Anda di sini

APMM Sarawak bakal terima kapal peronda baharu 

Advertisement
Zubil (tengah) menyaksikan simbolik serah terima tugas Pengarah APMM Sarawak baharu antara Robert (kiri) dan Zin. Gambar Muhd Rais Sanusi
Zubil (tengah) menyaksikan simbolik serah terima tugas Pengarah APMM Sarawak baharu antara Robert (kiri) dan Zin. Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak bakal menerima sebuah Kapal Peronda Persisiran Pantai (OPV), awal tahun hadapan. 

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, kapal tersebut daripada tiga kapal OPV baharu bersaiz 83 meter panjang yang kini masih dalam proses pembinaan di Klang, Selangor. 

"Ketiga-tiga kapal OPV ini bernilai RM700 juta kini dalam proses pembinaan di Klang sebelum diserahkan kepada Sarawak, Sabah dan Pahang," katanya pada sidang media di Bilik Perhimpunan, Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), Muara Tebas di sini hari ini. 

Menurut Zubil, APMM Sarawak dijadualkan sebagai penerima pertama aset terbabit yang dijangka akan dilancarkan di pelabuhan Klang, Selangor pada November nanti.

"Pihak APMM dalam proses pembinaan ketiga-tiga buah kapal sejenis peronda persisiran pantai dan kapal pertama dijangka dilancarkan dan siap pada awal tahun depan.

"Kapal ini berupaya berada di laut sekitar 30 hari serta mampu membawa bekalan yang mencukupi tanpa ulang alik berbanding aset kapal lama yang bertahan dalam tempoh sekitar 12 hari sahaja," tambahnya. 

Tegasnya, dengan adanya aset tersebut isu pencerobohan perairan negara termasuk nelayan asing dapat dipantau dan diperhebatkan. 

Jelasnya lagi, APMM juga akan memiliki empat buah lagi helikopter bersaiz sederhana dan proses perolehannya dijangka selewat-lewatnya pada akhir tahun ini.

Pada masa sama beliau memberitahu, aset yang dimiliki APMM setakat ini adalah 261 kapal dan bot, enam helikopter dan dua pesawat bombardier.

Selain itu, beliau turut mengingatkan para nelayan di negeri ini agar sentiasa mengutamakan keselamatan ketika turun ke laut dengan menyediakan jaket keselamatan.

Jelas Zubil, jika berlakunya bot karam di laut peratusan seseorang itu selamat ketika berada lebih tinggi dengan adanya jaket keselamatan.

"Kalau seseorang itu tidak memakai jaket keselamatan semasa berlakunya bot karam, dia hanya boleh bertahan (terapung) sekitar dua jam berbanding lapan jam atau lebih jika ada memakai jaket keselamatan," ujarnya.

Terdahulu, Zubil menyaksikan majlis serah terima tugas Pengarah APMM Sarawak baharu, Kapten Maritim Zin Azman Md Yunus bagi menggantikan, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan. 

Robert akan bersara tahun depan pada usia 58 tahun selepas menjawat jawatan Pengarah Maritim Sarawak selama lebih 2 tahun iaitu bermula dari 28 mei 2018 sehingga 21 sept 2020.

Sebelum ini, Kapten Zin menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengarah Maritim Sarawak.


 

  • oleh
  • Advertisement