Anda di sini

Kerajaan Perikatan Nasional masih berdiri teguh: Muhyiddin

Advertisement
MUHYIDDIN
MUHYIDDIN

KUALA LUMPUR:  Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa kerajaan Perikatan Nasional masih teguh dan beliau adalah Perdana Menteri yang sah.

Katanya  Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membuktikan dakwaan berhubung mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan menurut proses dan kaedah yang ditentukan Perlembagaan Persekutuan.

“Tanpa melalui proses itu, kenyataan Datuk Seri Anwar hanyalah dakwaan semata-mata.

“Sehingga dibuktikan sebaliknya, kerajaan Perikatan Nasional masih berdiri teguh dan saya adalah Perdana Menteri yang sah,” katanya dalam kenyataan.

Muhyiddin turut memohon rakyat bertenang menghadapi situasi terbaharu ini.

“Insya-Allah, isu ini akan ditangani dengan baik menurut proses undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin menyeru rakyat menolak tindakan membuta tuli segelintir ahli politik yang sengaja mahu menjejaskan kestabilan politik dan pelan pemulihan ekonomi negara yang sedang dilaksanakan dengan baik pada masa ini.

Perdana Menteri berkata apa yang perlu adalah sebuah kerajaan yang stabil dan teguh dengan sokongan rakyat, supaya lebih banyak inisiatif memulihkan ekonomi dan membantu rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Saya ingin mengajak saudara dan saudari sekalian supaya bersama-sama dengan saya dan rakan-rakan dalam Kerajaan Perikatan Nasional untuk mengemudi negara dalam keadaan kita masih berhadapan dengan krisis ekonomi dan kesihatan pada masa ini.

“Pengumuman yang saya buat pada hari ini menandakan Kerajaan Perikatan Nasional mendengar rintihan saudara dan saudari sekalian.

“Kita cuba sedaya upaya untuk membantu rakyat menghadapi detik yang sukar ini,” katanya dalam pengumuman khas Kerangka Inisiatif Tambahan Khas (KITA PRIHATIN) yang disiarkan secara langsung semalam.

  • oleh
  • Advertisement