Anda di sini

Undi Lu Yen Tung Kapayan maju bestari

Advertisement
LU YEN TUNG
LU YEN TUNG

LU YEN TUNG, nama berkenaan tidak asing lagi kepada penduduk Penampang khususnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kapayan memandangkan sudah 25 tahun beliau sering turun padang mendengar rintihan daripada masyarakat di sekitarnya.

Lu, 56 adalah seorang ahli perniagaan mula menjinakkan diri dalam arena politik pada tahun 1995 dan beliau dari hari pertama sehingga kini adalah ahli setia MCA dalam komponen Barisan Nasional (BN).

 
 Lu ketika memulakan kempen beliau sebagai calon MCA DUN Kapayan.
APA KHABAR: Lu ketika memulakan kempen beliau sebagai calon MCA DUN Kapayan.

Bermula sebagai Timbalan Ketua Pemuda MCA bahagian Gaya sehinggalah kini memegang jawatan sebagai Pengerusi MCA Sabah.

Sepanjang tempoh berkenaan, Lu pernah berkhidmat sebagai Pemimpin Kemajuan Rakyat selama sembilan tahun di Kapayan.

Kini beliau diberi peluang untuk memacu kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini apabila akan bertanding di DUN Kapayan.

Oleh itu, permasalahan rakyat Kapayan bukan asing baginya memandangkan segala selok belok kawasan berkenaan telah dilawati sepanjang 25 tahun sebagai ahli MCA.

 Lu ketika memulakan kempen beliau sebagai calon MCA DUN Kapayan.
TURUN PADANG: Masyarakat Kapayan kelihatan selesa dengan Lu sebagai calon MCA DUN Kapayan.

"Saya sentiasa turun padang, kadang-kadang mewakili wakil rakyat MCA di sini pada satu ketika dahulu dan pelbagai aktiviti lagi.

"Saya mempunyai ramai kenalan di Kapayan dan ada di antara mereka masih mengenali saya apabila saya baru-baru ini turun berkempen...Sambutan sangat baik," katanya.

Antara aku janji Lu kepada rakyat Kapayan adalah mewujudkan satu pelan komprehensif bagi mengatasi masalah banjir yang dihadapi penduduk kawasan berkenaan apabila setiap kali berlakunya hujan lebat.

Katanya, sewaktu MCA menyandang DUN Kapayan menerusi mantan wakil rakyatnya Datuk Edward Khoo, satu pelan komprehensif telah diilhamkan untuk mengatasi masalah banjir.

 Masyarakat Kapayan kelihatan selesa dengan Lu sebagai calon MCA DUN Kapayan.
TURUN PADANG: Masyarakat Kapayan kelihatan selesa dengan Lu sebagai calon MCA DUN Kapayan.

"Pada ketika itu kita hanya tinggal menunggu peruntukan disalurkan oleh Kerajaan Pusat, tetapi malangnya pada 2013 kita kalah dalam pilihan raya umum di sini. Keadaan itu menyebabkan tidak ada tindakan susulan dilakukan ke atas pelan yang diilhamkan itu," katanya.

Selain itu katanya, beliau juga berjanji akan memulihkan sektor pelancongan Sabah dengan melaksanakan dasar yang lebih berkesan, mempromosi pelancongan tempatan dengan lebih menyeluruh, bertahap tinggi agar lebih banyak peluang pekerjaan dapat dicipta untuk penduduk tempatan seterusnya menjadikan Sabah sebagai pusat pelancongan terkemuka diperingkat antarabangsa.

MCA juga mahu mencipta peluang pekerjaan kepada golongan muda menerusi aktiviti pelancongan tempatan selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

"Penampang khususnya, walaupun kurangnya destinasi pelancongan...Pusat Kebudayaan yang ada di sini perlu diperkasakan lagi. Ianya perlu usaha promosi untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke daerah ini.

"Wujudkan produk-produk pelancongan yang berkualiti seperti makanan tradisional memandangkan kawasan ini terkenal dengan menu-menu berkenaan. Perbanyakkan lagi inap desa di sini, hotel kecil dan kepelbagaian restoran," katanya.

Sepanjang MCA diberikan mandat di Kapayan, pelbagai kemudahan infra telah diwujudkan seperti dewan atau balai raya, lampu jalan, jalan kampung dan pelbagai lagi.

"Tidak ada satu kampung di Kapayan tertinggal daripada kemudahan asas tersebut," katanya.

MCA turut membantu lebih kurang 2,000 penduduk untuk mendapatkan strata title untuk perumahan masing-masing. Bantuan turut diberikan kepada semua aliran sekolah, rumah-rumah ibadat tanpa mengira perbezaan.

Dalam pada itu, beliau turut berpendapat bahawa Sabah perlu bergerak seiring dengan Kerajaan Pusat agar boleh melahirkan suasana keadaan politik yang stabil lagi kondusif.

 Lu mesra bersua foto bersama seorang peniaga di Kapayan.
MESRA: Lu bersua foto bersama seorang peniaga di Kapayan.

Katanya sekiranya kerajaan Sabah tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan ketidakstabilan itu sentiasa menjadi masalah kepada pentadbiran negeri ini.

DUN Kapayan mempunyai kira-kira sejumlah 30,000 pengundi berdaftar, 46 peratus terdiri daripada kaum Cina dan lebih kurang 40 peratus adalah kadazan Dusun Murut, baki jumlah itu adalah bumiputera muslim.

Advertisement