Anda di sini

Kerajaan WARISAN Plus perkasa belia Sabah

Advertisement
 Phoong bersama peserta Persidangan Majlis Perundingan Beliau Negeri Sabah pada 14 Ogos 2019 dalam usaha mewujudkan SYAC.
BERSAMA PESERTA: Phoong bersama peserta Persidangan Majlis Perundingan Beliau Negeri Sabah pada 14 Ogos 2019 dalam usaha mewujudkan SYAC.

.. Peruntukan besar disediakan kerajaan menerusi Bajet 2020


BELIA di negeri Sabah diperkasakan di bawah tampuk pemerintahan Kerajaan WARISAN Plus menerusi peruntukan dan perhatian yang diberikan serta pelbagai program yang dilaksanakan.

Menerusi pembentangan Belanjawan Sabah 2020 yang diumumkan olah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 15 November 2019, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM86.71 juta untuk program-program pemerkasaan golongan belia sepanjang tahun ini.

Dalam pembentangan itu jelas Shafie, kerajaan negeri mengiktiraf golongan belia sebagai aset penting masa depan dan peruntukan kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) itu adalah bertujuan mengurus dan melaksanakan program-program pembangunan belia serta sukan di negeri ini.

Peruntukan itu turut menyediakan RM14.1 juta untuk memperkukuh kewibawaan belia Sabah di mana usaha-usaha akan dibuat untuk memperkasa dan meningkatkan penglibatan belia dalam sektor-sektor ekonomi berimpak tinggi seperti pertanian, pelancongan, digital, minyak dan gas serta kebudayaan.

Sejurus selepas pembentangan belanjawan berkenaan, pada 19 November 2019, Shafie telah meluluskan dana usahawan Program Aspirasi Keusahawanan Belia Sabah (YEAP) sebanyak RM2 juta yang telah disalurkan kepada KBSS yang mana memanfaatkan lebh 1,000 belia di Sabah untuk mengembangkan potensi dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

Shafie berkata, geran khas itu yang sebelum ini dikenali sebagai Skim Keusahawanan Belia Sabah (YESS) akan diagihkan secara 'one-off' kepada usahawan belia yang menepati kriteria dan syarat kelayakan ditetapkan.

Beliau berkata, dana berkenaan adalah untuk melibatkan seramai mungkin belia Sabah berkecimpung dalam dunia perniagaan kerana golongan ini memiliki minat tinggi, yang jika diberikan bimbingan tepat, mampu menjadi usahawan berjaya dalam mengeluarkan produk berkualiti dan bermutu berdasarkan permintaan pasaran.

 Shafie (kiri) ketika melawat Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kota Kinabalu yang diubahsuai sebagai 'extension' Hospital Queen Elizabeth I bagi menangani wabak COVID-19, pada 22 April 202O.
LAWAT: Shafie (kiri) ketika melawat Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kota Kinabalu yang diubahsuai sebagai 'extension' Hospital Queen Elizabeth I bagi menangani wabak COVID-19, pada 22 April 202O.

Shafie mahu golongan belia Sabah yang berkecimpung dalam bidang keusahawanan menerapkan elemen inovatif dan kreatif dalam menghasilkan produk seterusnya memastikan perniagaan bergerak lebih mapan.

Sementara itu, KBSS menyatakan kriteria dan syarat kelayakan yang ditetapkan dalam program YEAP termasuk pemohon mestilah belia Sabah berumur 18 hingga 35 tahun, memiliki lesen perniagaan sendiri dan rancangan perniagaan.

Menurutnya, setiap pemohon terpilih akan menerima dana sebanyak RM2,000 seorang bagi memulakan perniagaan masing-masing.

Sejak permohonan YEAP dibuka pada Februari 2019 hingga Julai 2019, KBSS menerima sebanyak 1,787 permohonan yang juga memperlihatkan bahawa belia Sabah memelukan bantuan serius daripada kerajaan negeri.

