Anda di sini

Jawatankuasa pastikan telaga minyak tidak membahayakan

Advertisement
 Kawasan di mana gas asli cecair ditemui meluap keluar dari bekas telaga minyak mentah lama pernah digali di Bukit Kanada kini sudah dipagar agar tidak diganggu orang awam sementara menunggu tindakan lanjut.
DIPAGAR: Kawasan di mana gas asli cecair ditemui meluap keluar dari bekas telaga minyak mentah lama pernah digali di Bukit Kanada kini sudah dipagar agar tidak diganggu orang awam sementara menunggu tindakan lanjut.

MIRI: Satu jawatankuasa khas dibentuk bagi memastikan semua 624 telaga minyak yang ditinggalkan di seluruh Miri tidak menimbulkan bahaya yang boleh mengancam keselamatan orang ramai dan alam sekitar.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata pasukan petugas itu terdiri daripada pakar industri minyak dan gas dipengerusikan Pejabat Residen Miri.

“Ia merangkumi pasukan daripada syarikat Petronas, Shell dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dengan Pejabat Residen Miri bertindak sebagai ketua pasukan.

“Kita juga menjemput pihak berkaitan yang pakar dalam bidang kejuruteraan petroleum dan geofizik daripada Curtin University Malaysia di sini untuk meneliti semua telaga minyak ditinggalkan di Miri khususnya terletak di Bukit Kanada (di mana penggalian minyak mentah pertama kali dilakukan),” katanya.

Lee memberitahu demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas – Penemuan Gas Asli dan Tempat Bersejarah di Miri di bilik mesyuarat Pejabat Residen Miri di sini, petang kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu berkata pakar-pakar bidang tugas berkaitan mendapatkan data mengenai lokasi sebenar lebih 600 telaga minyak yang ditinggalkan itu dan seterusnya melakukan pemeriksaan terperinci ke atas telaga-telaga itu.

Katanya, pasukan petugas berkenaan menyerahkan semua laporan lengkap mengenai telaga minyak ditinggalkan itu serta cadangan bagi tindakan perlu diambil kepada kerajaan negeri.

Pasukan petugas khas itu ditubuhkan susulan laporan-laporan berita mengenai penemuan gas asli cecair di Bukit Kanada membuak keluar, akibat kebocoran dari salah satu telaga minyak ditinggalkan di kawasan Bukit Kanada.

Bukit Kanada terkenal dengan telaga minyak pertama di negara ini dikenali Grand Old Lady (juga dikenali Telaga Minyak No.1 negara), turut menempatkan Muzium Petroleum Miri selain penempatan seperti Kampung Haji Wahed serta Kampung Lereng Bukit di kaki bukit.

Katanya, kerajaan negeri sudah dimaklumkan dan turut memberi perhatian terhadap laporan-laporan disiarkan kebelakangan ini mengenai telaga minyak ditinggalkan dan mengalami kebocoran dengan gas asli membuak keluar di Bukit Kanada menarik perhatian ramai.

Sejak insiden itu disiarkan beberapa akhbar tempatan dan tular di media sosial, Lee mengakui menerima banyak pesanan dan panggilan daripada penduduk Miri yang prihatin dan menyarankan supaya kawasan tersebut di pagar atas alasan keselamatan dan tidak menjadikannya tempat pelancongan.

“Bagi kerajaan negeri, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Balai Bomba dan Penyelamat atas tindakan pantas mengekang lokasi dijumpai dengan gas asli cecair itu, kemudian diikuti Shell memagar kawasan tersebut,” katanya.

Mengimbas kembali eksplorasi dan pengeluaran minyak di Miri, Lee memberitahu Telaga Minyak No.1 pertama kali digerudi pada 1910 dan kemudian ditinggalkan pada 31 Oktober 1972.

Walaupun Shell melepaskan pengeluaran minyak di darat namun syarikat itu juga menjaga telaga-telaga tersebut dan menutupnya dengan baik.

Namun, dipercayai salah satu daripadanya menunjukkan kebocoran mungkin disebabkan hakisan berlaku sepanjang tahun di kawasan telaga minyak ditinggalkan sejak 48 tahun lalu atau lebih.

“Kami mengadakan perbincangan baik pada hari ini dan mencari jalan memastikan semua telaga minyak ditinggalkan ini masih dalam keadaan ditutup dengan baik dan selamat kerana tumpahan minyak dan kebocoran gas boleh menyebabkan bahaya terutama bagi orang yang tinggal di sekitar kawasan tersebut,” jelas Lee.

Oleh itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak pergi ke kawasan kebocoran gas asli cecair itu dan pada masa sama memaklumkan segera kepada bomba atau Pejabat Residen Miri jika mereka menemui kejadian kebocoran serupa di kawasan mereka atau sekitarnya.

Dalam perkembangan lain, Lee berkata mesyuarat petang semalam turut menyarankan menutup terowong bawah tanah dipercayai dijadikan tempat perlindungan daripada bom dibina semasa Perang Dunia Kedua di kawasan sekitar Bukit Kanada yang ditemui semula orang awam.

“Kita menasihati orang ramai tidak masuk ke dalam terowong bawah tanah itu dibina semasa perang dunia kedua kerana masalah keselamatan sehingga kita memperolehi kajian tepat dan terperinci daripada Jabatan Muzium Sarawak,” jelas beliau.

Turut hadir pada mesyuarat itu Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting dan Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf.

  • oleh
  • Advertisement