Anda di sini

Jumlah penonton siaran langsung Anugerah Emmy catat penurunan lagi

Advertisement
 

PENARAFAN bagi Anugerah Emmy untuk dunia televisyen menjunam ke tahap terendah sepanjang masa lagi, walaupun penerbit mengatasi cabaran teknikal untuk menjayakan sebuah majlis “jauh” yang inovatif dan diterima baik, ABC mengesahkan Isnin lepas.

Anugerah Emmy Ke-27, yang disiarkan dari sebuah teater kosong di Los Angeles dengan puluhan calon dan pemenang yang dipancarkan menerusi panggilan video disebabkan oleh pandemik koronavirus, disaksikan oleh pada purata 6.1 juta penonton.

Meneruskan trend yang dilihat di hampir kesemua acara anugerah besar, angka itu menurun berbanding 6.9 juta pada tahun lepas – yang juga sudah turun daripada tahap terendah, 10.2 juta, setahun sebelum itu.

Majlis didominasi tiga siri – siri terhad ‘Watchmen’ pada akhirnya memenangi 11 anugerah, ‘Succession’ memenangi hadiah drama terbaik, dan ‘Schitt’s Creek’ menyapu bersih trofi-trofi komedi.

ABC, yang cuba memberikan gambaran yang positif mengenai statistik itu, memerhatikan Anugerah Emmy bersaing dengan jadual sukan yang padat, selepas kebanyakan liga profesional utama sekarang kembali beraksi selepas sekatan pergerakan selama berbulan-bulan.

“Disiarkan serentak dengan siri NBC ‘Sunday Night Football’ dan NBA Playoffs di saluran TNT buat pertama kali dalam sejarah”, Anugerah Emmy menarik “audiens terbesar rangkaian itu kepada tempoh masa 3 jam sejak April”, ABC menyebut dalam satu kenyataan kepada AFP.

Pembabitan media sosial dengan program itu naik berbanding pada tahun lepas, tambahnya.

Majlis itu – yang diacarakan oleh hos dalam venue, Jimmy Kimmel, dan memaparkan anugerah yang disampaikan kepada pemenang oleh penyampai yang memakai sut hazmat dengan stail tuksedo – menarik reviu yang amat baik sekali daripada media Hollywood.

Variety memuji “kemenangan penerbitan yang mengejutkan” manakala Deadline memanggilnya “majlis anugerah untuk selama-lamanya”.

Penonton yang melihat Anugerah Emmy – jawapan televisyen kepada Anugerah Oscar – sudah menurun sehingga separuh sejak 2014, selepas audiens yang berpecah-belah semakin menolak majlis anugerah.

Majlis itu digilirkan di antara empat rangkaian utama di Amerika Syarikat. — AFP

Advertisement