Anda di sini

COVID-19: Dua kes positif dilaporkan, Kuching kembali berstatus Kuning

Advertisement
Statistik terkini kes positif COVID-19 di Sarawak.
Statistik terkini kes positif COVID-19 di Sarawak.

KUCHING: Dua kes positif baharu COVID-19 dilaporkan di Sarawak hari ini, selepas empat hari tiada kes direkodkan sejak 18 September 2020.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataannya hari ini berkata kes baharu berkenaan, masing-masing satu dilaporkan di Kuching dan Bintulu menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini, 703.

JPBNS juga berkata dengan satu kes tempatan dilaporkan di Kuching hari ini, daerah Kuching kini bertukar kepada status Kuning daripada Hijau.

"Kes ke-702 merupakan seorang lelaki warganegara tempatan bekerja di tapak pembinaan di Kuching. Kes berasal dari Serian tetapi menetap di bandar raya Kuching.

"Kes telah dikesan positif ketika melakukan saringan COVID-19 semasa mendapat rawatan di sebuah hospital swasta di bandar raya Kuching pada 21 September 2020 dan pada hari sama dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapat rawatan lanjut," katanya.

Menurut JPBNS kes ke-702 mula menunjukkan gejala batuk pada 18 September 2020 dan dikategorikan sebagai jangkitan tempatan memandangkan kes tidak mempunyai sejarah melawat ke luar negara atau ke negeri lain di Malaysia.

Kes ini tambah JPBNS masih dalam siasatan lanjut dan aktiviti pengesanan giat dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching dan Pejabat Kesihatan Serian berdasarkan pergerakan kes.

Sementara itu kes-703 merupakan lelaki warganegara Indonesia yang datang ke Sarawak, untuk bekerja di sebuah syarikat perkapalan di Bintulu.

Kes dikatakan telah memasuki Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) dari Jakarta, Indonesia pada 12 September 2020.

"Setibanya di KLIA2, kes telah menjalani saringan COVID-19  menggunakan RTK Antigen dan keputusan, negatif .

"Kes kemudian meneruskan penerbangan dari KLIA2 ke Bintulu pada hari yang sama. Setibanya di Lapangan Terbang Bintulu, kes telah dibawa ke terus ke pusat kuarantin di Bintulu bagi menjalani kuarantin wajib selama 14 hari," jelas JPBNS.

Menurut JPBNS kes telah disaring COVID-19 menggunakan ujian rT-PCR pada 12 September 2020, keputusan juga negatif pada keesokan harinya.

Pada 21 September 2020, kes sekali lagi menjalani ujian saringan iaitu pada hari ke-10 dan keputusan ujian rT-PCR COVID-19 mendapati kes positif.

"Kes telah dimasukkan ke Hospital Bintulu pada hari yang sama untuk rawatan lanjut. Kes juga tidak menunjukkan sebarang gejala.

"Kes ini dikategorikan kes Import A iaitu kes telah mendapat jangkitan semasa berada di negara asal sebelum masuk ke Sarawak. Pengesan kontak rapat kes sedang giat dilakukan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, JPBNS barkata setakat hari ini, jumlah kluster COVID-19 yang masih aktif di Sarawak kekal satu iaitu Kluster Alam melibatkan lapan kes.

Semua kes dalam kluster berkenaan telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital.

"Dimaklumkan juga tiada kes baru telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 telah pulih dan discaj dari hospital kekal 680 orang atau 96.73 peratus.

"Jumlah kes yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di hospital empat, masing-masing satu di wad pengasingan Hospital Sibu, Hospital Sungai Buloh, Selangor, HUS dan Hospital Bintulu.

"Dimaklumkan juga terdapat satu kes yang dilaporkan di Sandakan, Sabah sedang menerima rawatan di Hospital Bintulu," katanya sambil menambah jumlah kematian akibat COVID-19 di Sarawak kekal 19 orang atau 2.70 peratus.

JPBNS hari ini juga melaporkan lapan kes orang disyaki (PUI) baharu dan tiada kes menunggu keputusan ujian makmal.

  • oleh
  • Advertisement