Anda di sini

Serangan psikologi tidak lemahkan semangat juang WARISAN

Advertisement
 Rus Diana (dua kiri) bersama penyokongnya dalam siri kempennya di Batu 5 Jalan Apas.
KEMPEN: Rus Diana (dua kiri) bersama penyokongnya dalam siri kempennya di Batu 5 Jalan Apas.

TAWAU: Serangan psikologi pihak parti lawan tidak melemahkan semangat calon dan jentera Parti warisan Sabah (WARISAN) dalam menghadapi saat-saat akhir waktu berkempen.

Calon WARISAN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung Andi Rus Diana Andi Paladjareng berkata, calon dan jentera WARISAN hanya mahu fokus dengan perkara yang mahu dibawa kepada rakyat.

"Kempen WARISAN terus berjalan sehingga tempoh yang dibenarkan dan semua jentera dinasihatkan tidak mempedulikan setiap apa yang dilontarkan oleh pihak lawan.

"Mereka hanya mahu melemahkan semangat calon dan itu merupakan taktik yang dilakukan sejak dahulu lagi bagi mendapatkan sokongan daripada pengundi," katanya.

 

Beliau berkata demikian semasa ditemui dalam program ceramahnya di Batu 5 Jalan Apas, di sini kelmarin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, serangan-serangan provokasi itu sudah menjadi asam garam dalam politik negara dan WARISAN sudah bersedia dengan apa juga bentuk serangan dari pihak lawan.

Malah, serangan itu menjadikan calon dan jentera bertambah kuat untuk terus bekerja memenangi hati rakyat sehingga mampu memenangi setiap pilihan raya yang diadakan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya sentiasa mengambil berat soal keselamatan yang menjadi kebimbangan rakyat semasa mengadakan siri-siri kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Semua jentera dinasihatkan untuk mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Setiap ceramah yang diadakan dihadkan jumlah kehadiran sehingga 150 orang sahaja dan semua pematuhuhan SOP sentiasa dititik beratkan sama ada jentera mahupun rakyat yang hadir," katanya.

Rus Diana juga optimis dengan maklum balas dan kehadiran penduduk semasa siri kempennya akan dapat memenangi kerusi DUN Balung pada PRN 26 September ini.

"Sokongan rakyat semakin bertambah berbanding dengan PRU14 lalu dan kita lihat rakyat sudah mula menerima WARISAN untuk mentadbir negeri Sasbah," katanya.

  • oleh
  • Advertisement