Anda di sini

Hala tuju pembangunan sektor pertanian

Advertisement
 Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Shafie memperuntukkan RM59.3 juta untuk membangun, mengaktif, memulih dan menyuburkan semula sektor ekonomi yang terjejas akibat penularan COVID-19 menerusi Rangka Pertanian Sabah New Deal.
SABAH NEW DEAL: Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Shafie memperuntukkan RM59.3 juta untuk membangun, mengaktif, memulih dan menyuburkan semula sektor ekonomi yang terjejas akibat penularan COVID-19 menerusi Rangka Pertanian Sabah New Deal.

... Fokus Kerajaan Negeri untuk bela rakyat marhaen dan jana ekonomi negeri

HALA tuju sektor pertanian selama 26 bulan pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah WARISAN Plus menyaksikan keutamaan pendekatan mesra rakyat di seluruh Sabah.

Nasib golongan petani, penternak dan nelayan terus mendapat pembelaan, begitu juga pengusaha-pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkaitan industri makanan.

Sepanjang tempoh itu juga, isu-isu sektor pertanian mendapat perhatian serius daripada Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah (MAFI).

 Shafie ditemani Junz melancarkan Rangka Tindakan Pertanian Sabah (Sabah Agriculture Blueprint) pada November tahun lepas melibatkan perancangan dan tindakan untuk tempoh 10 tahun dari 2021 hingga 2030.
PERTANIAN: Shafie ditemani Junz melancarkan Rangka Tindakan Pertanian Sabah (Sabah Agriculture Blueprint) pada November tahun lepas melibatkan perancangan dan tindakan untuk tempoh 10 tahun dari 2021 hingga 2030.

Menterinya Datuk Junz Wong dilihat cukup responsif apabila sentiasa memberikan maklum-balas dan tindakan solusi untuk mengatasi isu-isu yang menghantui akar umbi.

Lantas apa sebenarnya langkah yang dilakukan Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal merangkap Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN)?

RANGKA TINDAKAN PERTANIAN SABAH

Pada November tahun lepas, Shafie melancarkan Rangka Tindakan Pertanian Sabah (Sabah Agriculture Blueprint) melibatkan tempoh 10 tahun antara 2021 hingga 2030.

 Lawatan ke tapak Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Mesilou yang diusahakan lapan belia dengan tanaman fertigasi seperti tomato, lada hijau besar dan timun Jepun.
KOMITED: Lawatan ke tapak Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Mesilou yang diusahakan lapan belia dengan tanaman fertigasi seperti tomato, lada hijau besar dan timun Jepun.

Pelan tindakan itu merangkumi hala tuju dan aspirasi Kerajaan Negeri membangunkan sektor pertanian sebagai industri yang berupaya menjana ekonomi Sabah dan warganya.

"Objektifnya adalah untuk meningkatkan produktiviti, kualiti dan kuantiti pengeluaran sektor pertanian yang merangkumi tanaman, perikanan dan ternakan," katanya.

Usaha itu juga sekaligus berupaya memastikan pengeluaran hasil pertanian yang produktif dan bernilai tinggi menyumbang kepada bekalan makanan mencukupi.

Secara tidak langsung, intipati utama pelan jangka masa panjang itu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri mengikut kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

 Kesulitan hidup keluarga YouTuber muda, Veveonah di Pitas, mendapat perhatian Kerajaan Negeri apabila dimasukkan sebagai peserta Program Rumah Burung Walit Sentuhan Rakyat (PRBWSR). Melalui program ini, Kementerian membina 150 rumah burung walit yang diserahkan kepada 150 peserta semenjak 2019.
SENTUHAN RAKYAT: Kesulitan hidup keluarga YouTuber muda, Veveonah di Pitas, mendapat perhatian Kerajaan Negeri apabila dimasukkan sebagai peserta Program Rumah Burung Walit Sentuhan Rakyat (PRBWSR). Melalui program ini, Kementerian membina 150 rumah burung walit yang diserahkan kepada 150 peserta semenjak 2019.


POTENSI SEKTOR PERTANIAN

Potensi sektor pertanian juga dilihat cukup menyeluruh, lebih-lebih lagi apabila Bank Dunia merumuskan sektor itu penyumbang utama pembasmi kemiskinan di dunia.

