Anda di sini

Sumbangan PKS kepada ekonomi negara terus signifikan

Advertisement
Nanta ketika berucap pada Majlis Penutupan Karnival Kepenggunaan, Kempen Beli Barangan Malaysia dan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Daerah Kapit di Fort Sylvia, Kapit .
Nanta ketika berucap pada Majlis Penutupan Karnival Kepenggunaan, Kempen Beli Barangan Malaysia dan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Daerah Kapit di Fort Sylvia, Kapit .

KAPIT: Sumbangan sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kepada ekonomi terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara terus berkembang pada tahun 2019 meskipun persekitaran dalam negeri dan global adalah mencabar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 29 Julai 2020, sumbangan PKS kepada keseluruhan KDNK telah meningkat kepada 38.9 peratus pada tahun 2019 berbanding 38.3 peratus yang dicatatkan pada tahun 2018.

"Jumlah ini merupakan satu peratusan yang signifikan kepada negara kita dan ini membuktikan bahawa produk-produk tempatan telah memberikan sumbangan yang begitu besar kepada ekonomi negara dan dijangka akan terus menyumbang kepada peningkatan peratusan KDNK Malaysia pada tahun-tahun akan datang.

"Ini membuktikan peranan PKS sebagai tonggak ekonomi negara yang penting, yang berupaya menyediakan peluang pekerjaan dan menyokong pertumbuhan ekonomi," jelasnya pada Majlis Penutupan Karnival Kepenggunaan, Kempen Beli Barangan Malaysia dan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Daerah Kapit di Fort Sylvia, Kapit baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kapit itu yakin inisiatif kerajaan mempromosikan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dapat menggalakkan pengukuhan perdagangan domestik dengan menyediakan platform kepada pengeluar atau pengedar dalam memasar dan mempromosikan produk serta barangan keperluan secara terus kepada pengguna.

"KBBM merupakan sebuah inisiatif dan usaha kerajaan dan dilaksanakan oleh KPDNHEP adalah bertujuan untuk memperkukuhkan perbelanjaan domestik dengan menggalakkan pengguna di Malaysia untuk membeli barangan tempatan selain untuk menggalakkan rakyat Malaysia untuk berbelanja.

"Tentunya antara tujuan utama karnival seumpama ini dianjurkan adalah bagi membantu usahawan kecil tempatan di Kapit dalam memasarkan produk-produk tempatan mereka kepada orang ramai. Antaranya makanan, produk tempatan, kraftangan dan sebagainya," ujarnya.

Menurutnya, Karnival Kepenggunaan yang telah bermula pada 15 September telah memberikan impak yang psoitif kepada warga Kapit, bukan sahaja dari sudut aktiviti ekonomi malahan dengan pengisian informasi kepenggunaan melalui ceramah yang berkesan, yang telah diadakan sepanjang karnival ini berlangsung.

"Saya dimaklumkan ceramah hak-hak pengguna dan transaksi dalam talian dan penipuan siber telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari warga Kapit dengan informasi yang baharu dan amat berguna.

"Kita sedia maklum bahawa tugas dan peranan KPDNHEP dalam menyampaikan maklumat yang telus tidak dapat disangkal lagi dengan pengalaman dari pegawai yang telah lama berkhidmat," katanya.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Pengarah KPDHEP Negeri Sarawak Dato Stanley Tan dan Pegawai Daerah Kapit Cerisologo Sabut.

Karnival julung kalinya diadakan di Kapit anjuran KPDNHEP dan Pejabat Daerah Kapit turut dimeriahkan dengan Kuiz Kepenggunaan, Pertandingan Teka Berat Saya, Consumer Hunt, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak dan Pertandingan Memasak Menu Sihat.

Karnival tiga hari ini turut disertai sebanyak 20 gerai usahawan tempatan yang menjual produk tempatan mendapat sambutan baik penduduk di Kapit.

Karnival Kepenggunaan, Kempen Beli Barangan Malaysia dan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Daerah Kapit di Fort Sylvia, Kapit mendapat sambutan baik penduduk Kapit.
Karnival Kepenggunaan, Kempen Beli Barangan Malaysia dan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Daerah Kapit di Fort Sylvia, Kapit mendapat sambutan baik penduduk Kapit.
  • oleh
  • Advertisement