Anda di sini

Rakyat Thai tuntut reformasi monarki

Advertisement
 Parit (lima kiri) bersama jurucakap Kesatuan Pelajar Thailand Panusaya 'Rung' Sithijirawattanakul (tiga kiri) membuat tabik tiga jari simbol demokrasi dalam filem Hunger Games, sambil dikerumuni penunjuk perasaan yang lain di atas sebuah trak semasa mengadakan rali di Bangkok, kelmarin. — Gambar AFP
LANTANG: Parit (lima kiri) bersama jurucakap Kesatuan Pelajar Thailand Panusaya 'Rung' Sithijirawattanakul (tiga kiri) membuat tabik tiga jari simbol demokrasi dalam filem Hunger Games, sambil dikerumuni penunjuk perasaan yang lain di atas sebuah trak semasa mengadakan rali di Bangkok, kelmarin. — Gambar AFP

BANGKOK: Ribuan penunjuk peraaan bersorak apabila aktivis memasang plak baharu semalam yang mengisytiharkan Thailand adalah milik rakyat, pertunjukan keingkaran paling berani dalam pergerakan belia yang mempersoal lantang peranan monarki yang tidak dapat dikritik di negara itu.

Thailand telah menyaksikan protes hampir setiap hari sejak dua bulan lalu yang diketuai aktivis pelajar yang menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Prayut Chan-O-Cha, bekas ketua angkatan tentera yang mendalangi rampasan kuasa pada 2014.

Penunjuk perasaan kelmarin berhimpun di padang bersejarah Sanam Luang di Bangkok berhampiran Istana Agung, di mana penganjur mengambil pendirian yang lebih tegas mengenai reformasi monarki dengan seruan agar kerabat diraja tidak mencampuri urusan politik di negara itu.

Pihak berkuasa berkata, demonstrasi itu menarik 18,000 orang, tetapi pemberita AFP di lapangan menganggarkan 30,000 orang pada kemuncak perhimpunan, menjadikannya perhimpunan terbesar yang pernah dilihat di negara itu sejak rampasan kuasa pada 2014.

Pada waktu subuh semalam, aktivis pelajar memasang ‘Plak Rakyat’ di atas kawasan berturap bersebelahan padang Sanam Luang.

“Tumbangkan feudalisme, hidup rakyat,” laung penganjur protes yang juga aktivis prodemokrasi Parit 'Penguin' Chiwarak kepada orang ramai yang bersorak.

Plak baharu itu menyebut tarikh 20 September 2020, diikuti proklamasi, “Rakyat telah menyuarakan hasrat bahawa negara ini adalah milik rakyat, bukan raja.”

Pergerakan itu mahu persoalan yang jujur mengenai peranan kerabat diraja di negara itu diketengahkan di khalayak ramai, topik yang dahulunya pantang disebut kerana undang-undang fitnah diraja yang keras di Thailand.

Pingat besar yang baharu dipasang itu merujuk kepda plak loyang asal yang tertanam selama berdekad-dekad di dalam tanah di Plaza Diraja di Bangkok.

Ia memperingati penamatan kemutlakan diraja pada 1932 selepas revolusi yang menjadikan negara itu sebuah monarki berperlembagaan.

Tetapi ia dengan penuh misteri hilang pada 2017 selepas Raja Maha Vajiralongkorn memegang kuasa susulan kemangkatan ayahandanya dan digantikan dengan satu lagi plak yang tertera peringatan kepada rakyat Thai agar sentiasa setia kepada negara, agama dan raja.

Aktivis berkata, plak yang hilang itu adalah cerminan kepada usaha yang lebih meluas untuk memutihkan sejarah politik Thai.

Pegawai istana tidak segera membalas permintaan untuk membuat kenyataan.

Penganjur pada mulanya merancang untuk berarak ke Rumah Kerajaan, tetapi perubahan rancangan pada minit akhir menyaksikan penunjuk perasaan berpindah ke pejabat Majlis Privi di seberang Istana Agung untuk menyampaikan senarai permintaan.

Lembaga penasihat diraja yang amat berpengaruh itu mempunyai pengaruh yang signifikan di Thailand.

Puluhan pegawai polis berjaga di sisi trak meriam air di depan istana.

Pergerakan anjuran belia tanpa pemimpin itu yang mendapat inspirasi daripada protes prodemokrasi di Hong Kong, menuntut agar kerajaan Prayut dibubarkan, perlembagaan karangan tentera pada 2017 ditulis semula, dan pihak berkuasa berhenti mengganggu penentang politik.

Beberapa puak dalam pergerakan itu termasuk penganjur demonstrasi pada hujung minggu ini turut menuntut perbincangan yang jujur tentang monarki.

Tuntutan mereka termasuk ketelusan mengenai urusan kewangan istana, pemansuhan undang-undang fitnah diraja dan seruan agar raja tidak mencampuri urusan politik.

Raja Maha Vajiralongkorn yang kaya-raya duduk di tempat kuasa teratas Thai serta disokong angkatan tentera yang berpengaruh dan kerajaan konservatif.

Raja itu menghabiskan masa yang lama di Eropah, dan ketiadaannya di Thailand menimbulkan kemarahan dalam media sosial sejak beberapa bulan lalu tatkala ekonomi kerajaan merosot disebabkan oleh sekatan pergerakan akibat pandemik COVID-19.

Plaks baharu yang dipasang di Sanam Luang akan dianggap sebagai cabaran segera, kata penganalisis Paul Chambers, dan memberi amaran kemarahan yang semakin meningkat boleh menyebabkan keganasan kerajaan yang semakin meningkat terhadap penunjuk perasaan.

Prayut telah menyatakan Thailand akan diliputi api jika pelajar terlalu mendesak, tetapi beliau menjanjikan langkah lebih lembut terhadap penunjuk perasaan pada hujung minggu lepas.

Siri demonstrasi prodemokrasi baru-baru ini berjalan dengan aman setakat ini namun pihak berkuasa sudah menangkap lebih 24 aktivis dan mendakwa mereka atas tuduhan hasutan sebelum membebaskan mereka dengan ikat jamin. — AFP

Advertisement