Anda di sini

Rayuan diketepikan, anggota tentera rogol janda kekal dipenjara 15 tahun

Advertisement
Perayu (tengah) selesai prosiding mahkamah hari ini.
Perayu (tengah) selesai prosiding mahkamah hari ini.

KUCHING: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan dihadapi seorang anggota tentera yang disabitkan atas kesalahan merogol seorang janda di sebuah rumah pada Oktober 2015.

Sidang panel hakim terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md. Said, Datuk Ravinthran Paramaguru dan Dato Indera Mohd. Sofian Tan Sri Abd. Razak menerusi persidangan secara dalam talian sebulat suara menolak rayuan yang dibuat Iskandar Zulkarnain Zulhisham, 24.

“Rayuan ditolak. Mahkamah Sesyen tidak membuat sebarang kekhilafan dalam menjatuhkan hukuman ke atas perayu dan hukuman ini juga dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi,” ujar Kamaludin semasa memberikan keputusan.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen, Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad mendapati perayu bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan terhadapnya pada 28 Mac 2018, mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan. 

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa merogol seorang janda berusia 35 tahun pada 27 Oktober, 2015 pada jam 12.01 tengah malam di sebuah rumah tidak bernombor di Sematan. 

Berdasarkan fakta kes, mangsa membuka pintu hadapan rumahnya berikutan ia memikirkan bapanya pulang. 

Namun, mangsa sedar bahawa bunyi ketukan itu datang dari pintu belakang dan setelah dia membuka pintu tersebut, seorang lelaki (perayu) yang menutup mukanya dengan kain, terus masuk dan menyambar mangsa dari belakang.

Lelaki berkenaan kemudian memberitahu yang dia mahukan mangsa dan mengarahkannya untuk tidak menjerit. 

Mangsa yang berada dalam ketakutan menjerit meminta pertolongan namun lelaki berkenaan mengacukan pisau ke arah pipinya dan mengugut mangsa untuk tidak melawan, sebelum memukulnya di bahagian kepala.

Mangsa yang berada dalam keadaan pening diheret oleh lelaki tersebut sehingga ke bilik dan perayu kemudian meletakkan mangsa di atas katil sebelum merogolnya. 

Timbalan Pendakwa Raya Samihah Rhazali dalam penghujahannya berkata, mangsa mengalami kecederaan dan trauma akibat perbuatan kejam itu.

“Mangsa diheret ke bilik tidurnya dan diugut menggunakan pisau. Justeru, perayu layak dipenjara selama 15 tahun,” ujar beliau semasa prosiding.

Perayu diwakili peguam, Ateng Jeros. 

  • oleh
  • Advertisement