Anda di sini

Sarawak bakal lancar VSAT dua bulan lagi

Advertisement
Abang Johari menerima cenderamata daripada Dr Abdul Rahman pada majlis pecah tanah Pembinaan Bangunan Baharu PPNS di Kota Samarahan. - Gambar oleh Roystein Emmor
Abang Johari menerima cenderamata daripada Dr Abdul Rahman (dua kiri) pada majlis pecah tanah Pembinaan Bangunan Baharu PPNS di Kota Samarahan. - Gambar oleh Roystein Emmor.

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan negeri bakal melancarkan kemudahan rangkaian internet menggunakan teknologi Terminal Satelit Apertur Sangat Kecil (VSAT) di Sarawak dalam tempoh dua bulan akan datang.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, VSAT berfungsi sebagai pengendali yang menyalurkan rangkaian internet ke menara telekomunikasi.

“Kita (Sarawak) mempunyai menara telekomunikasi tetapi kita tidak ada pengendali untuk membekalkan rangkaian internet terutama di kawasan pedalaman.

“Justeru bagi mempercepatkan capaian internet di kawasan pedalaman berikutan faktor geografinya yang terpencil, perkhidmatan VSAT diperlukan di Sarawak dengan kelajuan 30mbps berbanding 5mbps,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pecah tanah Pembinaan Bangunan Baharu Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) di tapak bersebelahan Terminal Bas Kota Samarahan di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan tetamu kehormat lain.

Sehubungan itu, Abang Johari berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi tujuan tersebut.

“Ia akan dikendalikan oleh Lembaga Multimedia  Sarawak (SMA) dan dengan ini, capaian internet kita akan lebih menyeluruh dari Kuching sehingga ke Lawas.

“Ini adalah inisiatif kita untuk memajukan bidang pertanian di kawasan luar bandar dengan kaedah moden menggunakan sistem Internet Untuk Segala-galanya (IoT) di samping dapat mendidik para petani tanpa menggunakan banyak baja,” katanya.

Apabila Sarawak dilengkapi dengan kemudahan  telekomunikasi termasuk jalan raya, jambatan, bekalan elektrik dan air, katanya maka lebih mudah untuk penduduk luar bandar memasarkan produk mereka ke dalam dan luar negeri.

“Selepas wujudnya Pejabat Pelancongan dan Perdagangan Sarawak, Singapura (STATOS), kita mengeskport ikan tilapia ke Singapura dan seterusnya ialah terung asam.

“Bukan itu sahaja bahkan kita akan mewujudkan fungsi pejabat yang sama di Brunei dan Pontianak, Indonesia dalam usaha menembusi pasaran antarabangsa,” ujarnya.

Dengan semua usaha itu, beliau yakin Sarawak akan menjadi pembekal makanan dalam tempoh lima tahun akan datang.
 

  • oleh
  • Advertisement