Anda di sini

​​​​​​​Bekas ADUN Kedup, Datuk Frederick Bayoi Manggie meninggal dunia

Advertisement
 

KUCHING:Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Datuk Frederick Bayoi Manggie (gambar) 77 tahun  telah meninggal dunia di kediaman keluarganya di Serian hari ini.

Isteri mendiang, Datin Diana Bernadette, 42 tahun ketika dihubungi berkata beliau terkejut dengan pemergian suaminya itu kerana merancang mahu membuat kejutan kepada suami sempena lari lahir mendiang ke-77 hari ini.

"Beliau meninggal sekitar jam 8 pagi...Rasa sedih sebab saya mahu membuat kejutan untuk sambutan hari lahir beliau hari ini. 

"Saya baharu sahaja memaklumkan perkara itu kepada ibu saya, dan saya merancang hendak ke pasar untuk membeli kek. Sebelum itu saya naik ke tingkat atas untuk memeriksa keadaanya tetapi malangnya beliau sudah tiada," katanya kepada Utusan Borneo.

Sebelum ini, mendiang sering sakit dan kali terakhir dimasukkan ke sebuah Hospital swasta di sini untuk menerima rawatan pada 19 sehingga 22 Ogos lalu

Jasad beliau akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kristian SDA, Air Manis di Serian sekitar jam 10 pagi, Rabu (23 September) ini. 

Bekas ADUN itu juga telah berkhidmat dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) selama 33 tahun, sebelum meletak jawatan pada 14 Januari 2016 kerana namanya tidak dicalonkan untuk kerusi Bukit Semuja.

Bayoi berkhidmat sebagai ADUN Kedup selama tiga penggal atau 15 tahun mulai 1996 hingga 2011, selepas dua penggal sebagai ADUN Tarat..

Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur (Jepun, Korea Selatan, Taiwan), Dato Sri Richard Riot Jaem merupakan orang kenamaan pertama ke kediaman keluarga mendiang Bayoi hari ini bagi memberi penghormatan terakhir.

Riot menerusi laman Facebooknya menyifatkan kehilangan beliau amat dirasai bagi DUN Tarat dan Kedup selepas berkhidmat selama lima penggal sebagai wakil rakyat.

"Beliau akan sentiasa dikenang akan kebaikan hatinya," kata Riot.

  • oleh
  • Advertisement