Anda di sini

Sukan Sabah terus gemilang di bawah kerajaan WARISAN Plus

Advertisement
 Anggota skuad Tambadau Sabah bersama Datuk Seri Shafie, Presiden SAFA Datuk Peter Anthony dan Phoong di podium semasa majlis menerima piala selaku juara Liga Premier 2019, di Stadium Likas.
SEJARAH TERCIPTA: Anggota skuad Tambadau Sabah bersama Datuk Seri Shafie, Presiden SAFA Datuk Peter Anthony dan Phoong di podium semasa majlis menerima piala selaku juara Liga Premier 2019, di Stadium Likas.

ADAT sukan yang tidak dibatasi oleh perbezaan kaum, agama dan politik boleh mengambarkan imej kemajuan sesebuah negeri. Amat penting untuk mengekalkan adat itu sebagaimana yang ditunjukkan Sabah di bawah Kerajaan Negeri yang diterajui WARISAN Plus pimpinan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, selama 26 bulan pentadbirannya.

Ketika pergolakan politik masih hangat termasuk pertukaran kerajaan diperingkat negeri dan negara, Sabah terus bangkit dengan pencapaian bersejarah dalam Sukan Malaysia (SUKMA) XIX Perak pada 12-22 September 2018.

Sabah merangkul 32 pingat emas, 28 perak dan 46 gangsa. Hanya menduduki tempat kelapan di kalangan 15 pasukan yang mengambil bahagian tetapi ia adalah pencapaian tertinggi Sabah dalam sejarah penyertaannya pada sukan dwi tahunan terbesar negara itu. Ia termasuk mengatasi pencapaian terbaik 28 pingat emas, 38 perak dan 42 gangsa ketika menjadi tuan rumah SUKMA IX 2002.

Pencapaian  itu juga menggambarkan pembangunan sukan Sabah di landasan yang betul kerana ia juga adalah peningkatan empat edisi berturut-turut sejak SUKMA Pahang pada 2012 di mana Sabah meraih 18 pingat emas, 20 perak dan 52 gangsa diikuti SUKMA Perlis 2014 (21-31-44) dan SUKMA Sarawak 2016 (25-37-38).

 Kontinjen SUKMA 2018  semasa majlis meraikan kejayaan di Kota Kinabalu.
MEMBANGGAKAN: Kontinjen SUKMA 2018 semasa majlis meraikan kejayaan di Kota Kinabalu.

"Dalam sukan, kita tidak cakap soal politik, agama atau kaum. Inilah yang kita amalkan di Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS)...kita teruskan adat sukan ini bahawa ia tidak harus dibatasi oleh perbezaan kaum, agama dan fahaman politik.

"Kerajaan Negeri yang diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga telah memberi perhatian sewajarnya kepada sukan kita. Sebab itulah, Sabah kekal menikmati pencapaian membanggakan sepanjang pentadbiran Kerajaan Negeri yang diterajui WARISAN Plus," kata penyandang Menteri Belia dan Sukan Sabah Phoong Jin Zhe ketika ditemui baru-baru ini.

Pencapaian membanggakan Sabah di SUKMA Perak itu diteruskan kontinjen Para SUKMA iaitu sukan terbesar negara untuk atlet Orang Kelainan Upaya (OKU) di venue sama pada 21-28 November 2018 dengan merangkul 36 pingat emas, 28 perak dan 30 gangsa.

Pencapaian itu mengangkat Sabah selaku naib juara iaitu jauh lebih baik berbanding hanya di kedudukan keempat dengan 25 pingat emas ketika Para SUKMA 2016 Sarawak.

 Kontinjen Para Sabah mencatat pencapaian luar biasa muncul naib juara Para SUKMA XIX Perak 2018.
SEJARAH: Kontinjen Para Sabah mencatat pencapaian luar biasa muncul naib juara Para SUKMA XIX Perak 2018.

Sabah juga mengisi diari sukan 2019 dengan beberapa pencapaian membanggakan dan bersejarah termasuk menamatkan kemarau 23 tahun tanpa gelaran dengan menjuarai bola sepak Liga Premier.

Skuad karate Sabah pula merampas semula gelaran juara keseluruhan Kejohanan Karate  Kadet, Junior dan Bawah 21 tahun Kebangsaan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) Ke-29 pada September.

Turut mencuri tumpuan ialah atlet OKU Jonathan Wong apabila layak ke Sukan Paralimpik 2020 Tokyo dalam acara lompat jauh selepas menang pingat perak kategori T12 (masalah penglihatan) semasa Sukan Para Olahraga Dunia 2019 Dubai, Emiriah Arab Bersatu dengan jarak lompatan 7.06m.

