Anda di sini

Aspirasi lancar manifesto, tekan lapan perkara untuk rakyat Sarawak

Advertisement
Soo (tengah) bersama Hugh (kanan), Buln (kiri) serta ahli lain menunjukkan Manifesto Aspirasi yang dilancarkan, hari ini. - Gambar Chimon Upon
Soo (tengah) bersama Hugh (kanan), Buln (kiri) serta ahli lain menunjukkan Manifesto Aspirasi yang dilancarkan, hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) hari ini melancarkan manifesto parti yang menekan lapan perkara dalam kandungan berkenaan.

Pada sidang media sempena pelancaran, Presidennya Lina Soo berkata, visi manifesto parti kali kini “Jadikan Rakyat Sarawak-Raya”.

“Ini adalah hala tuju Sarawak dan ia juga adalah pendirian kami di Aspirasi.

“Kami tahu ke mana Sarawak harus pergi dan kami percaya manifesto ini akan membawa Sarawak ke hadapan,” katanya.

Soo berkata perkara pertama dalam manifesto berkenaan adalah Referendum Kemerdekaan Sarawak dimana mereka menuntut referendum iaitu demokrasi yang diiktiraf secara sejagat dan sistem undi ‘one-man-one’ dengan aman.

“Keduanya Pendapatan Asas Sejagat (UBI) dimana kita memberi jaminan pendapatan asas iaitu RM500 sebulan kepada setiap orang dewasa rakyat Sarawak tanpa syarat.

“Lebihan dana akan disalur ke Dana Harta Negeri (Sovereign Wealth Fund) untuk generasi akan datang,” katanya.

Menurut Soo bayaran pendapatan asas berkenaan adalah dari cadangan pengenaan cukai 30 peratus minyak dan gas yang dianggarkan memberi pulangan kira-kira RM20 bilion kepada Sarawak.

Buat masa ini Sarawak masih lagi negeri termiskin meskipun pengeluar sumber pendapatan minyak dan gas terbesar kepada negara, dakwa beliau.

Sementara itu, perkara ketiga dalam manifesto Aspirasi adalah Tanah Kepada yang Tiada Tanah di mana semua tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) akan dikembalikan kepada pemilik tanah NCR dengan menjadi milik mereka selama-lamanya.

Antara perkara lain manifesto Aspirasi, Menolak Semua Undang-undang yang bertentangan dengan Perjanjian Malaysia 1963, Transformasi Infrastruktur dan Digital, Menentang Rasuah, Keselamatan Tanah Air dan Sekularisme-Inklusif-Harmoni.

Hadir sama Timbalan Presiden, Hugh Lawrence Zehnder dan Pengerusi Aspirasi, Buln Ribos.

  • oleh
  • Advertisement