Anda di sini

COVID-19: JKNS kesan 87 kontak langsung, tidak langsung kes babitkan pesakit dari Sandakan

Advertisement
Gambar fail
Gambar fail

KUCHING: Seramai 87 kontak rapat secara langsung dan tidak langsung kes positif COVID-19 yang dikesan di Sandakan Sabah, pada 15 September 2020 telah dikesan dan disaring COVID-19.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataannya hari ini menegaskan tiga kontak rapat kes berkenaan dikesan dan disaring d Lawas, 18 orang di Miri, 13 di Bintulu, 48 orang di Belaga dan lima orang lagi di Mukah. 

JBPNS berkata kesemua kontak telah diambil swab pertama dan setakat hari ini, semua swab yang diambil adalah negatif ujian rT-PCR COVID-19.

Ujian saringan swab RT-PCR tambah JPBNS akan diulangi pada hari Ke-10 untuk semua kontak tersebut. 

Selain itu menurut JPBNS Mereka juga telah diberi Arahan Perintah Kuarantin (Quarantine Order) selama 14 hari.

"Kesimpulannya, Pejabat Kesihatan Negeri Sarawak telah mengambil semua langkah-langkah untuk mengesan kontak-kontak kepada kes ini.
 
"Bagaimanapun, kes didaftarkan di Sandakan, Sabah kerana kes tersebut dikesan di Sandakan, Sabah dan bukannya di Sarawak walaupun kes mendapat rawatan di Hospital Bintulu, Sarawak, " jelas JPBNS.

JPBNS berkata demikian sebagai menyangkal dakwaan pemilik akaun Facebook menuduh Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu seolah-olah tidak menjalankan pengesanan ke atas kontak-kontak rapat kepada seorang kes yang telah dikesan di Sandakan, Sabah pada 15 September 2020. 

Kes menurut pemilik akaun berkenaan telah memasuki Sarawak pada 11 September 2020 melalui Lawas dan seterusnya melalui Daerah Limbang, Negara Brunei Darul Salam, Bahagian Miri, bermalam di Bintulu dan seterusnya ke Belaga.

Malah pengguna Facebook itu juga mempersoalkan kenapa Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak tidak mendaftarkan kes tersebut di Sarawak, malah turut mempersoal kreadibiliti Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dalam menangani kes tersebut.

"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memandang serius tuduhan yang telah dibuat berkaitan perkara ini. 

"Kenyataan seperti ini seolah-olah mempersoalkan kreadibiliti pengurusan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak," tegas jawatankuasa itu.

Mengulas lanjut JPBNS berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) melalui Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu telah bertindak sebaik sahaja mendapat maklumat berkaitan keputusan ujian swab rT-PCR kes tersebut dari Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan, Sabah pada 15 September 2020. 

Tambahnya lagi Saringan COVID-19 juga telah dijalankan ke atas semua kontak yang dikenal pasti termasuk pegawai bertugas di pintu masuk yang mungkin mendapat pendedahan semasa kes daftar masuk atau keluar Sarawak. 

"Pengesanan kontak juga telah dijalankan di tempat kes singgah makan di Miri, hotel tempat penginapan beliau di Bintulu dan semua premis yang dilawati oleh beliau.

"JKNS melalui Focal Point Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah memaklumkan Jabatan Kesihatan Negara Brunei Darul Salam tentang kes ini. 

"Di Belaga, Pejabat Kesihatan Bahagian Kapit juga telah membuat saringan ke atas semua pekerja kilang dan ladang yang mempunyaikontak kepada kes ini," jelasnya.

Tambahan kepada itu, ujar JPBNS oleh kerana kes ini juga telah melakukan lawatan ke Mukah pada 13 September 2020, pengesanan dan saringan kontak juga telah dilakukan di tempat yang pernah dilawati di Mukah oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Mukah.

Menurutnya JPBNS lagi pendaftaran kes di bawah Negeri Sabah turut dipersetujui di peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah,  kes didaftar di negeri di mana kes dikesan positif.

  • oleh
  • Advertisement