Anda di sini

SEDAR alukan pandangan Dr Mahathir, puji dasar parti memfokus hak rakyat Sarawak

Advertisement
Othman merakam kenangan bersama Dr Mahathir semasa bertermu dengan mantan perdana menteri itu baru-baru ini.
Othman merakam kenangan bersama Dr Mahathir semasa bertemu dengan mantan perdana menteri itu baru-baru ini.

KUCHING: Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR) mengalu-alukan pandangan baik mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad  yang memuji dasar parti itu dalam memfokuskan hak rakyat Sarawak.

Presidennya, Dato’ Othman Abdillah berkata, perkara itu dimaklumkan semasa pertemuan beliau bersama Tun Mahathir di pejabatnya pada 26 Ogos lalu.

“Beliau (Tun Mahathir) memaklumkan menerima pandangan bahawa dasar parti ini boleh menjanakan pertumbuhan ekonomi dari bawah selain meringankan beban kewangan golongan miskin dan pendapatan rendah  negeri Sarawak yang masih tinggi jumlahnya.

“Malahan, beliau turut bersetuju tiada salah untuk sesebuah pemerintahan menggubal  dasar yang membolehkan perkongsian pendapatan negeri dengan rakyat ke arah membangun negeri,”kata Othman menerusi kenyataan medianya pada Sabtu.

Paling utama, katanya, apa jua dasar perkongsian pendapatan tidak  harus menjurus kepada amalan rasuah yang akhirnya akan membawa kepada kemerosotan nilai-nilai kemasyarakatan dan pembentukan masyarakat yang progresif serta budaya maju.

Menurut Othman, setiap parti politik harus utamakan hak rakyat sebagai asas perjuangannya dalam membentuk pelan dan dasar-dasar pembangunan negeri bagi mencapai kesejahteraan saksama serta kestabilan. 

“Dengan pandangan itu, ia akan membuka ruang besar bagi SEDAR nanti untuk sehaluan dengan perjuangan Tun Mahathir diperingkat nasional untuk sekeras-kerasnya menolak dan menghakis budaya korupsi dan kleptokrasi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Othman memberitahu SEDAR akan bertanding dalam semua kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 dan sudah mengenal pasti lebih separuh daripada calon-calonnya yang akan bertanding. 

“Calon-calon ini terdiri daripada pelbagai kaum termasuk dua orang calon Cina. 

Sehubungan itu, katanya, SEDARmempelawa lebih ramai mereka yang berminat sebagai calon dari kaum itu dengan menghubungi pejabat Parti untuk urusan pencalonan mereka.


 

  • oleh
  • Advertisement