Malah, sektor pertanian juga diyakini menjadi penyumbang utama kepada peningkatan kemakmuran bersama dan sumber makanan kepada 9.7 bilion penduduk dunia pada 2050.

Shafie berkata, Bank Dunia mendapati pertumbuhan sektor pertanian dua hingga empat kali berkesan dalam meningkatkan pendapatan golongan miskin berbanding sektor lain.

Sektor berkenaan juga menyumbang 8.2 peratus (%) atau RM96 bilion kepada KDNK di peringkat nasional pada 2017 dan 24% untuk KDNK Sabah dari 2010 hingga 2017.

Menariknya, pada 2018 sektor pertanian menyumbang sebanyak 0.5 juta atau 38 % daripada 1.3 juta jumlah tenaga buruh yang ada di seluruh negeri ini.

Kerajaan Negeri menyifatkan sektor yang menyediakan makanan selamat, pendapatan warga dan menjana ekonomi Sabah itu perlu dikembangkan ke peringkat antarabangsa.

Sebab itu juga, pengurusan rantaian nilai komoditi pertanian bermula dari peringkat pengeluaran sehinggalah ke peringkat hiliran dan seterusnya pemasaran dititikberatkan.

Khususnya, untuk memastikan hasil jerih payah petani, penternak dan nelayan memberi pulangan setimpal dan meningkatkan taraf hidup mereka ke tahap yang lebih tinggi.

 Hampir 20 kapal nelayan asing dari Vietnam yang menjalankan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan Sabah, dikenakan tindakan tegas semenjak 2019 apabila ditenggelamkan untuk menjadi tukun tiruan.
TEGAS: Hampir 20 kapal nelayan asing dari Vietnam yang menjalankan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan Sabah, dikenakan tindakan tegas semenjak 2019 apabila ditenggelamkan untuk menjadi tukun tiruan.


MASIH KURANG PENEROKAAN

Menyedari aktiviti-aktiviti hiliran hasil-hasil pertanian masih rendah dan kurang diteroka, Kerajaan Negeri mahu memastikan bidang-bidang terbabit mendapat bantuan sewajarnya.

Demi memastikan sektor pertanian terus berkembang dalam seluruh rantaian nilai yang turut membabitkan komoditi seperti rumpai laut dan komoditi-komoditi berpotensi.

Aspek pembangunan dan penyelidikan (R&D) dalam sektor itu juga perlu sentiasa diperkasa dan diteruskan untuk mencetuskan lebih banyak inovasi berterusan.

Misalnya, rumpai laut bukan sahaja berkhasiat dimakan, tetapi boleh juga menghasilkan plastik pembungkus uncang makanan yang sifatnya organik dan mesra alam.

"Saya pasti banyak R&D untuk penghasilan pelbagai produk hiliran berasaskan hasil pertanian boleh dibangunkan, dan inilah antara hala tuju sektor pertanian di Sabah.

"Saya yakin melalui R&D dan inovasi, kuantiti dan kualiti hasil pertanian dapat dipertingkatkan lagi tanpa menggunakan keluasan kawasan tanah yang banyak.

"Saya yakin melalui R&D dan inovasi, potensi aktiviti hiliran berasaskan sumber hasil pertanian dapat dipertingkatkan ke tahap yang lebih tinggi," kata Shafie.

Pendekatan yang diambil itu dikatakan mampu menjadikan Sabah sebagai pengeluar makanan berkualiti untuk keperluan domestik dan eksport termasuk melalui penggunaan teknologi terkini Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) yang sangat kritikal.

Sekalipun mencabar namun perkembangan teknologi untuk memastikan Sabah bergerak pantas untuk berada di hadapan dalam sektor itu perlu terus dipacu secara konsisten.


KESAN PEMINDAHAN IBU NEGARA INDONESIA

Sabah juga dilihat perlu bersiap-sedia dari awal berikutan langkah Indonesia yang mahu memindahkan ibu negaranya dari Jakarta ke Kalimantan Timur, berhampiran Tawau.

