Anda di sini

Penghormatan terakhir buat pahlawan Iban Tracker Awang Raweng

Advertisement
Keranda yang membawa jasad mendiang Awang diusung masuk ke Dewan Suarah Kuching. Gambar Muhammad Rais Sanusi.
Keranda yang membawa jasad mendiang Awang diusung masuk ke Dewan Suarah Kuching. Gambar Muhammad Rais Sanusi.

KUCHING: Jasad mendiang pahlawan negara Datuk Sarjan (B) Awang Raweng yang juga bekas anggota Iban Tracker diberi penghormatan terakhir di Dewan Suarah di sini. 

Upacara penghormatan terakhir peringkat negeri ini dibuka kepada orang ramai dan orang kenamaan bermula jam 1.30 petang sebaik ketibaan jasad mendiang dari Sri Aman. 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion yang ditemui berkata ketibaan jasad mendiang sekitar jam 12.00 tengah hari di sini disambut secara rasmi oleh pegawai-pegawai tentera dan beliau sendiri mewakili kerajaan negeri. 

Ahli keluarga mendiang Awang tidak dapat menahan kesedihan ketika penghormatan terakhir di Dewan Suarah Kuching. Gambar Muhammad Rais Sanusi.
Ahli keluarga mendiang Awang tidak dapat menahan kesedihan ketika penghormatan terakhir di Dewan Suarah Kuching. Gambar Muhammad Rais Sanusi.

Seperti yang sedia maklum,jasad mendiang akan diberi penghormatan terakhir mengikut upacara pengebumian negeri dan adat istiadat ketenteraan. 

“Jasad mendiang ditempatkan di Dewan Suarah Kuching ini untuk membolehkan orang ramai dan orang kenamaan memberi penghormatan terakhir kepada mendiang. 

“Esok upacara penghormatan terakhir akan dibuka kepada orang ramai dan orang kenamaan dari pukul 8.00 pagi hingga 11.00 pagi sebelum beredar ke Makam Pahlawan untuk pengebumian,” katanya. 

Turut bersedih dengan kepergian mendiang, Jaul berkata mendiang ketika berkhidmat sebagai Iban Tracker telah mengorbankan keselamatan diri demi negara. 

Atas pengorbanan dan jasa tersebut, mendiang diberi penghormatan mengikut upacara pengebumian negeri daripada kerajaan negeri. 

Selain diberi penghormatan dengan pengebumian negeri, kerajaan negeri katanya akan membincangkan bentuk bantuan lain yang diperlukan oleh waris mendiang sebagai mengenang jasa mendiang. 

Dalam pada itu suasana suram menyelubungi Dewan Suarah Kuching apabila ahli keluarga, orang ramai dan orang kenamaan hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang. 

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing dan mantan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang. 

Terdahulu Panglima Tentera 3 Briged, Jeneral Dato Azhar Ahmad dan mantan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Stephen Mundaw yang juga penasihat Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) antara yang turut serta menyambut ketibaan jasad mendiang Awang di Dewan Suarah Kuching. 

Jaul (kiri) dan Mundaw memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Awang. Gambar Muhammad Rais Sanusi.
Jaul (kiri) dan Mundaw memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Awang. Gambar Muhammad Rais Sanusi.
  • oleh
  • Advertisement