Anda di sini

Juhari calon BN terbaik untuk DUN Kuamut: Hishammuddin

Advertisement
 Hishammuddin bersama Juhari menyantuni sebuah keluarga yang anak mereka OKU.
MESRA RAKYAT: Hishammuddin bersama Juhari menyantuni sebuah keluarga yang anak mereka OKU.

KINABATANGAN: Pemilihan Dato’ Juhari Haji Janan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini adalah tepat berdasarkan perjuangan selama 30 tahun dalam parti UMNO.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Juhari yang dilahirkan dalam kilang Pemuda UMNO dan disuntik jatuh bangun serta susah payah bagi meneruskan perjuangan untuk parti, rakyat dan negara.

"Ini bukan untuk perjuangan peribadi. Juhari menunggu 30 tahun baru mendapat peluang dicalonkan sebagai calon BN…begitulah dia menunggu dan setia kepada parti," katanya ketika berucap perjumpaan bersama pengundi dan jentera BN di Kampung Entilibon Simpang, pagi semalam.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Sembrong berkata, Juhari seorang pemimpin yang setia dalam perjuangan serta memiliki sikap setia kawan tinggi.

 

Hishammuddin menyifatkan pemilihan Juhari sebagai calon BN bagi kerusi DUN Kuamut adalah pilihan yang tepat untuk pengundi Kuamut.

Oleh itu, beliau merayu kepada pengundi di DUN Kuamut perlu memberi kemenangan kepada Juhari yang merupakan seorang pemimpin yang baik.

"Saya percaya pengundi di DUN Kuamut ini akan beri sokongan, saya juga akan bersama-sama pastikan dia (Juhari) menang di kerusi ini bagi kesinambungan pembangunan dan membela rakyat di sini," katanya.

Hishammuddin menegaskan rakyat perlu sedar pemimpin UMNO yang ada hari ini termasuk Juhari telah diuji kesetiaan mereka selepas BN  tewas pada pilihan raya umum lepas.

"Ramai pemimpin yang meninggalkan parti UMNO, tetapi mereka inilah (termasuk Juhari) masih kekal bersama kita dalam UMNO," katanya.
 
Beliau berkata, Juhari adalah salah seorang pemimpin yang telah diiktiraf perjuangannya oleh parti sehingga dipilih menjadi calon pada pilihan raya kali ini.

Sementara itu, Hishammuddin juga turut meminta rakyat Sabah agar jangan terpengaruh dengan sikap pemimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang mengaitkan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu adalah sandiwara Barisan Nasional (BN).

Beliau menyifatkan ceramah kempen calon WARISAN itu adalah amat memalukan dan tidak sensitif pada anggota keluarga wira terkorban dalam tragedi berkenaan.

"Dia sewajarnya meminta maaf kepada keluarga wira-wira yang terkorban kerana itu menggores hati waris," katanya.

  • oleh
  • Advertisement