Anda di sini

Kes curi motosikal, dua suspek ditangkap

Advertisement
 Salah seorang suspek yang berjaya ditangkap polis bersama sebuah motosikal yang disyaki dicuri.
DIBERKAS: Salah seorang suspek yang berjaya ditangkap polis bersama sebuah motosikal yang disyaki dicuri.

MIRI: Seorang lelaki warga Indonesia antara yang ditangkap bersama seorang lelaki warga tempatan di sebuah rumah di Kampung Pujut Adong di sini, malam kelmarin kerana disyaki terlibat dalam kes curi motosikal.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Mohd Sabri Zainol berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 39 dan 27 tahun diberkas sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.

“Dalam tangkapan tersebut, polis turut merampas sebuah motosikal yang menggunakan nombor pendaftaran palsu disyaki motosikal curi.

“Suspek lelaki tempatan direman hari ini (semalam) manakala suspek warga Indonesia ditahan selama 14 hari kerana pasportnya telah tamat tempoh untuk berada di negara ini,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Terdahulu, tangkapan terbabit dibuat susulan satu laporan polis yang dibuat seorang juruteknik lelaki, 36, kelmarin mengenai kehilangan motosikal miliknya.

Mohd Sabri berkata, mangsa menyedari motosikalnya hilang sekitar jam 3.30 pagi Isnin di hadapan sebuah kedai di Krokop.

“Pengadu yang menyewa bilik di atas kedai tersebut telah meletakkan motosikalnya di bawah bangunan kedai dalam keadaan hanya dikunci di bahagian kepala dan pengadu tidak menggunakan kunci pendua lain.

“Hasil pemeriksaan ke atas kamera litar tertutup (CCTV) milik sebuah kedai mendapati seorang lelaki tidak dikenali menggunakan helmet telah membuka bahagian ‘starter’ motosikal menggunakan alat yang telah diubah suai sehingga boleh menghidupkan enjin motosikal tersebut,” ujarnya.

Mohd Sabri berkata, susulan kejadian terbabit mangsa mengalami kerugian kira-kira RM1,000.

Advertisement