Anda di sini

Rompak emas di lebuh raya sama seperti di Ipoh tahun lepas: Polis

Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis sedang meneliti kemungkinan kejadian rompak emas di Lebuhraya Besraya kelmarin dan rompakan serupa di Ipoh pada Ogos tahun lepas, dilakukan oleh kumpulan sama.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin pada sidang media di sini berkata pihak polis sedang berusaha untuk memastikan identiti dan menentukan modus operandi pelaku.

“Rompakan yang berlaku semalam (kelmarin) masih dalam siasatan... terdapat beberapa persamaan antara kedua-dua kes, Jabatan Siasatan Jenayah KL (CID) akan berhubung dengan rakan sejawatan di Perak mengenai butirannya,” kata Saiful Azly.

Beliau berkata, adalah penting bagi polis untuk mewujudkan pelan berkesan bagi menghalang insiden sama berulang.

“Mungkin kami boleh jalankan satu operasi khas dengan kerjasama pemilik kedai emas dan pengurup wang untuk memastikan insiden seperti ini tidak berlaku,” katanya.

Saiful Azly turut menjawab pertanyaan media mengenai ketiadaan pengiring keselamatan untuk mengawasi barangan berharga itu dalam kejadian berkenaan.

“Kami sentiasa menasihatkan mereka untuk mengupah anggota keselamatan. Bagaimanapun keputusan adalah di tangan mereka sendiri... mungkin mereka sudah biasa bergerak sendiri (tanpa pengiring keselamatan),” kata Saiful Azly pada sidang media di sini semalam selepas majlis pelupusan barang kes dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini.

Kelmarin media melaporkan seorang jurujual sebuah syarikat pengedar emas dan rakannya berdepan detik cemas apabila dirompak tiga lelaki bersenjatakan parang, di lebuh raya Sungai Besi (Lebuhraya Besraya) di sini.

Kedua-dua mangsa yang dalam perjalanan mengedarkan barang kemas di sekitar Kuala Lumpur, dihalang dua kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna hitam, sebelum tiga lelaki yang memakai topeng muka jenis ski kemudiannya memecahkan cermin kereta dan membawa lari kereta itu.

“Kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 47 dan 21 tahun itu ditarik keluar dari kereta dan ditinggalkan di tepi jalan. Mereka turut mengalami kecederaan akibat terkena serpihan cermin yang pecah.

Polis menemukan kereta yang dilarikan itu dalam keadaan terbakar di kawasan Damansara.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 kerana rompak bersenjata. — Bernama

Advertisement