Selain itu, KBSS juga dalam perancangan menubuhkan pusat potensi belia dikenali sebagai Sabah Youth Aspirations Center (SYAC) yang akan bertindak sebagai pusat sehenti belia dan akan diletakkan sebagai salah satu program di bawah kementerian itu.

 Penyerahan replika cek daripada KBSS, Phoong (kiri) kepada president MBS Farid pada 4 Jun 2020.
CEK: Penyerahan replika cek daripada KBSS, Phoong (kiri) kepada president MBS Farid pada 4 Jun 2020.

Inisiatif itu termasuk antara keutamaan Kerajaan Negeri selaras Pelan Strategik Pembangunan Belia sabah 2016-2030 membabitkan peruntukan sebesar 86.1 juta.

Menurut Menteri Belia dan Sukan Phoong Jin Zhe, ideanya untuk mewujudkan SYAC akan memainkan peranan penting di dalam agenda pembangunan dan pemerkasaan belia di negeri ini, khususnya melibatkan keusahawanan.

"Perkara ini dilakukan kerana kita tahu ramai golongan belia yang mahu memulakan perniagaan tetapi berhadapan masalah modal," katanya dan menambah bahawa beliau juga akan memberikan tumpuan kepada usaha mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang kreatif termasuk nyanyian dan tarian.

Sabah yang kemudiannya berhadapan dengan situasi pandemik COVID-19 melihat perubahan yang drastik dalam usaha pelaksanaan program yang memberi kesan kepada seluruh rakyat dan menyaksikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan segala aktiviti ekonomi dan social di negara ini.

Pada 13 Mac 2020, Phoong mengeluarkan kenyataan rasmi KBSS untuk penangguhan penganjur acara sukan dan program belia yang membabitkan orang ramai untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

Saranan menangguhkan acara sukan dan program belia itu dibuat berikutan pengesahan kes positif COVID-19 yang pertama di Sabah pada 12 Mac 2020.

Menerusi kenyataan berkenaan, penganjur acara-acara ini dinasihatkan agar mematuhi arahan dan nasihat yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia manakala orang ramai dinasihatkan agar mengelakkan diri daripada menyertai perhimpunan yang melibatkan orang ramai.

Sungguhpun sedemikian, usaha memperkasakan belia Sabah tetap diteruskan dengan usaha daripada persatuan-persatuan belia di Sabah.

Pada 14 April 2020, KBSS telah meluluskan geran sebanyak RM345,000 di bawah program Hak Upaya Persatuan untuk menjayakan #DapurBelia anjuran Majlis Belia Sabah (MBS).

Phoong berkata, Program #DapurBelia bertujuan menggiatkan lagi aktiviti kesukarelawan dalam kalangan belia di Sabah dan sejak ia digerakkan oleh MBS pada Mac lepas, #DapurBelia Berjaya mengedarkan lebih 1,000 pek bantuan dapur kepada golongan yang terjejas melalui kutipan dana awam dan korporat.

 Shafie melawat gerai pameran usahawan tempatan selepas melancarkan Dana Usahawan YEAP.
PAMERAN: Shafie melawat gerai pameran usahawan tempatan selepas melancarkan Dana Usahawan YEAP.

"Sebagai langkah membantu para usahawan belia Sabah bangkit selepas COVID-19, KBSS turut memperuntukkan sebanyak RM300,000 untuk menyediakan kursus intensif kepada usahawan belia yang terpilih.

"Program ini membantu memacu penglibatan usahawan belia dalam transaksi dan perdagangan atas talian agar mereka tidak lagi terkesan sekiranya terdapat lagi wabak yang datang pada masa hadapan.

"Langkah ini seiring dengan keperluan Revolusi 4.0 yang lebih mencabar di samping norma baharu dalam dunia perniagaan pasca wabak COVID-19.

"KBSS turut menjalin usahasama dengan MBS melalui kempen yang dikenali sebagai #BeliaSabahPrihatin atau #SabahYouthCares sebagai platform para belia menyatakan cabaran serta cadangan solusi kepada kerajaan negeri melalui KBSS.

