Anda di sini

Hampir RM1 juta diluluskan untuk Kampung Buntal - Dr Abdul Rahman

Advertisement
Dr Abdul Rahman (kanan) mendengar penerangan ringkas dari pegawai JKR berhubung projek di Kampung Buntal.
Dr Abdul Rahman (kanan) mendengar penerangan ringkas dari pegawai JKR berhubung projek di Kampung Buntal.

KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan hampir RM1 juta untuk melaksanakan dua projek penting untuk penduduk Kampung Buntal.

Menteri Muda Utiliti Sarawak (Bekalan Elektrik) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, dua projek itu, pembinaan jambatan konkrit Pulau Keladi dan titian konkrit Lorong Suhaili di kampung tersebut.

Malah, tambahnya, kedua-dua projek itu menggunakan dana daripada kerajaan negeri yang diluluskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk membangunkan kawasan kampung tersebut.

"Bagi projek jambatan konkrit Pulau Keladi, Kampung Buntal ini ia menelan kos sebanyak RM509,000 yang pembinaannya telah bermula sejak Julai lalu.

"Manakala projek titian konkrit Lorong Suhaili Kampung Buntal pula menelan kos sebanyak RM404,000 juga telah bermula Julai lalu," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau projek-projek tersebut di Kampung Buntal dekat sini hari ini.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu, kedua-dua projek tersebut kini sudah mencapai 30 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini.

Kata Dr Abdul Rahman, kedua-dua projek itu di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuching selaku agensi pelaksana.

"Kita berharap projek ini dapat siap mengikut jadual yang ditetapkan supaya ia dapat memberi manfaat kepada penduduk di kampung ini.

"Pada masa sama saya mewakili Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Buntal serta penduduk kampung mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri kerana telah meluluskan peruntukan untuk membina kedua-dua projek ini," ujarnya.

Selain itu, Dr Abdul Rahman memberitahu, pihaknya bersama kerajaan negeri juga sedang berusaha memperkasakan pembangunan khususnya melibatkan komponen penting bagi memacukan sektor pelancongan di kawasan Buntal.

"Seperti sedia maklum Kampung Buntal ini popular dengan dua perkara iaitu satu kerana ia kampung nelayan yang kaya dengan hidangan makanan laut dan keduanya kampung ini juga popular dengan destinasi pelancongan kerana keindahan semula jadi yang ada di kampung ini.

"Justeru, kerajaan negeri dan persekutuan akan memperkasakan lagi prasarana penting untuk meningkatkan sektor pelancongan di kawasan ini seperti yang ada Esplanade Kampung Buntal," jelasnya.

Menurutnya lagi, ia akan menambahkan lagi kemudahan di kawasan itu khususnya untuk pelancong asing dan golongan usahawan tempatan di situ.

"Kita berusaha memastikan kemudahan tambahan dapat kita laksanakan supaya aktiviti keusahawanan dapat diadakan di situ selain kemudahan untuk kegunaan para pelancong yang datang," ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, beliau dan JKKK Kampung Buntal akan mengemukakan kertas cadangan kepada Ketua Menteri dalam masa terdekat ini bagi mendapatkan dana untuk menaik taraf kemudahan di kawasan tersebut.

Selain itu, tegasnya, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri untuk melihat keperluan pembangunan bagi merancakkan ekopelancongan di Kampung Buntal.

Dalam pada itu, Dr Abdul Rahman memberitahu kerajaan Sarawak juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM600,000 bagi projek membina Jambatan Konkrit Kampung Rampangi yang kini sudah mencapai 30 peratus siap.

  • oleh
  • Advertisement