Anda di sini

Peras ugut bekas teman wanita kerana tak mahu berpisah 

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan melakukan ugutan jenayah dan memeras ugut bekas teman wanitanya, berikutan mangsa mahu berpisah dengannya.

Lai Muk Nam, 40, membuat pengakuan tersebut sejurus dua pertuduhan berasingan iaitu di bawah Seksyen 385 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya. 

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan peras ugut terhadap mangsa, Soo Hui Fung, 38, manakala pertuduhan kedua pula menyaksikan tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa yang sama. 

Kedua-dua perbuatan tersebut didakwa dilakukannya semasa berada di rumah mangsa yang terletak di Taman Indah Landeh, di sini, pada 13 September lalu, jam 1.30 pagi. 

Berdasarkan keterangan kes, tertuduh datang ke rumah mangsa dan menjerit supaya mangsa membayar hutang sebanyak RM20,000 lebih sekiranya mangsa mahu berpisah dengannya. 

Tertuduh juga mengugut mahu membakar rumah mangsa sekiranya dia gagal membayar hutang tersebut.

Dalam kejadian yang sama juga, tertuduh turut mengatakan hendak melanggar kereta mangsa sekiranya ternampak mangsa di mana-mana, selain mengugut akan menganggunya di tempat kerjanya. 

Justeru, mangsa membuat laporan polis dan tertuduh ditangkap pada 19 September lalu. 

Sehubungan itu, Majistret Zubaidah Sharkawi menetapkan 20 Oktober depan sebagai tarikh pengurusan kes.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM2,500 berserta seorang penjamin tempatan bagi setiap pertuduhan.  

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin sementara tertuduh tidak diwakili peguam. 
 

Advertisement