Negeri ini disifatkan perlu melihat potensi menjalin kerjasama dan perdagangan dengan negara jiran itu yang dilihat semakin terbuka luas termasuklah dalam sektor pertanian.

Daerah-daerah berjiran dan berhampiran dengan wilayah Indonesia itu, seperti Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu, dilihat wajar merebut peluang yang terbuka.

Pada masa sama, ketiadaan kemudahan kompleks bersepadu untuk pendaratan dan pengurusan import- eksport ikan khususnya di Pantai Timur diberikan perhatian serius.

Namun Ketua Menteri percaya Tawau berpotensi muncul sebagai hab makanan laut untuk rantau Asia sekiranya sektor pertanian dan perikanan dibangunkan secara lebih serius.

Mengambil-kira potensi untuk sektor pertanian juga, Junz Wong menggesa golongan petani, penternak dan nelayan serta pemain industri di negeri ini memanfaatkan peluang.

"Saya yakin dengan kerangka yang sudah disediakan sebagai panduan kita bakal mengubah landskap pembangunan sektor pertanian ke tahap yang lebih maju," katanya.


RANGKA PERTANIAN SABAH NEW DEAL DAN COVID-19

Ketika global termasuk negara dan negeri ini dilanda serangan COVID-19 pula, Kerajaan Negeri melancarkan pakej rangsangan dalam Rangka Pertanian Sabah New Deal.

Kerangka ini dilihat menjadi penanda aras penting visualisasi Kerajaan Negeri dalam meneroka potensi sektor terbabit untuk memastikan pertanian terus berkembang.

Menurut Junz Wong, komitmen Kerajaan Negeri jelas apabila sektor pertanian menerima suku atau 24.7 peratus daripada RM240 juta nilai keseluruhan pakej rangsangan terbabit.

Peruntukan RM59.3 juta itu inisiatif Kerajaan Negeri membangun, mengaktif, memulih dan menyuburkan semula sektor ekonomi yang terjejas akibat penularan COVID-19.

Antara pengisian menarik yang mampu dimanfaatkan sektor pertanian meliputi dana RM35juta untuk mempercepatkan digitalisasi sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Begitu juga peruntukan RM60 juta untuk galakan sektor swasta beralih kepada urusniaga era digital serta RM25 juta pinjaman tanpa faedah kepada pengusaha agromakanan.

Malah, RM25 juta untuk pinjaman tanpa faedah kepada pengusaha agromakanan dan RM13.21 juta ke arah mewujudkan enam pusat pengumpulan dan pemasaran hasil tani.

Selain itu, kesungguhan Kerajaan Negeri juga dilihat melalui usaha meningkatkan kapasiti Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) serta penyediaan pelbagai jenis geran.

Manfaat lain, pengurangan sewa bangunan perindustrian dan perniagaan milik agensi Kerajaan Negeri serta penangguhan bayaran balik pinjaman SEDCO kepada PKS selama enam bulan.

Lebih menarik, 169, 630 petani, penternak dan nelayan terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima bantuan wang tunai one-off RM300 menerusi pakej serupa.

 Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Putatan berjaya menghasilkan Sabah Golden Melons berkualiti di TKPM Putatan, malah, 44 rumah hijau dalam proses pengagihan kepada 10 anak tempatan.
GOLDEN LEMON: Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Putatan berjaya menghasilkan Sabah Golden Melons berkualiti di TKPM Putatan, malah, 44 rumah hijau dalam proses pengagihan kepada 10 anak tempatan.


PENGAKTIFAN PENGLIBATAN ORANG KAMPUNG DAN GRADUAN

Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan penglibatan aktif warga marhaen dalam dasar-dasar yang dilaksanakannya termasuklah dalam kerangka tindakan pertanian.

Menerusinya, pelbagai peringkat golongan sasar seperti penduduk kampung dan graduan universiti diberi bantuan khidmat nasihat dan bimbingan perusahaan serta pemasaran.

Inisiatif yang digerakkan menerusi MAFI itu menyediakan tol tanah kepada anak kampung atau graduan dan galakan untuk mereka menceburi bidang berkaitan.

