Anda di sini

Jawatankuasa khas pantau 624 telaga minyak yang ditinggalkan

Advertisement
Lee (duduk, tengah) selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di Pejabat Residen dan Daerah Miri, semalam. Turut hadir ialah Sebastian (duduk, empat kanan) dan Abdul Aziz (duduk, empat kiri).
Lee (duduk, tengah) selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di Pejabat Residen dan Daerah Miri, semalam. Turut hadir ialah Sebastian (duduk, empat kanan) dan Abdul Aziz (duduk, empat kiri).

MIRI: Satu jawatankuasa khas akan dibentuk bagi memastikan semua 624 telaga minyak yang ditinggalkan di seluruh Miri tidak menimbulkan bahaya yang boleh mengancam keselamatan orang ramai dan alam sekitar. 

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin memberitahu pasukan petugas itu terdiri daripada pakar industri minyak dan gas yang akan dipengerusikan oleh Pejabat Residen Miri.

“Ia merangkumi pasukan daripada syarikat Petronas, Shell dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), Pejabat Residen Miri akan bertindak sebagai ketua pasukan ini kelak.

“Dalam pada itu, kita juga akan menjemput pihak berkaitan yang pakar dalam bidang kejuruteraan petroleum dan geofizik daripada Universiti Curtin Malaysia di sini, untuk meneliti semua telaga minyak yang ditinggalkan di Miri, khususnya yang terletak di Bukit Kanada (di mana pengalian minyak mentah pertama kali dilakukan),” katanya. 

Lee memberitahu demikian kepada pemberita di sini, selepas mempengerusikan mesyuarat khas – Penemuan Gas Asli dan Tempat Bersejarah di Miri di bilik mesyuarat Pejabat Residen Miri di sini, hari ini.

Lee yang juga ADUN Senadin memberitahu, pakar-pakar dalam bidang tugas berkaitan kelak akan mendapatkan data mengenai lokasi sebenar lebih 600 telaga minyak yang ditinggalkan itu dan seterusnya membuat pemeriksaan terperinci ke atas telaga-telaga berkenaan. 

Katanya lagi, pasukan petugas berkenaan akan menyerahkan semua laporan lengkap mereka mengenai telaga minyak yang ditinggalkan itu serta cadangan bagi tindakan yang perlu diambil, kepada kerajaan negeri.

Pasukan petugas khas itu ditubuhkan susulan laporan-laporan berita baru-baru ini mengenai penemuan gas asli cecair di Bukit Kanada yang membuak keluar, akibat kebocoran dari salah satu telaga minyak yang ditinggalkan di kawasan Bukit Kanada itu.

Bukit Kanada yang juga terkenal dengan telaga minyak pertama di negara ini yang dikenali sebagai 'Grand Old Lady' (juga dikenali sebagai Telaga Minyak No.1 negara), turut menempatkan Muzium Petroleum Miri, selain penempatan sperti Kampung Haji Wahed serta Kampung Lereng Bukit yang terletak di kaki bukit. 

Kerajaan negeri katanya, sudah dimaklumkan dan turut memberi perhatian terhadap laporan-laporan yang disiarkan kebelakangan ini, mengenai telaga minyak yang ditinggalkan dan mengalami kebocoran dengan gas asli yang membuak keluar, di Bukit Kanada, yang turut menarik perhatian orang ramai.

Sejak insiden itu disiarkan oleh beberapa akhbar tempatan dan turut tular di media-media sosial, Lee mengakui telah menerima banyak pesanan dan panggilan daripada penduduk Miri yang prihatin dan menyarankan supaya kawasan tersebut dipagar atas alasan keselamatan dan tidak menjadikannya tempat pelancongan.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Balai Bomba dan Penyelamat (bomba) di atas tindakan pantas mereka mengekang lokasi yang telah dijumpai dengan gas asli cecair itu, yang kemudian diikuti oleh pihak Shell yang telah memagar kawasan tersebut,” katanya lagi. 

Mengimbas kembali eksplorasi dan pengeluaran minyak di Miri, Lee memberitahu Telaga Minyak No. 1 pertama kali digerudi pada tahun 1910 dan kemudian ditinggalkan pada 31 Oktober 1972.

Walaupun Shell telah melepaskan pengeluaran minyak di darat, namun syarikat itu itu juga telah menjaga telaga-telaga tersebut dan menutupnya dengan baik.

Namun, dipercayai salah satu daripadanya menunjukkan kebocoran, yang mungkin disebabkan oleh hakisan yang berlaku sepanjang tahun di kawasan telaga minyak yang ditinggalkan sejak 48 tahun lalu atau lebih.

"Kami mengadakan perbincangan yang baik pada hari ini dan mencari jalan untuk memastikan semua telaga minyak yang ditinggalkan ini masih dalam keadaan yang ditutup dengan baik dan selamat kerana tumpahan minyak dan kebocoran gas boleh menyebabkan bahaya terutama bagi orang-orang yang tinggal di sekitar kawasan tersebut,” jelas Lee.

Oleh itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak pergi ke kawasan kebocoran gas asli cecair itu dan pada masa yang sama memaklumkan segera kepada pihak bomba atau Pejabat Residen Miri jika mereka menemui kejadian kebocoran serupa di kawasan mereka atau sekitarnya. 

Dalam perkembangan lain, Lee memberitahu mesyuarat petang semalam juga turut menyarankan supaya menutup terowong bawah tanah yang dipercayai dijadikan tempat perlindungan daripada bom yang dibina semasa perang dunia kedua (WWII) di kawasan sekitar Bukit Kanada itu, yang ditemui semula oleh orang awam baru-baru ini.

“Kita menasihatkan orang ramai agar tidak masuk ke dalam terowong bawah tanah itu yang dibina semasa perang dunia kedua kerana masalah keselamatan sehingga kita memperolehi kajian yang tepat dan terperinci daripada Jabatan Muzium Sarawak,” jelas beliau lagi. 

Turut hadir pada mesyuarat yang sama itu ialaj Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting dan pemangku Residen Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf.

  • oleh
  • Advertisement