Anda di sini

Sarawak perketatkan kemasukan individu dari Sabah berikutan negeri itu diisytihar zon merah

Advertisement
Penumpang keluar dari bangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. - Gambar fail

KUCHING: Sarawak memperketatkan kemasukan rakyat Malaysia dan warga asing dari Sabah dan Labuan ke negeri ini berikutan Negeri di Bawah Bayu itu diisytiharkan zon merah setelah merekodkan lebih 41 kes.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, keputusan berkuat kuasa esok itu adalah hasil mesyuarat hari ini sebagai langkah berjaga-jaga berikutan banyak kes positif COVID-19 dilaporkan di Sabah.

"Perjalanan melalui Sabah atau Labuan ke Sarawak bagi semua rakyat Sarawak dan pemegang Pas Pemastautin Tetap (PR) Sarawak atau pemegang Pas Visa Sarawak perlu memohon kebenaran masuk ke Sarawak dengan mengisi secara dalam talian (online) aplikasi EnterSarawak sebelum masuk ke negeri ini.

"Mereka akan dikenakan kuarantin di rumah selama 14 hari dan diberi gelang tangan dan ujian calitan rT-PCR akan diambil pada hari kedua dan hari kesepuluh yang mana kos ini akan ditanggung oleh kerajaan Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, JPBNS memutuskan semua rakyat Malaysia (Semenanjung/Sabah/Labuan) dan warga asing yang ingin memasuki Sarawak melalui Sabah dan Labuan perlu memohon kebenaran masuk ke Sarawak.

Mereka boleh berbuat demikian dengan mengisi secara dalam talian aplikasi 'EnterSarawak' dengan melampirkan keputusan ujian COVID-19 (rT-PCR) mereka (sah tiga hari) sebelum mereka diluluskan untuk masuk ke Sarawak.

"Mereka juga akan diberi pas masuk lima hari terhad di Sarawak. Mereka juga harus melampirkan tiket penerbangan perjalanan pulang," tambahnya.

Dalam pada itu, jawatankuasa tersebut menegaskan mereka yang tidak melampirkan keputusan ujian rT-PCR COVID-19 yang sah dalam tiga hari sebelum kemasukan tidak akan diberi kelulusan masuk ke Sarawak.

Bagi perjalanan yang berulang alik kerap dari Sabah atau Labuan Ke Sarawak pula, JPBNS menjelaskan, bagi semua warganegara dan warga asing kategori ini termasuk perkhidmatan penting, mereka perlu memohon pas khas dari JPBNS Bahagian (Pejabat Residen).

"Mereka juga dikehendaki untuk diambil sampel COVID-19 setiap 14 hari.

"Hasil keputusan ujian rT-PCR COVID-19 mereka hanya akan sah selama 14 hari, jika mereka gagal melakukannya, pas khas tersebut akan dianggap tidak sah," ujarnya.

Menurutnya lagi, bagi semua warganegara dan warga asing yang memasuki Sarawak perlu mengisytiharkan sekiranya mereka berada di Sabah atau Labuan dalam tempoh 14 hari yang lepas. 

Sekiranya membuat pengisytiharan palsu, mereka akan dikenakan tindakan di bawah 'State Protection of Public Health Ordinance 1999'.

Bagi transit melalui Sabah atau Labuan ke Sarawak pula, JPBNS berkata, semua warganegara dan warga asing yang memasuki Sarawak melalui perjalanan transit di Sabah dan Labuan harus memohon kebenaran masuk ke Sarawak dengan mengisi secara dalam talian 'EnterSarawak'. 

"Semua penerbangan yang hanya transit melalui Sabah dan Labuan, selagi mereka tidak keluar dari lapangan terbang adalah dibenarkan masuk ke Sarawak tanpa perlu melampirkan keputusan ujian rT-PCR COVID-19," katanya.

Pada masa sama, JPBNS memaklumkan Sarawak hari ini merekodkan sifar kes positif baharu COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kekal sebanyak 703 kes.

Jelasnya, pada hari ini juga seramai sembilan orang yang disyaki (PUI) baharu dilaporkan dan tiada PUI yang menunggu keputusan ujian makmal.

"Setakat hari ini, jumlah kluster yang masih aktif kekal satu iaitu Kluster Alam, Bintulu yang melibatkan seramai lapan kes.

"Semua kes dalam kluster ini juga telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital," tambahnya.

Jawatankuasa itu juga memaklumkan tiada kes baru yang pulih dan dibenarkan discaj dari hospital pada hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 681 orang atau 96.87 peratus dari jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak.

Jelas JPBNS lagi, jumlah kes yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di hospital adalah seramai tiga orang iaitu masing-masing satu kes di wad pengasingan di
Hospital Sungai Buloh, Selangor, Hospital Umum Sarawak dan Hospital Bintulu.

"Tiada kes COVID-19 yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari ini. 

"Dimaklumkan juga terdapat satu kes yang dilaporkan di Sandakan, Sabah yang sedang menerima rawatan di Hospital Bintulu," ujarnya.

Selain itu, JPBNS memberitahu, tiada kes kematian baharu dilaporkan pada hari ini dan menjadikan jumlah kematian adalah kekal seramai 19 orang atau 2.70 peratus.

Pada hari ini, seramai 44 orang di bawah pengawasan (PUS) telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin, menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 11 buah hotel adalah seramai 661 orang. 

Mengenai penguatkusaan prosedur pengendalian standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), JPBNS berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan dua kompaun iaitu di Miri dan Kota Samarahan kerana tidak mematuhi SOP dan sebanyak 1,447 premis telah diperiksa seluruh negeri. 

"Manakala pihak Kementerian Kerajaan Tempatan telah mengeluarkan 121 amaran lisan, bertulis dan sitaan di kawasan seliaan Lembaga Kemajuan Bintulu (53), Dewan Bandaraya Kuching Utara (21), Majlis Daerah Marudi (19), Majlis Perbandaran Sibu (16), Majlis Daerah Meradong dan Julau (8), Majlis Perbandaran Kota Samarahan (3) dan Majlis Bandaraya Miri (1).

  • oleh
  • Advertisement