"Cadangan boleh dihantar melalui laman sesawang MBS iaitu beliasabah.org.my/SabahYouthCares," katanya.

Meneruskan usaha pembangunan belia, Phoong pada 22 Mei 2020 mengeluarkan kenyataan bahawa program belia negeri ini akan dijalankan secara dalam talian (online) dan ini adalah antara perubahan dalam Program Pembangunan Bellia 2020 di mana ia adalah normal baharu terutama selepas berlakunya krisis pandemik wabak COVID-19.

"Seperti mana yang sedang dialami banyak pihak, kementerian saya juga harus melihat secara mendalam bagaimana sesuaikan diri dalam era normal baharu ini.

"Banyak program yang dulu melibatkan orang ramai secara offline kini tidak lagi sesuai dijalankan. Maka, kita harus melakukan perubahan. Banyak program harus dijalankan secara online," katanya.

Tidak berhenti setakat itu, MBS pada 8 Ogos 2020 MBS dengan kerjasama North Borneo Collective (NBC) menganjurkan Sabah Awakening Youth E-Festival secara atas talian di laman rasmi Facebook MBS bermula jam 11.30 pagi hingga 8.30 malam.

E-Festival ini mendapat sokongan penuh daripada KBSS dan akan dirasmikan oleh Phoong yang mana penganjuran festival atas talian kali pertama ini adalah sebagai komitmen untuk terus membawakan program- program pembangunan belia Sabah meskipun dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Program ini adalah kesinambungan usaha MBS menyantuni mereka yang terjejas ketika PKP dijalankan.

Sepanjang bulan Mac hingga Julai, program bantuan barang dapur MBS #DapurBelia yang mendapat bantuan KBSS telah memberi manfaat kepada lebih 30,000 orang penerima.

Sabah Awakening Youth E-Festival adalah program susulan bagi membantu belia terus cekal dan bersikap positif dalam menghadapi cabaran yang dialami kini dan masa hadapan.

Selain daripada persembahan daripada artis tempatan, E-Festival ini juga mempromosikan produk kraf tangan bermotifkan seni kreatif Sabah dan sesi Debat Ala Parlimen daripada wakil Sekolah Menengah Sains Sabah dan Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu.

Sesi perkongsian dariapada 'social media influencer' Veveonah Mosibin dan juga Duyung Darat juga diselitkan bagi memberi idea baharu mengenai peluang ekonomi digital yang boleh diusahakan oleh belia Sabah.

Usaha mempromosikan peluang digital ekonomi ini dimantapkan lagi dengan kehadiran Facebook Gaming Partner pertama di Sabah iaitu  MicaHoya.TV yang merupakan pemain permainan elektronik profesional yang berkongsi tips dan pengalaman beliau sebagai Facebook Gaming Partner.

Sementara itu, MBS juga telah menganjurkan Kembara Merdeka Belia pada 31 Ogos 2020 bersempena Hari Kebangsaan untuk menjadi platform menerapkan semangat kemerdekaan dalam kalangan belia.

Program berkenaan mendapat kerjasama Kementerian Luar Negeri, Jabatan Belia dan Sukan Sabah, KBSS, Jabatan Keretapi Negeri Sabah dan Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Bawah.

Setiausaha Agung MBS Noorziean Mohd Tairudin berkata, seramai 100 peserta terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

Menurutnya, para peserta didedahkan dengan aktiviti yang bertujuan memupuk semangat kemerdekaan dan patriotisme.

Katanya, belia yang menyertai program itu turut berkesempatan mengikuti aktiviti Kempen Cinta Alam dan Kempen Belia Sihat.

