Anda di sini

Pembinaan jalan Hulu Tubai ke Mentawai giat dilaksana

Advertisement
 Hasbi (tengah) ketika meninjau projek jalan Hulu Tubai ke Mentawai, Gunung Buda di Limbang semalam.
KEMUDAHAN: Hasbi (tengah) ketika meninjau projek jalan Hulu Tubai ke Mentawai, Gunung Buda di Limbang semalam.

LIMBANG: Pembinaan jalan dari Hulu Tubai hingga ke Mentawai, Gunung Buda yang sedang giat dilaksanakan bukan sahaja membuka sektor pelancongan utama, malah menjadi laluan penghubung penduduk di sini ke Mulu dan Miri tanpa melalui Brunei.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah berkata projek bernilai RM56.8 juta dilaksanakan melibatkan laluan sejauh 34 kilometer dari bandar hingga ke Mentawai dijangka siap pada Disember 2021.

Beliau berkata, laluan itu merupakan projek kerajaan Sarawak di bawah Agensi Pembangunan Utara Sarawak (NRDA) melibatkan laluan jalan berbatu dan konkrit serta pembinaan lima jambatan besi.

“Projek ini bakal membuka laluan sektor pelancongan di Gunung Buda hingga kawasan Taman Negara Mulu selain meningkatkan industri pelancongan penduduk di utara negeri ini.

“Harapan kita apabila jalan itu siap nanti, ia menghubungkan bandar Limbang ke Mentawai serta membuka laluan dan lencongan ke Gunung Buda dan Mulu terus ke Miri,” katanya ketika melawat kawasan itu semalam.

Ahli Parlimen Limbang itu berkata meskipun berdepan kelewatan sepuluh peratus, projek itu belum dikategorikan sebagai sakit.

“Kontraktor dilantik sudah diarah menyiapkan projek itu mengikut jadual dan kualiti ditetapkan.

“Kita juga berharap agar cuaca keadaan baik agar tidak menjejaskan proses pembinaan dan pelaksanaan sekarang,” katanya.

Hasbi turut menyantuni penduduk Rumah Mual, Kampung Ensungai sekali gus meluluskan permohonan membina jalan penghubung menuju ke Rumah Mual membabitkan peruntukan RM99,900.

Advertisement