuhi tuntutan penonton kerana tanpa sokongan mereka, fenomena GV tidak mungkin berkembang sehebat sekarang.

“Mungkin ada juga peminat di luar sana yang tertanya-tanya mengenai penyertaan dari negara jiran seperti musim-musim sudah kerana edisi kali ini cuma menampilkan seorang sahaja wakil luar iaitu Yantzen, penyanyi kelahiran Singapura yang kini menetap di Malaysia.

“Seperti yang semua sedia maklum, 2020 merupakan tahun yang sangat mencabar buat seluruh dunia ekoran penularan pandemik COVID-19. Krisis berkenaan telah membataskan banyak perancangan Astro termasuk produksi GV sendiri yang sebetulnya sudah mempunyai senarai artis dari negara jiran yang ingin kami pelawa untuk bersama-sama memeriahkan musim ini. Namun begitu, segala perancangan yang diatur terpaksa ‘disimpan’ untuk dibawa ke musim hadapan atas faktor keselamatan selain terikat dengan syarat SOP yang ketat.

“Dalam masa sama, kami turut berpendapat bahawa ada hikmah di sebalik ujian yang melanda kerana penganjuran GV kali ini menampilkan dominasi penyertaan artis tempatan. Bertepatan pula dengan semangat solidariti seluruh rakyat Malaysia dalam memerangi pandemik, maka ada manisnya apabila penganjuran kali ini membuka peluang kepada penghibur tempatan. Justeru, pentas ‘GV7’ ini secara rasminya dibuka untuk meraikan mereka dan semoga setiap peserta akan merebut peluang yang diberikan ini.”

GV7 juga masih mengekalkan format asal penjurian yang diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100 peratus oleh barisan juri profesional. Peserta yang mendapat markah terendah pada setiap minggu akan disingkirkan.

Penyanyi Ayai Ilusi (GV1), Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3), Aishah (GV4), Noryn Aziz (GV5) serta Naqiu dan Hady Mirza (GV6) juga pernah dinobatkan sebagai juara GV untuk penganjuran terdahulu.

Rangkaian program GV7 akan bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104) serta turut boleh diakses menerusi portal Gempak dan aplikasi Astro Go untuk pilihan yang lebih fleksibel. Klip sedutan sesi latihan vokal, persediaan dan trivia para peserta dapat ditonton melalui liputan kapsul ‘Kapsul Gegar Vaganza’.

Untuk lima episod pertama, ‘Kapsul Gegar Vaganza’ akan disiarkan pada hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang bermula 5 Oktober. Manakala siaran ulangan pula adalah pada jam 11.30 malam.

Konsert mingguan GV7 akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu setiap Ahad, jam 9.00 malam mulai 11 Oktober.

Advertisement