Anda di sini

COVID-19: Sifar kes baharu sejak 18 September, bukan warganegara masuk Sarawak masih perlu dikuarantin 

Advertisement
Statistik terkini kes COVID-19 direkodkan di Sarawak setakat 21 September 2020.
Statistik terkini kes COVID-19 direkodkan di Sarawak setakat 21 September 2020.

KUCHING: Semua bukan warganegara yang ingin masuk ke Sarawak melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dikuarantin sebelum masuk ke negeri ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, perkara itu diputuskan oleh Jawantakuasa dalam mesyuarat hari ini.


Dalam pada itu, JPBNS memaklumkan tiada kes positif COVID-19 dikesan di Sarawak hari ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negeri ini kekal sebanyak 701 kes.

Menurutnya, hanya satu kluster COVID-19 yang masih aktif ketika ini iaitu Kluster Alam di Bintulu dengan kekal seramai lapan kes.

“Kesemua kes di dalam ini juga telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital.

“Dimaklumkan juga tiada kes baru yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes postif COVID-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj kekal seramai 680 orang atau 97.00 peratus,” katanya menerusi kenyataan media Jawatankuasa itu hari ini.


JPBNS berkata, jumlah kes yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di hospital kekal dua orang iaitu masing-masing satu kes di wad pengasingan di Hospital Sibu dan Hospital Sungai Buloh, Selangor. 

“Tiada kes COVID-19 yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari ini. 

“Dimaklumkan juga terdapat satu kes yang dilaporkan di Sandakan, Sabah yang sedang menerima rawatan di Hospital Bintulu,” ujarnya.

JPBNS menambah, jumlah kematian kekal 19 orang atau 2.71 peratus.

“Hari ini sebanyak empat kes orang yang disyaki (PUI) baru dilaporkan dan tiada PUI menunggu ujian makmal,” ujarnya.

Selain itu, JPBNS berkata, seramai 48 orang di bawah pengawasan (PUS) telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 11 buah hotel adalah seramai 540 orang. 

Manakala seramai 24,324 PUS telah tamat menjalani tempoh kurantin.


Mengenai pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula,  sebanyak 13 notis kompaun dikeluarkan di Kuching (13) dan Kota Samarahan (satu) kerana tidak mematuhi Garis panduan (SOP).

Tambahnya, manakala pihak Kementerian Kerajaan Tempatan telah mengeluarkan 100 amaran lisan, bertulis dan sitaan di kawasan seliaan Lembaga Kemajuan Bintulu (44), Majlis Perbandaran Sibu (25), Dewan Bandaraya Kuching Utara (sembilan), Majlis Daerah Maradong dan Julau (tujuh), Majlis Daerah Dalat dan Mukah (tujuh), Majlis Perbandaran Kota Samarahan (empat), Majlis Bandaraya Kuching Selatan  (dua ) dan Majlis Daerah Serian (dua).

Polis Sarawak dalam pada itu akan terus memperketatkan SOP termasuk pemakaian pelitup muka di tempat awam. 

JPBNS berkata, hari ini, sebanyak 1,327 premis telah diperiksa melibatkan pasaraya, restoran, kilang, bank, pejabat kerajaan, penjaja, pasar tani/awam, tempat ibadat, tempat riadah, tapak pembinaan dan lain-lain. 

Enam sekatan jalan raya dijalankan di lima daerah sempena Op Benteng iaitu Lundu, Bau, Serian, Sri Aman dan Lubok Antu dengan 983 buah kenderaan diperiksa. 
 

  • oleh
  • Advertisement