Anda di sini

Sabah kalah bermaruah di suku akhir

Advertisement
HASRUL.
HASRUL.

... Hoki Piala Tun Abdul Razak

KOTA KINABALU: Ianya tetap bonus pendedahan dan pengalaman buat Sabah walaupun tersingkir di tangan Terengganu pada suku akhir Kejohanan Hoki Tun Abdul Razak di Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam semalam.

Bonus pendedahan dan pengalaman kerana skuad Sabah yang dibarisi pemain muda itu sebelumnya sudahpun mengotakan sasaran layak ke pusingan suku akhir.

Mereka malahan hampir membuat kejutan dengan mengimbangi setiap rentak Terengganu yang  juga antara pasukan pilihan kejohanan itu sebelum tunduk dengan kekalahan tipis 1-2.

Kedua-dua gol Terengganu dijaringkan penyerang kebangsaan, Faizal Saari manakala gol Sabah dijaringkan Shelle Silverius.

Masih segar dengan kemenangan besar 5-0 ke atas naib juara musim lalu, Johor pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan yang membawa mereka ke suku akhir, Sabah memberikan persembahan menyaingi Terengganu yang dibarisi ramai pemain berpengalaman.

Sebab itu, di sebalik kekalahan, persembahan pemain mendapat pujian dua pengendali Sabah iaitu Hasrul Jideh dan Ahmad Nizam Yusof, jurulatih kelahiran Perak.

"Terengganu adalah lawan dari kelas yang berbeza, mereka memiliki ramai pemain kebangsaan termasuk Faizal yang kini mendahului senarai penjaring terbanyak dalam kejohanan ini.

"Kami bagaimanapun tidak membiarkan reputasi mereka mengalihkan fokus kami. Pemain beraksi mengikut perancangan jurulatih dengan disiplin mantap semasa bertahan dan melakukan serangan balas pantas.

"Terengganu lebih awal berada 1-0 di hadapan tetapi kami tetap cekal dan berjaya menyamakan kedudukan. Gol penyamaan itu menyemarakkan semangat pemain ketika permainan berbaki enam minit, Terengganu menjaringkan gol untuk keluar sebagai pemenang perlawanan itu," kata Hasrul.

Hasrul berkata, ia bagaimanapun adalah kekalahan bermaruah kerana mereka sudah kotakan sasaran masa ke suku akhir iaitu satu pencapaian membanggakan selepas empat tahun tidak menyertai kejohanan itu.

"Bukan sahaja kami berjaya kotakan sasaran mara ke suku akhir tetapi pencapaian itu juga merupakan sejarah pertama Sabah samapi ke peringkat itu dalam kejohanan hoki berprestij negara itu," katanya.

Lebih penting lagi katanya, pemain juga telah mendapat pendedahan dan pengalaman yang diperlukan untuk membantu mereka terus memajukan diri.

Katanya, prestasi Sabah sepanjang kejohanan itu adalah petanda baik kepada persiapan mereka mempertahankan pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) di Johor tahun depan.

"Pasukan kita juga dibarisi pemain muda dengan purata usia 18 tahun. Pemain termuda berusia 15 tahun. Penyertaan dalam kejohanan ini telah memantapkan persefahaman dan keyakinan terutama apabila berhadapan dengan lawan yang dibarisi pemain kebangsaan.

"Saya percaya, jika skuad lelaki Sabah ini terus diberi peluang beraksi dalam kejohanan ini, pasukan-pasukan gergasi negara ini pasti akan terasa dengan kehadiran Sabah yang memiliki kepantasan dan semangat juang tinggi," kata Hasrul.

Sabah ada dua tambahan permainan lagi dalam kejohanan itu iaitu perlawanan yang akan menentukan tempat kelima hingga kelapan.

  • oleh
  • Advertisement