 Shafie diperkenalkan kepada kontinjen-kontinjen yang bertanding pada Sukan Sabah I(SAGA) di Keningau pada Disember 2019.
MESRA: Shafie diperkenalkan kepada kontinjen-kontinjen yang bertanding pada Sukan Sabah I(SAGA) di Keningau pada Disember 2019.

Sebelum itu, Jonathan menang pingat emas dengan catatan 7.03m pada Kejohanan Olahraga Paralimpik Grand Prix (GP) Terbuka Dunia Handisport Paris, Perancis pada Ogos. Jonathan  memiliki catatan peribadi terbaik 7.22m.

Andre Anura Anuar pula masuk buku sejarah sukan negara dalam acara lompat jauh apabila menjadi atlet pertama Malaysia  mencatat jarak lompatan melepasi lapan meter.

Atlet berasal dari Tenom itu mencatat 8.02m pada Sukan SEA 2019 Filipina, memadamkan rekod lama kebangsaan 7.88m berusia 12 tahun milik Josbert Tinus yang tercatat semasa Kejohanan Terbuka Thailand di Bangkok pada Oktober 2007.

Rekod baharu Andre itu bagaimanapun hanya memberikan pingat perak buat negara.

Keseluruhannya, Sabah bantu negara menang empat pingat emas, tiga perak dan lima gangsa pada Sukan SEA 2019 Filipina. Sebanyak 51 atlet Sabah tersenarai dalam skuad negara ke sukan dwi tahunan terbesar Asia Tenggara itu.

Penyumbang pingat emas ialah Sazzlan Yuga (pencak silat Ganda Putra), Lai Wen Li, Yee Xin Ying (skuasy berpasukan wanita), Shello Silverinus (hoki dalam dewan lelaki) dan Iren Hussin, Siti Rozailah Syuhada Jilon (hoki dalam dewan wanita).

Pemenang pingat perak ialah Andre, Fatin Nurfatehah Mat Salleh (memanah compound individu wanita) dan Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar)  manakala pemenang pingat gangsa terdiri daripada Fatin Faqihah Mohd Yusof (4x400m wanita); Riedzwan Norsyahmie Daud (muaythai kategori 54kg lelaki); Shania Sunaini Baduk, Euphrasia Anne Cralis, Emily Stephanie Chua, Amber Bernard (ragbi wanita); Siti Hadinavillah Jumidil, Kamisah Khamis, Nur Fatehah Rossli, Razmah Anam (regu sepaktakrraw wanita) dan Chriyenteri Marcus (floorball wanita).

Lembaran sukan 2019 Sabah juga diisi dengan nama dua pemain tenis, Christian Didier Chin dan Ryan Chee yang telah diumumkan sebagai pemain ranking pertama negara.

Phoong berkata, kejayaan-kejayaan yang dicapai sepanjang 26 bulan di bawah kerajaan WARISAN Plus memberikan sinar baik dalam usaha memajukan dan seterusnya menjadikan Sabah sebagai 'power house' sukan di negara ini pada masa depan.

Menurutnya, selain pencapaian-pencapaian itu, Kerajaan Negeri di bawah WARISAN Plus juga telah menitikberatkan penyeliaan dan naik taraf kemudahan-kemudahan sukan di seluruh pelusuk  negeri ini termasuk dengan menyediakan peruntukan besar.

 Anggota skuad karate yang menang pingat membantu Sabah merampas semula gelaran juara Karate Kebangsaan 2019.
JUARA SEMULA: Anggota skuad karate yang menang pingat membantu Sabah merampas semula gelaran juara Karate Kebangsaan 2019.

"Begitu juga dengan program-program pembangunan atlet. Kita dapat peruntukan dan gunakannya secara optima. Kita pastikan setiap sen yang dibelanjakan benar-benar menepati keperluan dan sasaran. Ia termasuk penganjuran kejohanan peringat kebangsaan dan antarabangsa serta sukan dwi tahun terbesar kita iaitu Sukan Sabah (SAGA).

"Yang sudah dirancang, kita buat. Yang perlu tambah baik, kita rancang dan bikin dengan baik. Terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd  Shafie Apdal atas kepercayaan dan dokongan beliau.

 Shafie melihat pelan pembinaan Kompleks Sukan Kota Marudu yang sudah dimulakan awal bulan ini.
BARU: Shafie melihat pelan pembinaan Kompleks Sukan Kota Marudu yang sudah dimulakan awal bulan ini.

"Hanya 26 bulan kerajaan WARISAN Plus menerajui Sabah, tapi kita telah buat dengan sedaya upaya untuk membangunkan Sabah dan bersama-sama mewujudkan Sabah Baru termasuk dalam bidang sukan," katanya.

Menurutnya, KBSS juga sudah ada Pelan Strategik Pembangunan Sukan Sabah 2020-2030 untuk melahirkan atlet-atlet bertaraf antarabangsa.

  • oleh
  • Advertisement