Anda di sini

Tentera gagal rayuan hukuman rogol janda

Advertisement
 Perayu (tiga kanan) selesai prosiding mahkamah semalam.
HUKUMAN KEKAL: Perayu (tiga kanan) selesai prosiding mahkamah semalam.

KUCHING: Mahkamah Rayuan semalam mengekalkan hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan dihadapi seorang anggota tentera yang disabitkan atas kesalahan merogol seorang janda di sebuah rumah pada Oktober 2015.

Sidang panel hakim terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Ravinthran Paramaguru dan Dato Indera Mohd Sofian Tan Sri Abdul Razak menerusi persidangan secara dalam talian sebulat suara menolak rayuan yang dibuat Iskandar Zulkarnain Zulhisham, 24.

“Rayuan ditolak. Mahkamah Sesyen tidak membuat sebarang kekhilafan dalam menjatuhkan hukuman ke atas perayu dan hukuman ini juga dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi,” ujar Kamaludin semasa memberikan keputusan.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad mendapati perayu bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan terhadapnya pada 28 Mac 2018, mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa merogol seorang janda berusia 35 tahun pada 27 Oktober 2015 jam 12.01 tengah malam di sebuah rumah tidak bernombor di Sematan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa membuka pintu hadapan rumahnya kerana menyangka bapanya pulang.

Namun, mangsa sedar bahawa bunyi ketukan itu datang dari pintu belakang dan setelah dia membuka pintu tersebut, seorang lelaki (perayu) yang menutup mukanya dengan kain, terus masuk dan merangkul mangsa dari belakang.

Lelaki berkenaan kemudian memberitahu yang dia mahukan mangsa dan mengarahkannya tidak menjerit.

Mangsa yang berada dalam ketakutan menjerit meminta pertolongan namun lelaki berkenaan mengacukan pisau ke arah pipinya dan mengugut mangsa agar tidak melawan, sebelum memukulnya di bahagian kepala.

Mangsa yang berada dalam keadaan pening diheret oleh lelaki tersebut sehingga ke bilik dan perayu kemudian meletakkan mangsa di atas katil sebelum merogolnya.

Timbalan Pendakwa Raya Samihah Rhazali dalam penghujahannya berkata, mangsa mengalami kecederaan dan trauma akibat perbuatan kejam itu.

“Mangsa diheret ke bilik tidurnya dan diugut menggunakan pisau. Justeru, perayu layak dipenjara selama 15 tahun,” ujarnya semasa prosiding.

Perayu diwakili peguam Ateng Jeros.

Advertisement