Anda di sini

14 atlet pelajar pertama Program Prauniversiti KPM-MSN SSMS tamat pengajian

Advertisement
 Kumpulan pertama 14 atlet pelajar Program Prauniversiti KPM-MSN SSMS bersama Abidin dan Madsarin semasa majlis graduasi di SSMS, Sepanggar kelmarin.
GRADUASI: Kumpulan pertama 14 atlet pelajar Program Prauniversiti KPM-MSN SSMS bersama Abidin dan Madsarin semasa majlis graduasi di SSMS, Sepanggar kelmarin.

KOTA KINABALU: Kumpulan pertama 14 atlet pelajar Program Prauniversiti KPM-MSN di Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SSMS) menamatkan pengajian mereka.

Pelajar itu terdiri daripada 11 atlet pelajar lelaki dan tiga wanita.

Atlet pelajar lelaki terdiri daripada Azmani Aban dari sukan hoki, Brolyn Joel Numpang Anak Holand (olahraga),  Freddy Frankie (olahraga), Martyn Lim Wen Xuan (olahraga), Sepulloh Mohd Sidik (hoki), Mohd Alif Mohd Razi (olahraga), Ivern Lee Lucian (olahraga), Firdaus Mohd Zamri (olahraga), Matsyawalludin Mohd Muis (olahraga), Maxwells AK Sumuk (olahraga) dan Arman Selatan (olahraga).

Atlet pelajar wanita pula terdiri daripada Felicia Mikat (olahraga), Dayangku Arnah Fazirah Awang Latif (hoki) dan Siti Aminah Alimuddin (hoki).

Majlis graduasi pertama itu telah diadakan di SSMS, Sepanggar dekat sini  kelmarin.

Program Prauniversiti KPM-MSN di SSMS  dimulakan pada 2 Julai 2018 di mana ia adalah sekolah sukan keempat di negara ini yang menawarkan pengajian di peringkat prauniversiti.

"Sesungguhnya, kewujudan pengajian prauniversiti di SSMS dapat membuka peluang kepada atlet murid yang berbakat dalam bidang sukan khususnya, di Malaysia Timur untuk mengembangkan bakat mereka, di samping tidak ketinggalan dari segi meraih kejayaan akademik.  

"Dalam masa yang sama, dengan adanya pengajian prauniversiti di sekolah ini, maka masalah ketidakmampuan atlet pelajar Sabah dan Sarawak dari segi kewangan untuk menyambung pengajian di sekolah sukan di Semenanjung telah dapat diatasi.

"Dengan cara ini juga bakat kesukanan yang ada dalam diri setiap atlet murid tidak dibiarkan terpadam di pertengahan jalan sahaja, malah boleh digilapkan lagi untuk mencapai standard atlet bertaraf dunia," kata Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Haji Abidin Marjan semasa merasmikan majlis graduasi itu.

Katanya, selain memberi peluang seluas-luasnya kepada atlet pelajar dari Sabah dan Sarawak, progam itu turut menerima atlet pelajar dari Semenanjung.

"Hal ini bagi saya telah membuktikan bahawa mutu akademik dan kejurulatihan di SSMS telah mendapat kepercayaan daripada masyarakat, khususnya ibu bapa atlet pelajar tentang tahap kewibawaanya dari segi latihan sukan dan juga akademik.

"Justeru, menjadi harapan Jabatan Pendidikan Sabah agar SSMS akan terus cemerlang dan berupaya untuk melahirkan atlet yang bakal bergelar jaguh dunia, di samping dalam masa yang sama tetap kekal unggul dalam pendidikan akademik," kata Abidin.

Sambil itu, Pengetua SSMS, Madsarin Rahim berkata, sebahagian besar atlet pelajar itu telah mendapat tempat di universiti-universiti negara ini.

  • oleh
  • Advertisement