Anda di sini

Pembangunan sekolah menengah antarabangsa usaha Sarawak lahir modal insan cemerlang, berdaya saing

Advertisement
Abang Johari menyempurnakan simbolik majlis pecah tanah projek bangunan YSISS di Batu 12, Jalan Kuching-Serian. (turut kelihatan (dari kanan) Sharifah Hasidah, Dr Abdul Rahman,  Azmi, Dr Sim dan Manyin. Gambar Muhammad Rais Sanusi.
Abang Johari menyempurnakan simbolik majlis pecah tanah projek bangunan YSISS di Batu 12, Jalan Kuching-Serian. (turut kelihatan (dari kanan) Sharifah Hasidah, Dr Abdul Rahman, Azmi, Dr Sim dan Manyin. - Gambar Muhammad Rais Sanusi.

KUCHING: Pembangunan sekolah menengah antarabangsa di Sarawak langkah permulaan kerajaan negeri meningkatkan taraf pendidikan di negeri ini ke peringkat antarabangsa.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ia juga usaha Sarawak mengatasi dilema tenaga kerja dihadapi industri di negeri ini.

Beliau berkata bagi tujuan itu kerajaan negeri membangunkan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSSIS) dengan projek pertama terletak di Batu 12, Jalan Kuching Serian dekat sini.

Projek berkenaan merupakan antara lima Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak dirancang dibangunkan di negeri ini, selain sebuah lagi masing-masing di Kuching, Sibu,Miri dan Bintulu, lokasinya masih belum dimuktamadkan lagi.

"Peristiwa hari ini sangat penting khususnya dari segi pembanggunan pendidikan, iaitu kita memulakan pembangunan sekolah antarabangsa disebut 'Yayasan Sarawak International Secondary School', yang pertama di negeri ini di bawah kelolaan sepenuhnya kerajaan negeri menerusi Yayasan Sarawak.

"Sudah tentu ini akan memberi manfaat kepada generasi muda kita mendapat ilmu setinggi-tinggi untuk membangunkan negeri khas dan negara amnya pada masa menaikkan taraf pendidikan kita ke peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah bagi projek Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak yang pertama dekat sini, hari ini.

Abang Johari berkata Sarawak ketika ini berdepan masalah merekrut tenaga kerja yang benar-benar berkebolehan dan menepati keperluan sektor industri khasnya di negeri ini.

Menurutnya, Sarawak berdepan dilema kerana pada masa sama ramai anak tempatan merupakan graduan universiti tetapi kelayakan mereka tidak memenuhi keperluan industri.

"Ini suatu agak bertentangan, kalau ada graduan, pastinya kita tidak akan berdepan masalah untuk mendapatkan tenaga kerja tetapi masalahnya sesetengah daripada mereka ini tidak fasih berbahasa antarabangsa khasnya Bahasa Inggeris.

"Dalam penguasaan bahasa Inggeris, sesetengah graduan kita penguasaan mereka agak lemah...Mereka tidak diambil bekerja hanya kerana satu sebab, tidak fasih berbahasa." ujarnya.

Justeru katanya pembangunan YSISS merupakan usaha kerajaan negeri melatih generasi muda Sarawak dalam jurusan sesuai dengan keperluan masa depan yang berkisarkan kepada teknologi.

Pada masa sama katanya YSISS akan menyediakan persekitaran pendidikan yang lebih berdaya saing selain menyediakan pendidikan bertaraf antarabangsa kepada anak-anak daripada golongan B40.

"Ini sebabnya Kerajaan Negeri Sarawak menubuhkan sekolah ini, bukan kerana kita tidak percaya dengan sistem pendidikan negara...Kita sebenarnya mengikut sistem pendidikan negara.

"Kita berkeyakinan menerusi sekolah-sekolah antarabangsa ini, kita dapat melahirkan anak Sarawak yang mampu berdiri sama tinggi di peringkat dunia," katanya sambil menambah Sarawak menekankan dasar pendidikan yang harus memberi impak positif kepada pelajar.

Mengulas lanjut mengenai YSISS Abang Johari berkata sekolah antarabangsa itu nanti akan menghimpunkan pelajar-pelajar terbaik dari seluruh Sarawak tanpa mengira latar belakang.

Beliau menambah YSISS akan diberi pendidikan mengikut silibus antarabangsa, dengan yuran pengajian akan ditangggung oleh Yayasan Sarawak.

"YISS menyediakan asas kepada pelajar kita untuk melanjutkan pengajian mereka di tiga universiti tempatan milik penuh kerajaan negeri iaitu Universiti Swinburne Sarawak, University Curtin Sarawak dan University College Of Technology Sarawak.

"Manakala mereka yang cemerlang dan mahu melanjutkan pengajian di peringkat seterusnya akan dihantar ke Universiti Cambridge, London School of Economics, Universiti Stanford dan Universiti Oxford  di bawah program biasiswa Yayasan Sarawak.

Kerja-kerja pembinaan bangunan YSISS di Batu 12, Jalan Kuching-Serian dijadual bermula Jun 2021 dan dijangka siap dalam masa 18 bulan iaitu menjelang Disember 2022  dan pengambilan pertama pelajar awal 2023.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa'ee, Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Menteri Muda Bekalan Air Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi,  Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Kameri Affandi, Pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang dan Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak Abang Mat Ali Abang Masagus.

  • oleh
  • Advertisement