Anda di sini

Guardiola label Foden ‘luar biasa’, penyelamat kelab

Advertisement
Foden (tengah belakang) menjaringkan gol kedua pada perlawananLiga Peradana Inggeris antara Wolverhampton Wanderers dan Manchester City di stadium Molineux di Wolverhampton, England kelmarin. — Gambar AFP
BERGAYA:Foden (tengah belakang) menjaringkan gol kedua pada perlawananLiga Peradana Inggeris antara Wolverhampton Wanderers dan Manchester City di stadium Molineux di Wolverhampton, England kelmarin. — Gambar AFP

WOLVERHAMPTON: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, melabelkan Phil Foden sebagai ‘luar biasa’ selepas kelabnya terselamat dari ancaman kekalahan pada perlawanan pertama mereka pada musim baharu Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 3-1 ke atas Wolves pada Isnin.

Permulaan musim baharu buat City tertangguh seminggu kerana penglibatan mereka pada baki musim Liga Juara-Juara, membolehkan Liverpool membina kelebihan enam mata berbanding mereka sebelum perlawanan ini.

City tidak mampu tercicir mata di Molineux jika mahu mengekalkan saingan dengan Liverpool dan mereka mendahului 2-0 sebelum rehat menerusi gol penalti Kevin de Bruyne dan penyudah tenang Foden.

City menguasai sepenuhnya separuh masa pertama dan selepas rehat, mereka cuba bertahan selepas Raul Jimenez merapatkan kedudukan sebelum Gabriel Jesus menamatkan sebarang kebangkitan pasukan tuan rumah dengan gol ketiga pada minit kecederaan.

Gol Foden adalah perangsang yang diharapkan pada perlawanan pertama beliau sejak pemain tengah itu dihantar pulang, bersama-sama dengan penyerang Manchester United, Mason Greenwood selepas kedua-dua pemain melanggar protokol koronavirus (COVID-19) apabila membawa wanita tempatan ke bilik hotel pasukan kebangsaan England semasa perlawanan Liga Negara UEFA menentang Iceland.

Tindakan pemain itu dikecam secara terbuka oleh City tetapi pemain berusia 20 tahun itu mendapat kepercayaan Guardiola.

“Untuk gol dan dalam separuh masa kedua, Foden bermain dengan sangat luar biasa bagus. Beliau membantu kami mengekalkan bola,” kata Guardiola.

Ketika City menyamai rekod Aston Villa memenangi 10 pembukaan musim secara berturut-turut, tiada keraguan bahawa Liverpool tetap kuasa awal saingan dalam Liga Perdana Inggeris ketika ini.

Tetapi Guardiola berasa gembira untuk memulakan musim dengan kemenangan jika mengambil kira tempoh pramusim yang sangat singkat berbanding kebiasaannya.

“Pemain tidak dapat berlari seperti biasa kerana mereka keletihan tetapi secara amnya bermain dengan baik,” kata beliau.

“Tempoh yang kami ada, dalam situasi yang kami alami pada dua minggu terakhir, saya menjangkakan ada ketika kami terjejas tetapi secara amnya, kami mengawal permainan dengan baik.

Ia kelihatan seperti satu musim yang penting untuk City dan Guardiola ketika mereka cuba merampas kembali kejuaraan liga yang dimenangi pada 2018 dan 2019.

Guardiola berkata beliau memerlukan lanjutan kontrak “selayaknya” di City berbanding hanya diberikan untuk mencukupi syarat ketika memasuki tahun terakhir kontrak semasanya.

Selepas menamatkan saingan musim lepas dengan ketinggalan 18 mata di belakang Liverpool dan tersingkir di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara, City perlu memberikan saingan lebih kuat musim ini dan petanda awal amat menggalakkan.

De Bruyne tidak menunjukkan sebarang kealpaan selepas diundi sebagai Pemain Terbaik PFA musim lepas apabila menjadi pemacu utama kemenangan City.

Pada minit ke-20, beliau menembusi pertahanan Wolves tetapi dijatuhkan Romain Saiss dalam kotak penalti, menyebabkan pengadil tidak teragak-agak memberikan tendangan penalti yang mudah disempurnakan oleh beliau sendiri.

City tewas dua kali kepada Wolves musim lepas tetapi mereka mempamerkan aksi yang lebih baik dan menambah jaringan pada minit ke-32 apabila Foden menyempurnakan umpanan Raheem Sterling.

De Bruyne mempunyai peluang menjadikan kedudukan 3-0 tetapi penyudah beliau ditepis penjaga gol Wolves, Rui Patricio.

Wolves meningkatkan permainan selepas rehat dan keletihan pemain City jelas kelihatan apabila Daniel Podence melihat rembatannya tersasar sebelum satu umpanan lambung ditepis penjaga gol City, Ederson.

Jimenez mencemaskan City apabila menyempurnakan umpanan Podence untuk gol pertama Wolves pada minit ke-78 tetapi ketika Wolves memburu gol penyamaan, Jesus menjaringkan gol ketiga pada minit kecederaan. — AFP

Advertisement