Anda di sini

Warga emas maut disyaki dibunuh cucu hanya kerana tidak diberi wang

Advertisement
Polis tiba dilokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
Polis tiba dilokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

KUCHING: Seorang warga emas wanita dijumpai mati disyaki dibunuh cucunya di sebuah rumah di Kampung Rampangi di sini hari ini.

Mangsa yang dikenali sebagai, Dara Mohamad, 66, ditemukan tidak sedarkan diri di kerusi dalam rumah terbabit sekitar jam 6.30 pagi dengan kesan luka di muka dan dagu. 

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa ketika dihubungi berkata, mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan paramedik dari Hospital Umum Sarawak (HUS) yang tiba di tempat kejadian.

Jelasnya, berikutan penemuan itu, seorang pemuda berusia 27 tahun yang merupakan cucu mangsa ditangkap bagi membantu siasatan kes tersebut.

Tambahnya, kejadian itu dipercayai berlaku antara jam 7.30 malam Ahad hingga 6.30 pagi hari ini. 

"Hasil siasatan awal mendapati warga emas ini dibunuh antara jam 7.30 malam Ahad hingga 6.30 pagi yang dipercayai berlaku disebabkan perselisihan faham antara mangsa dengan suspek berkaitan wang," katanya. 

Merbin memberitahu, akibat perselisihan faham itu, suspek dikatakan menyerang mangsa menggunakan senjata tajam dipercayai pisau sebelum suspek bertindak melarikan diri. 

Menurutnya lagi, mangsa dijumpai saudara perempuan mangsa sebelum memaklumkan kejadian itu kepada bapa suspek dan menghubungi polis. 

Katanya, suspek kemudiannya berjaya ditangkap bapanya sendiri bersama penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis yang membuat tangkapan semula terhadap suspek. 

Dalam pada itu, Merbin memberitahu, polis turut menjumpai pisau yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut. 

"Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," tegasnya lagi. 

Selain itu, katanya, suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah. 

Malah, dedahnya, hasil saringan air kencing suspek juga didapati positif Methamphetamine.

Mayat mangsa telah dibawa ke hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat. 

  • oleh
  • Advertisement