Anda di sini

Miliki dadah, suami isteri bakal berdepan hukuman gantung sampai mati

Advertisement
Jasmirol (tengah) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas daripada pasangan suami isteri berkenaan.
Jasmirol (tengah) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas daripada pasangan suami isteri berkenaan.

SIBU: Sepasang suami isteri berdepan dengan hukuman gantung sampai mati selepas mereka didapati memiliki 4,800.3 gram dadah dipercayai jenis ketamin pada 19 September lalu.

Dalam kejadian jam 9 malam, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Polis Kontijen (IPK) Sarawak telah melakukan serbuan ke sebuah pusat hiburan di Jalan Sungai Merah Bazaar,Sibu dan menjumpai dua kotak kertas.

Ketua JSJN Sarawak ACP Jasmirol Jamaluddin berkata di dalam salah satu kotak kertas berkenaan, polis telah menemui tiga bungkus plastik warna perak yang setiap satu terdapat satu paket plastik lutsinar yang masing-masing
berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis ketamin dengan berat kasar 3,050.5 gram.

Manakala satu lagi kotak kertas mengandungi dua bungkusan plastik warna perak yang setiap satu terdapat satu paket plastik lutsinar yang masing-masing berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis ketami dengan berat kasar 1,749.8 gram, jelasnya.

"Seorang lelaki berumur 34 tahun dan seorang wanita berusia 33 tahun yang juga isterinya ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

"Saringan air kencing yang dilakukan terhadap kedua-dua suspek turut positif dadah jenis ketamin, amfetamin dan metamfetamin," katanya semasa mengadakan sidang media di sini hari ini.

Menurut Jasmirol, pasangan suami isteri berkenaan turut memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan dengan jenayah dadah.

Jasmirol berkata, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM 24,073.00 dan sebuah kereta dengan nilai keseluruhan sitaan ialah RM 64,073.00.

Katanya, polis kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari dari 20 hingga 27 September depan bagi membantu siasatan lanjut.

  • oleh
  • Advertisement