Anda di sini

SABATI serah kit pencegahan COVID-19 kepada enam PDK

Advertisement
 (Duduk dari kiri) Kong, Dr Zaliha, Siti Syorgaya dan Debbie merakamkan gambar kenangan bersama wakil pusat PDK yang menerima sumbangan kit pencegahan COVID-19 semalam.
TERIMA KASIH: (Duduk dari kiri) Kong, Dr Zaliha, Siti Syorgaya dan Debbie merakamkan gambar kenangan bersama wakil pusat PDK yang menerima sumbangan kit pencegahan COVID-19 semalam.

MIRI: Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) menyerahkan kit pencegahan COVID-19 kepada enam Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di sini semalam.

Setiausaha Kehormatnya Datin Dr Zaliha Abdullah berkata antara barangan yang diserahkan ialah pelitup muka, sarung tangan, pensanitasi tangan dan termometer bagi membantu PDK dalam pencegahan COVID-19.

“SABATI memberi tumpuan kepada wanita yang memerlukan, ibu tunggal dan anak-anak dengan keperluan khas.

“Kami amat mementingkan anak-anak berkeperluan khas dengan harapan bahawa dengan bantuan kami dapat memastikan mereka menjalani kehidupan yang memuaskan dan bahagia.

“Oleh itu, melihat kepada pandemik ini, kami berharap pusat-pusat PDK dan anak-anak yang berkeperluan khas akan dilindungi dengan tindakan pencegahan,” katanya di sini.

Sementara itu, beliau yang merupakan isteri Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata SABATI telah membantu Hospital Miri dan Hospital Sibu mengirim bukan sahaja bekalan perubatan, tetapi juga barang-barang keperluan peribadi untuk petugas barisan hadapan bagi menunjukkan penghargaan kepada mereka.

Pusat PDK yang menerima kit perlindungan tersebut terdiri daripada PDK Sunflower, PDK Pibakis Miri, PDK Morsjaya, PDK Eda Beran Long Laput, PDK Bekenu dan PDK Batu Niah.

Hadir sama pada majlis penyerahan ringkas tersebut ialah isteri Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara) selaku Bendahari Kehormat SABATI Datin Siti Syorgaya Mohd Zaidin, isteri Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin Datin Kong Shui Lin dan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau Debbie Irang.

Advertisement