"Semua peserta bertolak menaiki kereta api dari Kota Kinabalu ke Beaufort bermula jam 7.45 pagi dan balik semula pada jam 5 petang. Antara pengisian program yang dijalankan termasuklah Kuiz Merdeka, Nyanyian lagu Merdeka, dan ‘Hiking Merdeka’ di Bukit Bendera Beaufort. Menerusi Kempen Cinta Alam, para peserta terlibat dengan penanaman pokok durian di Bukit Bendera Beaufort serta berpeluang menyertai demonstrasi masak ambuyat," jelasnya.

Sehubungan dengan usaha kerajaan negeri terhadap belia Sabah, MBS dan 17 gabungan yang bernaung di bawahnya menyatakan penghargaan mereka terhadap kerajaan negeri, terutamanya Ketua Menteri yang banyak membantu merealisasikan pemerkasaan belia negeri ini melalui peruntukan geran yang diberikan.

Gabungan persatuan di bawah naungan MBS ialah Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sabah (PPMCS), Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sabah (PPPMCS), Pergerakan Puteri Islam Malaysia Perhubungan Negeri Sabah (PPIM Sabah), St. John Ambulans Malaysia Negeri Sabah (SJAM Sabah), Angkatan Belia Islam Malaysia Negeri Sabah (ABIM Sabah), Pergerakan Pemuda Malaysia (YMM Sabah), Pertubuhan Gerakan Belia Bersatu Malaysia (GBBM), Junior Chamber International (JCI) Malaysia Sabah (JCI Area Sabah).

Briged Putera Malaysia Sabah (BB SABAH), Briged Puteri Malaysia Sabah (GB SABAH), Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Sabah (BSMM Sabah), Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pantai Barat Selatan (GPBBPBS), Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pantai Barat Utara (GPBBPBU), Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Bawah (GPBBPB), Gabungan Persatuan Belia Bahagian Sandakan (GPBBS), Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pedalaman Atas (GPBBPA) dan Gabungan Persatuan Belia Bahagian Tawau (GABETA).

Menurut Presiden MBS Ahmad Farid Sainuri, peruntukan geran berjumlah RM2,549,000 diberikan kepada MBS dan badan gabungan berkenaan secara berfasa.

Jelasnya, fasa pertama sebanyak 50 peratus yang membabitkan RM1,274,500 daripada jumlah keseluruhan peruntukan geran kepada Majlis Belia Sabah (MBS) sudah diluluskan pada 4 Jun 2020.

Tambahnya, baki 50 peratus lagi daripada jumlah geran berkenaan akan disalurkan pada fasa kedua mengikut prestasi dan aktiviti yang dijalankan.

Pihaknya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal melalui Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) yang memberikan peruntukan geran berkenaan.

 Shafie menyerahkan replika cek berbilang RM2 juta kepada Phoong (empat, kiri) pada Majlis Pelancongan Dana Keusahawanan YEAP di Dewan Undangan Negeri Sabah pada 19 November 2019.
SERAH: Shafie menyerahkan replika cek berbilang RM2 juta kepada Phoong (empat, kiri) pada Majlis Pelancongan Dana Keusahawanan YEAP di Dewan Undangan Negeri Sabah pada 19 November 2019.

"Peruntukan ini pastinya mendorong MBS dan badan gabungan untuk melaksanakan gerak kerja dengan lebih efektif dan profesional.

"Kepercayaan berterusan KBSS yang memperuntukkan geran tahunan ini sejak lebih 10 tahun lepas menzahirkan keseriusan pihak kementerian dalam menghak upaya MBS serta badan gabungan.

"Setakat Mei 2020, MBS dan badan gabungan mempunyai keahlian lebih 195,000 orang di seluruh Sabah," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima baik kaedah baharu penganugerahan dana secara berfasa yang diperkenalkan oleh KBSS pada tahun ini.

Pada masa sama, MBS dan badan gabungan komited untuk terus melaksanakan aktiviti pembangunan belia di seluruh negeri dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan negeri Sabah.

Langkah itu katanya, bagi memastikan negeri dan negara yang tercinta bebas daripada jangkitan wabak COVID-19.

  • oleh
  • Advertisement