Anda di sini

Mahkamah terima permohonan Chong Chieng Jen untuk meminda pernyataan pembelaan

Advertisement
(dari kiri) Roland, Chong Siew Chiang, Tan Kee Heng dan Micheal Kong yang mewakili Chong Chieng Jen.
(Dari kiri) Ronald, Chong Siew Chiang, Tan Kee Heng dan Micheal Kong yang mewakili Chong Chieng Jen.

KUCHING: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini menerima permohonan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen untuk meminda pernyataan pembelaan berhubung kes saman sivilnya dengan Kerajaan Negeri Sarawak dan Pihak Berkuasa Kewangan Sarawak. 

Sidang panel hakim yang terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Ravinthran N. Paramaguru dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin memutuskan demikian selepas menerima penghujahan yang dikemukakan oleh perayu yang menyatakan bahawa tidak timbul isu penangguhan selama tujuh tahun dalam meminda pernyataan pembelaan tersebut.

Jelas Ronald Ong yang mewakili Chong (perayu), kes saman sivil ini telah tamat untuk sebahagian besar antara tahun 2014 hingga 2020.

Justeru menurut beliau, isu meminda pernyataan pembelaan tidak timbul berikutan Mahkamah Tinggi mengetepikan kes itu dan Mahkamah Rayuan telah membuat penghakiman terhadap defendan.

Keadaan ini juga menurut Ronald, akan memudaratkan kes defendan di Mahkamah Persekutuan sekiranya permohonan pindaan difailkan sebelum Semakan Mahkamah Persekutuan dibatalkan.

Sehubungan itu, pengurusan kes saman sivil tersebut ditetapkan di Mahkamah Tinggi pada 24 September ini. 

Selain Ronald, Chong diwakili peguam, Chong Siew Chiang, Tan Kee Heng dan Pembantu Khas beliau, Micheal Kong.

Sementara itu, Penasihat Undang-Undang Sarawak Dato Sri JC Fong, Pegawai undang-undang negeri Mohamad Adzrul Adzlan dan Oliver Chua hadir mewakili pihak Kerajaan Negeri Sarawak dan Pihak Berkuasa Kewangan Sarawak. 

Dato Sri JC Fong selesai prosiding.
Dato Sri JC Fong selesai prosiding.

Menurut laporan terdahulu, pada 2013, mantan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna tersebut menggunakan istilah 'black hole' untuk menyatakan sejumlah RM11 bilion hilang dari tabung negeri.

Beliau juga menerbitkan tuduhan itu dalam akhbar nasional dan portal berita nasional seperti Rocket, Malaysiakini dan Sin Chew Jit Poh pada 3 Januari 2013.

Kerajaan negeri menanggap kenyataan Chong yang juga Ahli Parlimen Stampin dan ADUN Kota Sentosa tersebut seolah-olah memberi makna yang pihaknya dan Lembaga Kewangannya menyalurkan berbilion ringgit untuk faedah kroni ahli-ahli Kerajaan dan keluarga mereka melalui proses belanjawan.

Akibatnya, kerajaan Sarawak dan Pihak Berkuasa Kewangan Sarawak memfailkan saman fitnah terhadapnya pada 3 April 2013 di Mahkamah Tinggi Kuching. 

  • oleh
  • Advertisement