Anda di sini

Pakej rangsangan ekonomi dijangka menyumbang 3.7-4.0 peratus kepada KDNK 2020 - Tengku Zafrul

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Pakej-pakej rangsangan ekonomi termasuk Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (KITA PRIHATIN) bernilai RM10 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu lepas, dijangka memberi impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi negara bagi suku keempat 2020.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pakej-pakej yang diumumkan kerajaan iaitu PRIHATIN, PRIHATIN PKS+, PENJANA dan KITA PRIHATIN yang kesemuanya berjumlah RM305 bilion, dijangka menyumbang sebanyak 3.7 peratus hingga 4.0 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2020. 

Menurutnya, ini sekali gus akan meletakkan negara dalam kedudukan lebih baik bagi mencatat pemulihan ekonomi menjelang tahun 2021.   

"Pertumbuhan positif ini dijangka dicapai hasil daripada peruntukan RM10 bilion yang akan diberikan secara terus kepada rakyat dan perniagaan. 

"Kerajaan juga menyasarkan kesan berganda antara bantuan di bawah KITA PRIHATIN dengan pakej-pakej rangsangan lain yang masih dilaksanakan," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Rabu lepas, Perdana Menteri telah mengumumkan pakej rangsangan tambahan meliputi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 yang berjumlah RM7 bilion, Program Subsidi Upah 2.0 sebanyak RM2.4 bilion dan Geran Khas Tambahan bernilai RM600 juta.

Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul berkata Bantuan Prihatin Nasional 2.0 bukan sahaja mampu meringankan beban aliran tunai tetapi dapat membolehkan individu dan keluarga membeli barangan keperluan harian termasuk barangan promosi di bawah inisiatif PENJANA seperti kempen belian barangan Malaysia.

"Pada masa yang sama, bantuan Program Subsidi Upah 2.0 dan Geran Khas Prihatin akan membantu menjamin kelangsungan perniagaan dan pekerjaan yang turut memastikan aktiviti ekonomi dapat dijalankan manakala produktiviti ditingkatkan. 

"Berdasarkan indikator-indikator pemulihan ekonomi yang dicatatkan baru-baru ini seperti penurunan kadar pengangguran, peningkatan Indeks Pengeluaran Perindustrian, Indeks Pelopor dan juga sektor runcit dan rekreasi, kerajaan yakin KITA PRIHATIN akan mengekalkan momentum pemulihan,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, walaupun perbelanjaan kerajaan dijangka meningkat berikutan pakej rangsangan tambahan tersebut, namun matlamat kerajaan tetap konsisten untuk mengutamakan kesejahteraan kehidupan rakyat, kelangsungan perniagaan dan pengekalan pekerjaan.

Malah, pada masa sama, kerajaan tetap komited dalam memastikan disiplin fiskal dan Kementerian Kewangan turut memantau pelbagai indikator ekonomi di tahap domestik dan global dalam memastikan negara kekal di landasan pemulihan ekonomi yang tepat dan kukuh.

Jelas beliau, pakej KITA PRIHATIN misalnya merupakan hasil proaktif kerajaan terhadap pelbagai sesi libat urus, turun pandang dan konsultasi #JelajahBelanjawan2021 Kementerian Kewangan. 

"Kerajaan mengambil maklum cabaran yang masih dihadapi oleh rakyat, perniagaan dan pihak berkepentingan yang amat terkesan dengan pandemik COVID-19 dalam merangka pakej KITA PRIHATIN ini. Soalan-soalan lazim  juga telah dimuatnaik ke laman sesawang Kementerian Kewangan mulai hari ini (25 Sept 2020). 

“Bagi mendapatkan maklumat mengenai permohonan, kelayakan dan sebagainya, orang ramai boleh terus mengakses laman sesawang https://www.treasury.gov.my/index.php/kitaprihatin2020/,” katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata Kementerian Kewangan menerusi Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) akan terus memantau pelaksanaan pakej-pakej rangsangan ekonomi dan menambah baik langkah-langkah sedia. 

“Selanjutnya, langkah-langkah untuk memperkasakan semula ekonomi akan turut diperkenalkan ketika (pembentangan) Belanjawan 2021 pada 6 November ini,” katanya. - Bernama

ANTARA SOALAN LAZIM

Sementara itu, menurut laman sesawang rasmi Kementerian Kewangan, permohonan baharu Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN) dibuka kepada orang ramai mulai 15 Oktober 2020.

Permohonan berkenaan dibuka selama sebulan iaitu sehingga 15 November 2020.

"Dengan itu mereka yang memohon diminta untuk membuat permohonan menerusi beberapa platform termasuk di talian https://bpn.hasil.gov.my atau penghantaran borang manual ke cawangan atau pusat khidmat hasil sama ada di Pusat Transformasi Bandar (UTC) atau pejabat LHDNM.

"Borang permohonan boleh dimuat turun di portal https://bpn.hasil.gov.my," katanya.

Bagaimanapun diingatkan bahawa pemohon yang layak membuat permohonan baharu BPN 2.0 adalah bukan penerima BPN 2020 sebelum ini dan memenuhi syarat dikenakan.

Tambahnya lagi, pembayaran BPN 2.0 adalah bagi fasa pertama penghujung Oktober 2020 dan fasa kedua pada Januari 2021.

Kaedah pembayaran bagi penerima kawasan pedalaman negeri Sabah dan Sarawak yang tiada akaun bank akan bermula bulan Januari 2021 dengan bayaran tunai dibuat di lokasilokasi yang bakal diumum kelak. 

Sementara itu, bagi Program Subsidi Upah atau PSU kini telah dilanjutkan untuk tempoh tiga bulan tambahan yang dikenali PSU 2.0 pada 23 September lepas bagi meringankan majikan di negara ini.

Tempoh tambahan berkenaan bagi majikan sedia ada yang sedang menerima bantuan berkenaan dari mula ia diperkenalkan.

"PSU dan PSU 2.0 adalah bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan setiap perusahaan bagi setiap pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah.

"Di bawah Pakej PRIHATIN pada 27 Mac 2020, subsidi upah bagi PSU adalah untuk tempoh tiga bulan dan pada pada 5 Jun 2020, bantuan PSU telah dilanjutkan untuk 3 bulan tambahan di bawah PENJANA (6 bulan secara keseluruhan)," katanya.

Bagi permohonan program PSU selama enam bulan, untuk semua permohonan baharu

mulai Oktober 2020 dan tarikh akhir permohonan PSU 2.0 adalah pada 31 Disember 2020.

Katanya lagi,  tujuan PSU ialah untuk membantu majikan yang terkesan dari segi ekonomi akibat COVID-19 supaya dapat meneruskan operasi syarikat serta mengelakkan pekerja hilang pekerjaan dan punca pendapatan bagi semua perusahaan. 

Berkaitan dengan Geran Khas Prihatin (GKP), ia merupakan bantuan kewangan secara one-off berjumlah RM3,000 kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro yang berkelayakan bagi meringankan beban kewangan perniagaan di samping meningkatkan produktiviti pengeluaran dan perkhidmatan. 

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui Portal GKP (https://gkp.hasil.gov.my) yang disediakan oleh LHDNM.

"Permohonan secara manual tidak akan diterima. Permohonan GKP akan dibuka mulai 1 hingga 31 Oktober 2020 (iaitu selama sebulan).

"Keputusan permohonan boleh disemak mulai 15 November 2020," katanya lagi.

Advertisement