Shafie menjelaskan bahawa tol (tanah) pesisiran pantai yang tidak digunakan dengan aktiviti pusat pelancongan, boleh dibangunkan untuk perusahaan penternakan ikan.

"Saya tidak mahu tumpukan untuk kegiatan menangkap ikan laut dalam sahaja, kerana kita juga sedar bahawa nelayan turut berhadapan ancaman lanun," katanya.

Menyentuh pemberitan tol tanah itu juga, kementerian mengadakan perbincangan dengan Pegawai Daerah, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah bersama Setiausaha Kerajaan Negeri.

Sasaran awalnya, penyediaan tanah tujuh ekar untuk golongan sasar menternak ikan dan dibantu dari segi perincian ikan yang sesuai, harga dan permintaan pasaran semasa.

 Junz dan kementeriannya prihatin dengan masalah-masalah berkaitan kekurangan bekalan air di kawasan sawah padi yang berpunca akibat isu saliran dan pengairan, kemarau dan banjir.
PRIHATIN: Junz dan kementeriannya prihatin dengan masalah-masalah berkaitan kekurangan bekalan air di kawasan sawah padi yang berpunca akibat isu saliran dan pengairan, kemarau dan banjir.


KEKESALAN DAN HARAPAN

Bagaimanapun, Junz Wong mengakui kecewa apabila pelan pelaksanaan tapak Pusat Pengumpulan Hasil Tani yang dikenalpasti di seluruh negeri terpaksa ditangguhkan.

Rancangan mewujudkan pusat pengumpulan itu tidak dapat diteruskan buat sementara waktu berikutan pergolakan politik sehingga Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

Dalam kenyataannya, Menteri MAFI itu berkata rancangan asal adalah menghubungkan hasil tani petani dari satu-satu kawasan dengan pasaran-pasaran yang berpotensi tinggi.

Misalnya, hasil tani petani di Kundasang dan Ranau seperti sayur-sayuran, cendawan dan bahan tenusu dirancang untuk dipadankan dengan pembeli di luar negeri dan luar negara.

Melihat potensi perancangan ini yang bakal memberikan manfaat besar kepada golongan petani, sudah tentu pelaksananaanya amat diharapkan supaya dapat direalisasikan.

Khususnya memastikan bukan hanya negeri ini yang menikmati kesan kemajuan ekonomi hasil urus niaga yang diadakan, tetapi nikmatnya turut dikongsi bersama rakyat marhaen.


VISUALIASI PERTANIAN DAN INDUSTRI MAKANAN

Sememangnya, sektor pertanian dan industri makanan membuktikan kemampuan dan keteguhannya apabila mampu terus bertahan ketika sektor lain jatuh dengan teruk.

Lebih penting, sektor inilah yang muncul sebagai satu-satunya cabang perniagaan dengan rekod graf positif ketika seluruh dunia terpaksa berhadapan dengan 'amukan' COVID-19.

Menerusi pelbagai perancangan yang sudah berjalan dan akan dijalankan, membayangkan keseriusan Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran WARISAN Plus menjana ekonomi.

Bukan hanya sekadar untuk menjadikan negeri ini sebagai negeri pengeluar hasil semata-mata, tetapi muncul sebagai pengeluar utama sumber pertanian dan makanan.

 Junz meminta semua warga kerja MAFI aktif turun padang di semua 27 daerah di negeri ini untuk memastikan pembelaan golongan sasar dilaksanakan, pada masa sama menjadikan kementerian itu yang terbaik di Sabah.
TERBAIK: Junz meminta semua warga kerja MAFI aktif turun padang di semua 27 daerah di negeri ini untuk memastikan pembelaan golongan sasar dilaksanakan, pada masa sama menjadikan kementerian itu yang terbaik di Sabah.

Malah, komitmen padu Kerajaan Negeri yang dipimpin Shafie mencari buah-buahan, sayur-sayuran dan sumber perikanan, berpotensi mengubah landskap ekonomi Sabah.

Seperkara yang pasti, Sabah kini terkenal sebagai pengeksport utama pisang saba, pamelo, dan buah tarap di pasaran dalam negara, malah pengeksport utama hasil marin hingga menembusi pasaran luar negara.

  • oleh
  • Advertisement