Anda di sini

Ibrahimovic bantu AC Milan tewaskan Bologna

Advertisement
 Ibrahimovic (kiri) bersaing dengan penjaga gol BolognaLukasz Skorupski pada perlawanan Serie A Itali AC Milan menentang Bologne stadium San Siro di Milan kelmarin. — Gambar AFP
SENGIT: Ibrahimovic (kiri) bersaing dengan penjaga gol BolognaLukasz Skorupski pada perlawanan Serie A Itali AC Milan menentang Bologne stadium San Siro di Milan kelmarin. — Gambar AFP

MILAN: Zlatan Ibrahimovic menjaringkan dua gol ketika AC Milan memulakan musim baharu Serie A Itali dengan kemenangan apabila menewaskan Bologna 2-0 pada Isnin.

Ibrahimovic, yang akan mencecah usia 39 tahun pada bulan hadapan, menunjukkan beliau tidak hilang kemahiran menjaringkan gol selepas turut menjaringkan gol minggu lepas pada perlawanan Liga Europa menentang Shamrock Rovers dari Ireland.

“Jika saya bermain 20 tahun yang lalu, saya mungkin akan menjaringkan dua lagi gol,” kata beliau.

“Saya seperti Benjamin Button, lahir tua tetapi meninggal pada usia muda. Apa pun, pasukan bermain dengan baik: anda boleh melihat kami belum 100 peratus di tahap terbaik tetapi ia adalah penting untuk bermula baik.”

Ibrahimovic membuka jaringan pada minit ke-35, melompat tinggi berbanding Danilo untuk menanduk umpanan Theo Hernandez dan meraikan gol di hadapan kira-kira 1,000 penonton yang dibenarkan hadir di San Siro buat kali pertama sejak pandemik koronavirus (COVID-19) – kebanyakannya pekerja barisan hadapan yang bekerja-keras semasa krisis kesihatan ini.

Ibrahimovic terlepas peluang menjaringkan gol kedua lebih awal tidak lama selepas itu apabila dinafikan oleh satu terjahan Danilo.

Tetapi enam minit selepas rehat, beliau menambah jaringan dari satu tendangan penalti selepas Riccardo Orsolini mengasari Ismael Bennacer dalam kotak penalti.

Beliau terlepas peluang menjaringkan hatrik dalam separuh masa kedua selepas satu serangan pantas dimulakan Hakan Calhanoglu tetapi cubaan beliau ditepis penjaga gol Bologna, Lukasz Skorupski.

Penjaga gol Milan, Gianluigi Bonnrumma juga beraksi tangkas mengekalkan pintu golnya dari dibolosi apabila menepis cubaan Andreas Skov Olsen sebelum satu cubaan Federico Santander terkena palang gol Milan.

Bologna menamatkan permainan dengan 10 pemain apabila Mitchell Dijks dibuang padang ketika berbaki dua minit permainan.

“Mereka memiliki Ibrahimovic, kami tidak,” kata jurulatih Bologna, Sinisa Mihajlovic.

“Ibra adalah perbezaannya, semua peluang yang Milan cipta menerusi beliau tetapi ia adalah permainan seimbang.

“Mungkin kami tidak begitu percaya dengan diri kami sendiri tetapi pemain berusaha sehingga ke akhirnya, kami mencipta dua peluang terbaik.” — AFP

Advertisement